isteri-pelumba-motogp-malaysia-hafizh-syahrin-jadi-perhatian-media-luar-negara-kerana-cantik_5d32df49ee7a2

FIRMAN Allah SWT: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keteranganketerangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah Ar-Rum, ayat 21)

Fitrah saling melengkapi Allah SWT menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ibarat antara siang dan malam. Justeru, apabila kita memerhatikan ketelitian al-Quran, ia menggabungkan perkataan malam dan siang serta perkataan lelaki dan wanita.

Firman Allah SWT: "Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, ( jantan dan betina); Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya." (Surah al- Lail, ayat 1-4) Malam dan siang mempunyai peranan tersendiri seperti malam untuk berehat dan bertenang serta siang untuk berkerja berusaha mencari kehidupan.

Antara tanda yang menunjukkan adanya hari kebangkitan dan dikumpulkan seluruh manusia di hadapan Allah SWT ialah dengan menjadikan bidadari daripada isteri sendiri untuk menikmati kebahagiaan-Nya.

Secara tidak langsung Dia menanamkan rasa cinta dan kasih sayang bagi membentuk kehidupan keluarga dengan sistem yang baik. Dalam kehidupan suami isteri, jika ada dua perasaan yang wujud pasti akan mengikat kebahagiaan hidup sampai ke akhirnya.

Mawaddah dan rahmah

Perasaan itu ialah mawaddah dan rahmah. Ibnu Abbas memberi pengertian yang indah mengenai mawaddah dan rahmah. Katanya, mawaddah ialah cinta seorang lelaki kepada isterinya dan rahmah ialah perasaan belas kasihan jika pasangannya ditimpa sesuatu musibah.

Jika diteliti antara sebab krisis rumah tangga ialah kerana ketidakfahaman makna daripada falsafah perkahwinan. Justeru, krisis daripada ketidakfahaman ini menyebabkan berlakunya kehancuran rumah tangga hanya selang beberapa tahun perkahwinan.

Ataupun perkahwinan itu berjalan tetapi tidak ada persefahaman dan kerukunan yang sepatutnya dikecapi oleh orang yang mendirikan rumah tangga.

Al-Quran memberi teori Ilahi bahawa mawaddah dan rahmah ini akan menjadi benteng yang kukuh bagi memastikan kelangsungan dan keharmonian rumah tangga.

Firman Allah SWT: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah an-Nisa', ayat 19)

Mujaddid dan ulama besar India, Syah Waliyullah Al Dahlawi menyebut tiga makna bergaul dengan baik iaitu menyediakan makanan dan pakaian serta berinteraksi dengan baik.

Muhammad Abduh menjelaskan antara bentuk interaksi yang baik ialah berbicara dengan baik, mendengar segala keluhan dan masalah isteri, bergurau, memahami perasaan dan mengungkapkan kata-kata romantik.

Pupuk kasih dari semasa ke semasa

Perasaan kasih dan belas kasihan adalah sesuatu yang harus dipupuk dari masa ke semasa. Cabaran hidup rumah tangga memanglah kuat dan hebat. Mungkin pasangan yang pada awal perkahwinannya seorang yang kuat, kini menjadi lemah.

Asalnya kaya, kini menjadi miskin, dahulunya cantik, kini berubah berdasarkan peningkatan usia. Mungkin perasaan cinta itu semakin berkurangan tetapi perasaan belas kasihan itu bertambah.

Jika kita perhatikan doa-doa Nabi Muhammad SAW, banyak sekali doa yang Nabi mohon supaya diberi keberkatan dan kebaikan dalam melayari bahtera perkahwinan.

Antaranya doa yang dipetik dalam surah al-Furqan, ayat 74: "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa." Dalam kesibukan mencari rezeki sekarang ini, ada suami yang tidak mempedulikan isterinya, tidak pernah mengambil kisah sama ada isterinya solat atau tidak dan tidak pernah mendidik isterinya dengan nilai agama.

Contohilah akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail dalam firman Allah SWT: "Dan adalah dia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan dia pula adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya." (Surah Maryam, ayat 55)

Menguruskan kehidupan rumah tangga, kita mesti mengambil manhaj al-Quran, hayati penjelasan al-Quran mengenai pembinaan keluarga dan pelbagai kisah berkenaan kekeluargaan untuk mendapat petunjuk yang jelas bagaimana mengurus keluarga mempunyai nilai mawaddah dan rahmah.

Sumber : Berita Harian