Hubungan

Istilah ‘Mandul’ Cukup Pedih Buat Isterimu, Tapi Masih Ada Ubatnya

Share

Seseorang itu dikatakan mandul apabila telah berkahwin, tinggal bersama suami tanpa berjauhan, mengadakan hubungan kelamin dengan suami sekurang-kurangnya 3 kali seminggu untuk selama 6 bulan, ada yang mengambil sehingga setahun lamanya.

Sekiranya seseorang isteri itu masih tidak mengandung setelah memenuhi kriteria tersebut, maka dia perlu melalui beberapa proses – perlu berjumpa doktor untuk memastikan kedua-dua isteri dan suami adalah subur. Bukan hanya si isteri sahaja.

sekadar gambar hiasan

Pada si isteri : andainya kitaran haid adalah teratur tanpa gangguan, ianya tidak boleh dianggap bahawa beliau adalah subur. Darahnya perlu diuji untuk mengetahui status kesuburannya yang sebenar, malah perlu melalui proses “follicular tracking” iaitu melihat benih telur ovum isteri membesar dan menetas ataupun tidak. Ini perlu dilakukan melalui pemeriksaan ultrasound yang dilakukan melalui faraj oleh doktor sakitpuan. Seandai beliau didapati tidak subur, maka ubat kesuburan boleh diberikan.

Langkah seterusnya ialah dengan memeriksa salur fallopian untuk memastikan samada ia tersumbat atau tidak. Ia dilakukan samada secara X-ray (HSG) atau laparoscopy. Penjelasan lanjut perlu diberikan oleh doktor. Sekiranya saluran tersumbat, maka ubat subur tidak boleh diberi, tetapi perlu dibuat pembedahan untuk melepaskan sumbatan tersebut.

Suami: perlu memeriksa air mani untuk melihat benih lelaki (sperma). Ia adalah prosedur yang amat mudah, sekejap dan selamat; tidak seperti pemeriksaan ke atas isteri yang lebih rumit dan rapi. Sekiranya benih sperma suami adalah normal, maka suami adalah subur. Sekiranya benih kurang, atau sperma lemah, maka perlu dilakukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Suka saya maklumkan bahawa masalah mandul ini adalah suatu perkara yang amat sensitif, kerana ianya kerap ditanya oleh ahli keluarga dan rakan taulan tentang bilakah sesuatu pasangan itu akan memperolehi zuriat.

Isteri dan suami perlu jelas bahawa dalam 100 pasangan mandul, 30 adalah faktor isteri, 30 adalah faktor suami, 30 adalah faktor kombinasi suami dan isteri, manakala 10 lagi adalah normal bagi keduanya yang dipanggil “unexplained infertility” ataupun mandul tanpa penjelasan.

Justeru itu, nasihat saya selaku doktor pakar adalah elakkan daripada kata-mengata. Oleh kerana prosedur untuk pemeriksaan lelaki adalah amat mudah dan selamat sedangkan pemeriksaan untuk isteri adalah rumit, kadang-kadang perlu pembedahan yang melibatkan bius dan lain-lain, maka adalah disarankan supaya para suami memberikan sebaik kerjasama untuk memeriksa air maninya. Tidak harus ada faktor segan silu kerana ini adalah untuk kebaikan rumahtangga kelamin tersebut di jangka panjang. Ambillah langkah berkenaan dengan penuh hormat dan berkasih-sayang sesama suami-isteri.

sekadar gambar hiasan

Kedua-dua isteri dan suami perlu berjumpa pakar sakitpuan untuk menerima kaunseling dan pemeriksaan. Kita amat tidak menggalakkan isteri seorang diri berjumpa doktor seolah-olah masalah itu beliau yang punya; bukan dikongsi bersama. Berikan sokongan kepada pasangan kita dalam apa jua keadaan sekalipun.

InsyaAllah, kini masalah mandul boleh dirawati. Kebanyakannya adalah mudah namun yang payah memang ada dan kadangkala rumit untuk diselesaikan. Kes yang rumit memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia boleh melibatkan kos yang agak tinggi serta kejayaannya juga hanya lebih kurang 20%. Pohonlah kepada Allah SWT agar Dia membantu kita dalam masalah yang dihadapi ini.

Wallahualam.

Dr Salwana Mohyiddin
Pakar Sakitpuan
Hospital Tanah Merah, Kelantan

Published by
Kim