Jaga Adab Dalam Pertunangan, Ini Bukan Bermakna Anda Dah Dapat Cop ‘Halal’

Share

Setiap pasangan pasti akan melalui fasa pertunangan tidak kira sama ada ia dilakukan dalam satu majlis besar-besaran atau majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga sahaja. Itu merupakan pilihan masing-masing.

Fasa pertunangan dikatakan fasa untuk mengenali pasangan serta keluarganya dengan lebih dekat lagi. Jangan terkejut kerana tidak ramai yang mampu bertahan untuk meneruskan hubungan kerana tidak mampu menghadapi ujian dan cabaran yang begitu hebat.

Bertunang tidak bermakna anda akan berkahwin dengan dia. Syaitan memang akan mengganggu perhubungan kerana tidak mahu kita menjadi pasangan yang halal. Jadi, jagalah batas anda ketika bertunang. Ingat, pertunangan bukan ‘lesen’ untuk anda dan pasangan buat apa sahaja mengikut kata hati.

Ketahui adab-adab yang perlu dipatuhi ketika bertunang. Semoga bermanfaat untuk anda dan semoga urusan anda dipermudahkan hingga ke jinjang pelamin.

1. Pertunangan Bukan Lesen Untuk Keluar Berdua

Ramai pasangan yang mengambil kesempatan untuk keluar berdua sehingga tidak menjaga batas pergaulan. Pertunangan bukan seperti ikatan perkahwinan yang sudah sah. Anda masih perlu menjaga batas pergaulan jika bersama pasangan.

2. Jangan Melengahkan Pernikahan

Apabila sudah mengikat tali pertunangan, ini bermakna anda dan pasangan perlu segera membuat perancangan untuk bernikah. Jangan sengaja melengahkan masa dan melambatkan pernikahan. Perlu anda tahu bahawa semakin lama pertunangan, semakin banyak cabaran yang perlu anda tempuhi.

3. Bertunang Tak Perlu Mewah

Jangan terlalu mengikut trend sehingga membazir hanya untuk majlis pertunangan. Lebih baik simpan duit untuk kahwin nanti. Lebih baik jika majlis anda hanya dihadiri oleh saudara-mara kerana jika putus, tidaklah anda malu di kemudian hari.

4. Solat Istikharah Jangan Dilupakan

Walaupun anda rasa si dia adalah yang terbaik untuk anda, mintalah juga petunjuk daripada Allah. Ia lebih menjamin kebahagiaan anda sekaligus membuatkan anda memilih pasangan hidup yang tepat.

Published by
Anis Nor