Road to Jannah seorang wanita adalah apabila dia sudah berkahwin dan ingi menjadi isteri teraik untuk suami. Ciri-ciri wanita yang menjadi pilihan suami tentunya yang hebat-hebat. Tapi mampukan wanita atau isteri ni jadi seperti yang suami inginkan?
Teringat pula video Datuk Dr.Prof Muhaya Mohamad tentang nasihatnya untuk menjadi wanita bodoh-bodoh demi menjemput jodoh sehingga membuat pakar motivasi ini membuat permohonan maaf. Ramai yang salah sangka dengan kata-katanya.
Menurut Ustaz Ahmad Dusuki:
“Maksud kalimah beliau ‘bodo bodo sikit’ tu bukan bermaksud membodohkan diri, tapi merujuk kepada merendahkan diri, tidak terlalu menyombong dan ego dengan apa yang di miliki. Bahasa mudah lebih tawadduk, agar di angkat darjat di sisiNya kepada posisi perempuan solehah, demikianlah anugerah jodoh yang baik yang Allah sediakan,
وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.
Manakala, perempuan buruk dan ego serta menyombong dengan anugerah sedikit yang di kurniakan oleh Allah kepadanya, Allah berfirman kepadanya..
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ ۖ
Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat.”
Ok, jom kita lihat versi ‘wanita bodoh-bodoh’ mengikut istilah lebih ringkas!
Kalut
Kalut atau bahasa sebenarnya adalah tergesa-gesa. Wanita yang sudah berkahwin sentiasa ingin mendampingi suaminya. Bukankah wanita seperti ini menjadi dambaan suami? Mereka tahu apa yang membahagiakan suami malah sanggup berkejar-kejar untuk menjadi ‘pandangan’ untuk suami tersayang.
Beruntungnya bila dapat isteri yang sanggup mengejar masa untuk pulang ke rumah. Bukan hanya untuk berjumpa suami tersayang tetapi demi untuk mendapatkan peluang berjemaah dengan suami. Itulah hikmah berkahwin, bersolat dengan berimamkan suami tercinta.
Misalnya, apabila seorang isteri mengetahui suaminya akan pulang pada waktu kebiasaan, seboleh-bolehnya dia mahu berada di depan muka pintu dengan keadaan yang sudah bersiap-sedia. Disembur wangi-wangian, pakaian yang cantik atau sekurang-kurang tersedia secawan Nescafe panas dengan biskut kering. Kan romantik!
Rendahkan priority diri
Apabila seorang isteri meletakkan suami mendahului dirinya, itulah yang menjadi dambaan lelaki. Suami akan merasakan betapa dirinya penting dalam kehidupan isteri, apatah lagi kepada anak-anak.
Ada sesetengah wanita meletakkan kerjaya dan pendidikan sebagai keutamaan. Mungkin kadang-kadang kita lupa, keutamaan sebagai seorang wanita bergelar isteri adalah agama dan suami. Belajar untuk mengimbangi kehidupan adalah sesuatu yang sangat sukar dilakukan tetapi berbaloi untuk dicuba. Tidak semestinya perkara lain harus dilupakan. Seimbangkan dengan baik, InsyaAllah semuanya akan jadi lebih sempurna.
Bayangkanlah senyuman suami yang terukir apabila isteri sanggup meluangkan masa bersamanya berbanding sibuk dengan urusan kerja yang tak pernah habis. Momen bersama yang tersayang sukar dikembalikan tetapi mudah untuk disegarkan semula.
Goodbye egois!
Sifat ego atau mementingkan diri memang ada dalam diri setiap orang. Namun jika sifat itu dijauhi, makin kuatlah ciri-ciri yang menjadi dambaan seorang lelaki. Cuba ‘telan’ sifat ego itu kerana adakalanya ia hanya akan memakan diri.
Ada suami yang harus menerima hakikat, isteri berjawatan lebih tinggi dengan pendapatan lebih lumayan berbanding dirinya. Janganlah pula isteri mengambil kesempatan dengan meletakkan ego terkehadapan. Suami tetap ketua dalam keluarga dan menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami. Jadikan suami orang paling penting dalam hidupmu. Berikan gambaran kepada suami, keberadaannya di sisi memudahkan segalanya.
Di pejabat, anda mungkin ketua yang menjaga berbelas malah berpuluh orang kakitangan. Tetapi di rumah, ada seorang suami yang akan menjaga kamu. Tanpa had kasih sayang dan tanpa had gaji malah 24 jam sehari!
Gedik-gedik manja
Suami mana yang tak mahu isteri yang manja. Gedik yang dimaksudkan pula hanya perangai mengada-ngada di depan suami.
Semestinya wanita zaman sekarang sangat hebat. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan lelaki, boleh juga dilaksanakan dengan baik oleh seorang wanita. Apabila di rumah, simpanlah sedikit aura ‘superwoman’ anda.
Mintalah suami angkatkan kain yang perlu di sidai diletakkan berhampiran ampaian. Pujuklah suami membersihkan ikan sebaik pulang dari pasar atau berikanlah tugasan pada suami untuk gantung jam di dinding. Memang semua tugas ini satu kepandaian wanita tetapi bila suami ‘ditugaskan’ dalam perkara mudah seperti ini, mereka rasa sangat diperlukan.
“I’m sorry sayang…
Tidak pernah lokek dengan ungkapan maaf walaupun kadang-kadang anda tahu itu bukan kesalahan anda.
Manisnya hubungan kasih sayang itu adalah apabila kita tahu apa yang boleh mengembalikan suasana menjadi manis dan gembira. Sebagai wanita yang berilmu, kenyataan maaf tidak seharusnya menjadi perkataan keramat untuk diungkapkan. Tak rugi pun minta maaf. Bukan sahaja disayangi orang, yang lebih penting adalah menjadi kesayangan Allah.
Perasan tak, tanpa kita sedari setiap hari kita bersama kawan-kawan lebih dari bersama suami. Di rumah, handphone sentiasa di tangan, Whatsapp sana sini sehingga suami di sebelah pun sama naik dengan game di tangan. Tetapi apabila anda tiba-tiba meminta maaf, simpan telefon dan terus bersandar di bahunya, tentu dia rasa sejuk hati. Secara automatik, dia pun akan tinggalkan game tadi. Indahnya saat itu kan!
Inilah ciri-ciri wanita dambaan lelaki. Jangan pernah rasa susah untuk berubah atau belum tiba masanya untuk melakukan perubahan. ‘Pegang’ rasa kasih sayang itu kerana Allah Taala dan berubahlah untuk menjadi isteri yang lebih baik dan wanita yang menjadi dambaan suami.