Majlis resepsi merupakan kemuncak majlis perkahwinan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh setiap mempelai. Usai majlis wajib iaitu pernikahan yang kebiasaannya hanya di hadiri oleh kaum keluarga terdekat, kini tibalah masanya untuk mengundang kaum keluarga serta sahabat handai sama-sama meraikan hari bahagia di majlis resepsi atau persandingan.
Namun bagi Meor Izz Rasydan Darsani, majlis persandingan yang di rancang bersama isteri tersayang, Fazliana Sjafni berlangsung dalam suasana yang berbeza dan diluar kawalannya.
“Perasaan sangat sebak apabila terpaksa berjalan dan duduk di atas pelamin sendirian ketika majlis resepsi tanpa diiringi isteri walhal ia adalah hari penting buat kami berdua,” kata Meor Izz Rasydan Darsani. Bertemankan sebuah komputer riba di atas pelamin, Meor Izz Rasydan bersanding tanpa ditemani isteri tersayang yang tidak dapat hadir akibat dijangkiti wabak Covid-19.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun TikTok @kakleeha itu turut kelihatan pengantin perempuan lengkap dengan busana songket biru sedondon, namun hanya mampu berada di skrin komputer riba disebabkan sedang menjalani kuarantin kendiri.
Menurut Meor, dia dan isteri tersayang sudah merancang untuk mengadakan majlis resepsi di sebuah dewan di Jalan Ampang, di sini, hampir setahun lalu. Pasangan ini telah selamat diijabkabulkan pada 22 Februari lalu.
Ketika ditanya perasannya ketika majlis tersebut, Meor Izz Rasydan sememangnya tidak dapat menyembunyikan rasa sebaik dan sedih di atas apa yang berlaku tetapi tetap reda dengan ketentuan Illahi.
“Rasa sebak dan sedih tetapi saya akur, reda atas ketentuan Ilahi jika ini qada dan qadar Allah yang sudah tertulis,” katanya.lagi.
Tambah Meor Izz Rasydan lagi, isteri tersayang disahkan positif Covid-19 sehari sebelum majlis resepsi iaitu pada 27 Februari lalu selepas melakukan ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction). Secara kebetulan, selepas bernikah mereka tinggal berasingan dan disebabkan itu Meor tidak bergejala dan keputusan ujian Covid-19 juga menunjukkan negatif.
“Bagi mengatasi situasi tidak terduga ini, saya bersama adik ipar dan keluarga suami cuba sedaya upaya mencari jalan dengan cara mengadakan persandingan secara virtual iaitu melalui panggilan video.
Sebagai satu alternatif, majlis persandingan tetap diadakan dengan meletakkan komputer riba di pelamin dan saya pula di rumah hanya mampu membuat panggilan video dengan sepersalinan songket yang sepatutnya kami idamkan untuk dipakai bersama pada majlis resepsi,” katanya yang masih menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Ketika ditanya mengapa masih meneruskan majis persandingan,pasangan raja sehari sepakat mengadakan majlis persandingan walaupun secara virtual kerana kebanyakan tetamu jemputan sudah tiba di Kuala Lumpur sehari lebih awal.
“Bukan disebabkan kos, tetapi sebaliknya undangan jauh dari Perak, Perlis dan Sabah sudah tiba sehari awal. Alhamdulillah, majlis tetap berjalan dengan lancar walaupun tanpa pengantin perempuan bersanding sama,” katanya yang reda dengan ujian yang menimpanya.
Sumber: Harian Metro & Meor Izz Rasydan Darsani.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI