Pedihnya hidup bermadu mungkin pada sesetengah isteri. Biar baik mana sekalipun, pasti terselit kelukaan dek kerana kebahagiaan pasnagan yang terpaksa dikongsi dengan wanita lain. Bukan mudah untuk menerima namun terbit juga keikhlasan kerana Allah. Adam berpoligami kena ada, biar tak ada sesiapa yang ‘sakit’ nanti.
Bila dapat tahu suami memilih untuk menikahi wanita lain, jangan terus tunjukkan sisi negatif kita. Telan sikit demi sikit walau pahit. Ego kena ada, jangan tunduk dengan kemarahan. Jaga emosi dan letakkan tempat kita pada satu ‘kelas’ tersendiri.
Yang jadi isteri kedua pula, kena tahu apa adabnya. Perkongsian Puan Nordahlia Ahmad Ibrahim ini sangat padu!
Menjaga adab sebagai isteri kedua, ketiga dan keempat, isu paling besar dalam rumahtangga ‘poligami’. Apa tidaknya adakalanya kehadiran isteri yang ‘kemudian’ ni membawa tabiat ingin menguasai sang suami. Dia berasa seolah-olah suami yang baru dinikahi itu adalah miliknya seorang.
Umi dah kongsikan pada status sebelum ini, persediaan awal bila hendak menerima lamaran ‘suami orang’ ni, banyak perkara kena difikirkan, bukan terus setuju sahaja.
Berbalik cerita tentang adab, tiga contoh di bawah umi kongsikan di sini ;
Situasi 1, menerima jemputan ke rumah isteri pertama ;
Bila kita dah berada di rumah isteri pertama tu, buatlah seperti kita berada di rumah bakal mak mertua, duduk dengan suami jarakkan sedikit, jangan asyik berkepit, berpegangan tangan, mesra-mesraan, apa lagilah bercumbu-cumbuan. Bila berbual tu, janganlah ‘gedik’ sangat, menggunakan suara-suara merengek dan seumpamanya.
Bertindak lebih professional (yang ni kene dapatkan sesi coaching dari umi ni…hahaha), ringankan tulang, bantu apa yang patut ketika di dapur, baca suasana jika nampak kehadiran kita seperti tetamu tidak diundang, buat biasa-biasa sahaja. Ini menunjukkan kita belum lagi diterima sepenuhnya dalam keluarga ini. Tak usah marah atau kecil hati kerana inilah ujiannya untuk insan yang hadir kemudian, kena hadam hal ni betul-betul.
Pernah dengarkan, pepatah “kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”, inilah gambaran yang umi nak kongsikan.
Situasi 2, berada di rumah mertua bersama ‘madu’ kita.
Biarkan isteri pertama atau yang lebih awal dari kita, menunjukkan kebolehan dan kebaikannya kepada ibu mertua. Kita jangan pula menunjuk perangai seolah-olah kita lebih baik darinya.
Jangan sesekali cuba ‘membodek’ ibu mertua kita di depan isteri pertama, kerana ia akan menyebabkan isteri pertama akan lebih tersinggung dan meluat pada kita. Kalau dah meluat sekali ni, memang payahlah nak buang perasaan meluat tu.
‘
Kalau ibu mertua kita puji, masakan madu kita sedap, sebaiknya kita mengiyakannya sebagai tanda setuju, walau pun pada hakikat kita masak bersama dengan dia tadi.
Situasi 3, ‘gigitan cinta’(love bite) pada leher suami
Biarpun sayang dan cinta kita menggunung tinggi pada suami, tak usahlah meninggalkan bekas ‘love bite’ ni, ia hanya akan menjadi menyebab jiwa madu kita akan diruntun gelisah dan kecemburuan yang menggila.
Lupakanlah nak menunjuk-nunjuk yang suami kita tu lebih sayangkan kita berbanding isteri pertama tu. Lagi pula, perbuatan itu sangat tidak sopan. Kita perlu bicara perkara ini, adakalanya tanpa kita sedar, kita telah melukakan hati ramai orang tanpa sedar.
Ish, cukuplah dulu kita bicarakan bab ni, lain kali kita sambung tip yg seterusnya pula ye…
Tapikan, apa yang penting sebenarnya adalah…“apa yang kita buat, adalah terzahir dari dalaman kita sendiri. Kalau dalam fikiran kita buruk, sifat terzahir akan turut buruk juga”.
Kita perlu belajar cara bagaimana untuk sentiasa positif, fikir positif, sifat positif, cakap positif, barulah kehidupan akan lebih bermakna.
Kredit foto: Instagram Ashraf Muslim dan Kolin Abdullah