Jadi Perempuan Kalau Pemalu Sangat, Sampai Bila-Bila Kau Single

Share

Dalam sebuah hadis, sabda Nabi Muhammad SAW:

“Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sifat malu adalah sebahagian daripada Iman

Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim malah sifat malu juga sudah sebati dalam diri seorang wanita. Malu bukan sahaja untuk kaum wanita malah kaum lelaki juga berhak memiliki perasaan malu dalam diri mereka. Nabi Muhammad SAW juga merupakan insan yang pemalu. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi Muhammad SAW lebih malu sifatnya dari seorang gadis.

Letaklah perasaan malu di tempat yang sepatutnya

Tidak ada salahnya sekiranya perasaan malu itu wujud dalam diri, namun mestilah kena pada tempat yang sesuai. Malulah dalam kebanyakan perkara tetapi dalam bab ilmu, kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri anda.

“Saya ingin berumah tangga tetapi saya seorang yang sangat pemalu. Saya malu untuk memulakan bicara dengan orang terutama dengan kaum lelaki. Perkara ini membuatkan saya sukar didekati lelaki. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain. Perkara inilah yang membuatkan saya runsing dan tidak tahu bagaimana cara untuk mencari jalan penyelesaian..”

Pemalu kepada lawan jenis

Perkara ini adalah masalah biasa. Sesiapa sahaja pasti akan ada perasaan malu apabila berhadapan dengan lawan jenis. Perkara ini sering terjadi kepada kaum wanita yang sedang mencari cinta tetapi malu untuk berhadapan dengan si lelaki. Malah tidak lupa juga bagi kaum lelaki, masih ada sebilangan antara mereka yang mempunyai sifat ini terutama untuk mendekati kaum wanita. Kalau sekadar minat sahaja tetapi tanpa usaha sia-sia sahaja kan?

Malu tidak bertempat akan membawa kerugian

Sesungguhnya perasaan malu yang tidak bertempat mampu menyebabkan hidup anda kehilangan banyak kesempatan dan peluang. Malu juga boleh menyebabkan anda tidak dapat bergaul dengan orang lain dan tidak dapat meluahkan apa yang bermain di fikiran. Hanya sekadar menjadi pendengar sahaja.

Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?

Untuk melawan perasaan ini, anda boleh melakukannya secara berperingkat-peringkat. Sebagai contoh:

Kenali diri dan masalah yang dihadapi dengan mendalam. Tanya pada diri sendiri “kenapa aku malu sangat? Salah ke apa yang aku cuba lakukan?”

Sentiasa berdoa untuk mengembalikan keyakinan diri – memohon agar Allah SWT memberi kekuatan dalam menghadapi apa jua keadaan

Belajar etika bergaul – sosialkan diri dengan bergaul dengan kawan-kawan (selagi ianya tidak melanggar syariat agama yang telah ditetapkan)

Membentuk penampilan baru – boleh jadi disebabkan penampilan yang tidak terurus juga menyebabkan seseorang itu tidak yakin untuk bergaul.

Tidak ada sesiapa pun yang memerhatikan anda

Jangan beranggapan bahawa ada yang sedang memerhatikan anda. Sedangkan itu hanya kelemahan anda yang sering berfikiran bahawa anda sedang diperhatikan. Gara-gara pemikiran itulah membuatkan diri anda tidak yakin. Apa yang paling penting adalah usaha anda untuk memperbaiki kelemahan itu dengan tenang. Tidak perlu beranggapan bahawa kekurangan kita akan menjadi cemuhan orang lain.

Cuba mesrakan diri untuk berkenalan

Tidak salah sekiranya anda terpaksa menjadi hipokrit. Ianya adalah untuk kebaikan anda juga. Hipokrit dengan cuba menjadi mesra dengan orang lain tidak akan membawa kerugian kepada anda. Malah ianya akan memberi keyakinan yang berganda kepada anda. Berkenalan dengan orang lain bukanlah sesuatu perkara yang susah. Mulakan sesuatu dengan perkenalan dengan niat yang jujur dan ikhlas, inshaAllah dipermudahkan.

Mindset perlu diubah

Apa yang paling penting adalah mindset anda. Anda perlu mengubahnya dari pemikiran negatif. Sebagai contoh:

“Aku tak cantik, sudi ke dia berkenalan dengan aku?”

Setiap manusia sudah dianugerahkan dengan keistimewaan tersendiri. Justeru itu, carilah keistimewaan yang ada pada diri anda yang mungkin tidak ada pada orang lain.

Published by
Kim