Tidak meriah majlis perkahwinan tanpa disulami dengan adat Melayu. Budaya yang dibawa hingga ke hari ini mampu memberi keserian buat keseluruhan majlis perkahwinan. Paluan kompang, persembahan silat untuk pengantin, menepung tawar dan lain-lain lagi menjadi acara penting dalam perkahwinan Melayu.
Begitu juga dengan adat berbalas pantun. Pantun merupakan pelengkap majlis yang boleh memeriahkan majlis perkahwinan Melayu. Pantun usik-mengusik sering dijadikan pilihan dalam majlis perkahwinan sekali gus mampu mencuit hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Nak majlis perkahwinan anda jadi bertambah meriah? Jadikan 5 pantun popular ini sebagai penyeri majlis perkahwinan anda, silap-silap boleh jadi viral nanti!
1. PANTUN SEMASA PENGANTIN TIBA
Orang ke laut menjala udang,
Petang hari pasang pelita,
Yang ditunggu sudah pun datang,
Yang dinanti sudah pun tiba.
Tanam serai berumpun-rumpun,
Disiram air setiap hari,
Lemah gemalai hayun tersusun,
Maklumlah dipanggil raja sehari.
2. PANTUN SELAMAT DATANG
Buah pauh mari dikerat,
Alamat petang boleh dimakan
Pada yang jauh dan juga dekat,
Selamat datang kami ucapkan..
Pijat mati disarang kerengga,
Anak murai saja berlari
Hajat hati sekelian keluarga,
Hendak merai raja sehari.
3. PANTUN SELAMAT
Tetak buluh panjang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat,
Rafak susun jari sepuluh,
Minta doa biarlah selamat.
4. PANTUN SEMASA TEPUNG TAWAR
Orang jauh dikenang-kenang,
Hanya terkenang pada yang satu,
Mula berkenalan kemudian bertunang,
Akad dilaksana sama bersatu.
Ads
Anak Cina mengail patin,
Mengail patin di tepi titi,
Senyum terukir pasangan pengantin,
Tanda gembira penuh di hati.
5. PANTUN MAKAN BERADAB
Puan dibawa ke Gunung Ledang,
Dibawa dengan penuh beradab,
Pinggan mangkuk telah terhidang,
Kini tiba makan beradab.
Semerbak haruman bunga Seroja,
Dibelai oleh dara pingitan,
Lauk-pauk penuh semeja,
Jemput semua menikmati hidangan.
Berdua mencari renda,
Dapat satu di Inderagiri,
Doa daripada ayahanda bonda,
Agar masjid kekal berdiri.
6. PANTUN PENUTUP
Tanam pisang tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuknya mati,
Budi semua tak kami lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.
Ads
Tuan puteri tersenyum-senyum,
Melihat laksamana bermain rodat,
Senyum-senyum jangan tak senyum,
Sudah sempurna segala adat.
7. PANTUN TERIMA KASIH
Memang pipit memakan padi,
Telah lagi diberi beras,
Bukan sedikit tuan-tuan berbudi,
Budimu tuan sukar dibalas.
Nasi putih nasi lemak,
Sajian makanan di waktu pagi,
Terima kasih banyak-banyak,
Sudi bertandang ke majlis kami.
Kalau tidak kerana bulan,
Tidak bintang terbit pagi,
Kalau tidak kerana tuan,
Tidak majlis sepermai ini.
Hari ini menugal jagung,
Hari esok memintal tali,
Hari ini kita berkampung,
Meraikan mempelai dua sejoli.
Ads
Anak Cina memasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Selasih,
Pasangan pengantin segak melangkah,
Mara menuju mahligai kasih.
Tiup serunai di atas kota,
Uda memupuk bunga Melati,
Mula kenal kemudian bercinta,
Cinta tersemai di dalam hati
8. PANTUN USIK MENGUSIK
Sudah lama langsatnya condong,
Barulah kini batangnya rebah,
Sudah lama niat dikandung,
baru sekarang diizinkan Allah.
Orang membelat di tepi pantai,
Banyak dapat ikan tembakul,
Yang kami hajat sudah tercapai,
Yang kami doakan sudah terkabul.
Asal dari Bukit Siguntang,
Kisah hikayat tidak terperi,
Kami mengucap selamat datang,
Hadir tuan menambah seri.
Bagai ruas dengan buku,
Bagai daging dengan kuku,
Hidup di air satu perahu,
Di darat satu kelambu.
Bila belum dikurniakan anak, perasaan sensitifnya dengan pertanyaan orang sekeliling tuhan saja yang tahu. Sebab yang bertanya itu takkan pernah tahu bagaimana susah payahnya kita berusaha nak dapatkan cahaya mata.
Jangan patah semangat, jangan rasa Allah tak sayang, sebabnya ujian zuriat ini memang hebat sekali. Malah menurut Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 43 nabi Zakaria dahulu pun pernah diuji ketiadaan anak.
“Isterinya mandul dan dia juga sudah tua, maka dia berdoa pada Allah agar dikurniakan cahaya mata.”
Ia juga ujian kesabaran. Tapi suami isteri kena juga berusaha. Yang usaha-usaha sebelum ini contoh bertemu doktor untuk konsultasi dan sebagainya boleh diteruskan. Tip yang Ustaz Hanafiah kongsikan ini adalah petua. Petua ini perlu diamalkan suami isteri, bersama-sama konsisten selama masih dalam usaha, masa yang ustaz tetapkan setahun.
Beliau juga pernah kongsikan petua yang sama sebelum ini di televisyen. Dan Alhamdulillah ramai yang menghubunginya memberi maklumbalas positif. Akui beliau ulama di Yaman berusia 52 tahun, dan pasangannya disahkan mandul. Dan akhirnya setelah bermacam usaha dilakukan, beliau dan isteri mencuba petua dan diamalkan. “Dengan izin Allah dapat anak.”
.
Petua Dapat Zuriat Daripada Ustaz Hanafiah
Hari Pertama
1 kilo kurma yang liat dan kering (elak yang lembik sebab takkan jadi)
1 liter susu kambing (ambil yang fresh baru afdhal)
Caranya
Suami ambil 1 genggam dari 1 kilo kurma tadi.
Isteri pun ambil 1 genggam dari 1 kilo kurma tadi.
Buangkan biji, masukkan kurma-kurma tadi dalam blender.
Tuangkan 1 liter air susu kambing. Kisar.
Isteri minum separuh, suami minum separuh.
Habiskan dalam masa 1 hari
Hari Kedua Dan hari-hari Seterusnya
.
Pasangan Suami dan isteri makan 7 biji kurma yang kering dan liat (jangan yang lembik) setiap pagi. Selepas ambil kurma minum 1 gelas susu kambing setiap pagi. Kurma boleh dimakan sekali gus atau berselang asalkan dihabiskan untuk 1 hari.
Setiap Kali Cuba Petua, Amalkan Bersama
Surah Maryam ayat 1 hingga 12
“Mandul itu bukan tanda kita tak boleh dapat anak,” sambungnya. Kadangkala sesetengah wanita rahimnya diganggu oleh bangsa jin. Manakala kepantangan makhluk bernama jin ini adalah susu kambing.
InsyaAllah… berdoalah pada Allah semoga pasangan yang mengamalkan petua untuk dapatkan zuriat ini diberikan rezeki anak.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kabisyah Binti Mu`an menikah dengan Asim bin Aslah, seorang lelaki yang telah memiliki seorang isteri dan seorang anak lelaki. Dia hidup bahagia bersama suaminya. Akan tetapi hingga cukup lama Kabisyah Binti Mu`an ternyata tidak dapat memberikan anak kepada suaminya itu.
Suatu hari, isteri pertama Asim meninggal dunia dan dia lantas menjemput anak lelakinya itu untuk tinggal bersamanya dan Kabisyah. Selama tinggal di rumah tersebut, anak itu melihat bahawa isteri ayahnya merupakan seorang perempuan yang baik dan penyayang. Asim juga semakin menyayangi kabisyah kerana isterinya itu menjaga anaknya dengan baik.
Beberapa tahun kemudian Asim jatuh sakit. Dia menoleh kearah isterinya dan dalam keadaan sudah tenat dia berkata, “Kerana pengetahuan aku tentang kelembutanmu dan kasih sayang sayangmu yang besar kepada anak lelaki ku maka aku merasa tidak perlu berwasiat kepadamu tentangnya.” Tidak lama kemudian, Asim menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sebaik saja upacara pengebumian Asim selesai, tiba-tiba Kabisyah dikejutkan oleh tindakan Abul Qais, anak suaminya itu yang melemparkan pakaian kepadanya.
Dalam tradisi Arab jahiliah, apabila suami seorang perempuan meninggal, lalu anak lelakinya atau salah seorang kerabatnya melemparkan pakaian kepada bekas isteri lelaki yang meninggal itu. Hal itu bererti perempuan tidak mendapat warisan apa-apa daripada suaminya. Selain itu, dia juga tidak dapat menikah dengan lelaki lain dan nasibnya bergantung sepenuhnya kepada anak atau kerabat lelaki suaminya. Jika ahli waris lelaki itu mahu, dia boleh menikah perempuan itu atau jika tidak menikahnya dengan orang lain yang dia inginkan atau tidak diizinkan keluar sedikit pun hingga ajal perempuan itu datang.
Kabisyah menyelinap keluar rumah secara diam-diam dan pergi mencari Rasulullah. Dia mengetahui bahawa Islam telah memuliakan kaum perempuan dan menjanjikan syurga bagi yang beriman lagi beramal soleh. Selain itu, Islam juga menggariskan bagi kaum perempuan hak dan kewajipan yang sama seperti lelaki.
Firman Allah, “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (al-Tawbah: 71)
Terdetik dalam hati Kabisyah, bahawa satu-satunya orang yang dapat menyelamatkannya daripada pengurungan dan tindakan sewenang-wenangnya anak suaminya itu ialah Rasulullah.
Setelah berjalan beberapa lama, dia lantas menemui Rasulullah sedang duduk di masjid. Dia lalu berkata, “Wahai Rasulullah, suami saya Asim, baru sahaja meninggal. Anaknya kemudian melemparkan pakaiannya kepada saya. Dengan demikian saya tidak mendapat sedikit pun waris daripada suami saya, saya tidak boleh menikah dengan lelaki lain, bahkan sekarang saya menjadi seorang tawanan di rumah kerabatnya sehingga menanti ajal. Jika demikian, di mana letak kemuliaan Islam terhadap perempuan?”
Ternyata Allah mendengar pengaduannya sehingga tidak lama kemudian turunlah ayat yang mengharamkan kaum muslimin mewarisi perempuan dengan cara seperti itu.
Allah berfirman: “Wahai orang-orang beriman! tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka menuntut cara yang patut. Jika kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya.” (Surah al-Nisa’:19)
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lelaki pada zaman ini pastinya ingin tampil lebih maskulin dan macho. Mereka bijak berhias dan lebih peka dalam menjaga penampilan diri serta kesihatan.Namun begitu, masalah berat badan sering menjadi sebab golongan lelaki malas untuk bersiap dan memperkemaskan diri.
Terdapat banyak cara praktikal yang boleh diamalkan untuk lelaki mendapatkan berat badan ideal dan sempurna. Berikut tujuh tip kurus khusus buat lelaki yang terlebih berat badan.
WAJIB BERSENAM
Untuk menurunkan berat badan, perkara utama yang harus dilakukan adalah bersenam secara berkala. Anda perlu lakukan senaman kerana lemak-lemak lelaki selalunya sukar untuk dipecahkan melainkan melalui senaman yang berterusan. Antara senaman yang boleh menguruskan badan ialah joging, berenang dan berjalan kaki. Untuk memecahkan lemak yang tebal, anda perlu lakukan senaman kecergasan dan senaman berat di gim.
AMBIL PEMAKANAN SEIMBANG
Pilihlah diet makanan yang seimbang dalam kuantiti yang sedikit. Jauhi gula, karbohidrat, makanan segera atau makanan yang diproses, selain makanan berlemak dengan pengambilan yang terlalu banyak. Pilihlah buah-buahan yang segar dan yang paling banyak memberikan nutrisi seperti anggur hitam, plum, strawberi atau buah pic.
BIARKAN PERUT RASA LAPAR
Jika ingin menguruskan badan dengan cara yang cepat dan selamat, anda akan sentiasa berada dalam keadaan yang lapar iaitu berpuasa. Selepas anda melakukan senaman atau ketika ingin berbuka puasa, jangan makan terlalu banyak. Perut yang sentiasa lapar bermakna lemak-lemak anda sedang dibakar untuk ditukarkan kepada tenaga. Kaedah ini jika dilakukan secara konsisten akan menghasilkan kesan yang amat menakjubkan.
UBAH GAYA HIDUP
Tinggalkan gaya hidup anda yang negatif kepada hidup yang lebih bermakna dan menyeronokkan. Contohnya, jika anda selalu bermain permainan video terlalu lama, banyak tidur atau lepak sambil menonton televisyen, berhentilah segera dan ubah perangai buruk tersebut. Tukarkan aktiviti tersebut dengan aktiviti yang lebih seronok seperti menolong ibu membuat kerja-kerja rumah, menukang, berkebun, memanjat gunung atau keluar beriadah dengan berjalan-jalan di taman.
BERHENTI MEROKOK
Tahukah anda, rokok atau seumpamanya mengandungi bahan kimia tinggi yang akan melemahkan anda secara fizikal dan mental? Jadi, kuatkanlah semangat untuk berhenti dari terus-menerus menghisap bahan kimia demi kelangsungan hidup yang sihat dan berpanjangan. Kehidupan anda bukan sahaja semakin sihat, malah anda juga dapat menyimpan duit dan berjimat cermat.
TIDUR YANG MENCUKUPI
Tidur yang tidak teratur dan tidak cukup membuatkan badan mudah lesu sekali gus membuatkan berat badan bertambah. Dapatkan jumlah tidur yang cukup sekurang-kurangnya enam jam sehari. Tidur yang cukup dapat membantu anda untuk lebih relaks dan mengawal kadar metabolisme tubuh badan.
MINUM AIR PUTIH SECUKUPNYA
Petua yang cukup mudah dan murah ini sangat berkesan untuk menurunkan berat badan kerana ia tidak memiliki kalori, karbohidrat atau protein. Bagi anda yang suka mengambil minuman berkalori tinggi seperti minuman bersoda, mocha, kopi atau teh dan air berkalori lainnya, anda dinasihatkan agar menggantikan air berkalori kegemaran anda dengan air putih.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!