Kekeluargaan

Isteri Memang Mampu Buat Macam-macam Tapi Pastikan Ada Cuti Rehat – Adira

Share

Kalau nak ikutkan, isteri memang mampu buat macam-macam dalam satu masa tetapi jangan sampai makan diri, ya.

Risau jadi macam penyanyi wanita, Adira Suhaimi yang pitam secara tiba-tiba dan hilang empat tawaran pekerjaan susulan terpaksa ditahan lima hari dalam wad hospital akibat keletihan melampau.

Isteri Memang Mampu Buat Macam-macam

Menerusi satu pertal hiburan, Adira meluahkan pengalaman itu menjadi pengajaran agar mendapatkan rehat secukupnya selain mengetahui tahap kemampuan bahawa dia bukanlah supermom yang boleh melakukan apa sahaja.

“Melihat kondisi yang lemah, doktor cakap selain demam dan kurang sel darah merah, faktor keletihan melampau turut menjadi punca saya pengsan.

“Selama ini saya sangka saya ‘supermom’ yang boleh buat apa sahaja serentak kerana kalau cuti sehari pun, saya mahu uruskan anak-anak sendiri. Sebenarnya, selain ke hospital untuk melahirkan empat anak, saya tidak pernah duduk dalam wad.

Pastikan Ambil Cuti Rehat

“Kudrat saya ada, cuma badan tak mampu lagi hadap keletihan. Jadi selepas ini saya pastikan hari cuti saya berehat. Kalau saya tak sihat, saya tak boleh jaga anak-anak,” katanya yang mempunyai seorang pembantu rumah dan seorang pengasuh.

Sedikit ralat kerana telah mengecewakan banyak pihak, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, tetap bersyukur apabila penganjur terbabit sangat memahami keadaan kesihatannya.

“Memang ralat kerana kecewakan banyak pihak termasuk orang yang mengundang serta tetamu. Empat ‘job’ yang terpaksa dibatalkan ini sudah dipersetujui beberapa bulan lalu.

“Saya sendiri tak jangka pengsan sampai buatkan semua ahli keluarga menangis dan risau. Mujur pihak yang saya bekerjasama sangat memahami, maafkan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Elegant Night of Beauty, semalam.

Sedar Dah Dalam Ambulan

Bercerita lanjut, penyanyi Pujaan Hati itu mendedahkan dia mula sedar ketika berada dalam ambulan yang membawanya ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

“Saya tak ingat apa-apa ketika kejadian. Apabila buka mata saya sudah ada dalam ambulan. Perasaan takut memang ada, lagipun itu juga pertama kali saya naik ambulan,” ujarnya.

Sekadar info, pada 4 Disember lalu ibu kepada empat cahaya mata itu berkongsi keadaan dirinya yang dikejarkan ke hospital selepas pengsan di rumahnya.

Gambar: Adira

Published by
Nadia