‘Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.’ Itu petikan lirik lagu nyanyian Tan Sri P Ramlee dalam filem Tiga Abdul yang menggamit memori kisah rumah tangga. Apa yang diceritakan dalam filem dan lagu itu adalah kisah realiti kehidupan berumah tangga.

Firman Allah dalam surah Ar-Rumm, ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Jaga Mulut, Niat Meluah Masalah Boleh Jadi Menjaja Cerita Keburukan Pasangan

Ayat itu jelas menyatakan matlamat perkahwinan adalah untuk berkasih sayang, di samping menjaga dan menjalankan kewajipan masing-masing. Malah, Islam menggariskan setiap umatnya apatah lagi pasangan suami isteri menjaga aib masing-masing. Menceritakan dan menjaja cerita berkenaan masalah dalam rumah tangga atau keaiban pasangan jelas bertentangan dengan roh keharusan perkahwinan.

Matlamat menjaja cerita itu untuk tujuan apa sebenarnya? Adakah untuk dihebahkan kepada semua orang mengenai kekurangan dan keaiban pasangan? Perbuatan seperti itu amat ditegah dan haram dilakukan. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (at-Thabrani)

IKLAN

Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya dikatakan ‘harta’ dan benteng rahsia keluarga. Menjadi tanggungjawab suami isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan itu, Islam melarang keras orang yang mencuri pandang dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jika ada orang yang menjenguk-jenguk rumahmu tanpa izin, lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.” (Bukhari dan Muslim)

Jaga Mulut, Niat Meluah Masalah Boleh Jadi Menjaja Cerita Keburukan Pasangan

Maruah membabitkan aurat, aib dan kelemahan seseorang.

Firman Allah yang maksudnya: “Adapun wanita yang solehah itu ialah wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (Surah an-Nisa’, ayat 34) Sekiranya rumah tangga abang dan kakak ipar diuji dengan masalah, sewajarnya diusahakan jalan penyelesaian menjurus kepada kedamaian dan membaiki khilaf masing-masing.

IKLAN

Menjaja masalah bukan jalan penyelesaian yang dianjurkan syarak. Dalam masalah ini, suami iaitu abang sedia maklum perbuatan isterinya. Maka, suami patut segera mengambil tindakan menasihati dan berbincang dengan isteri mengenai sikap yang tidak disukai itu. Sebagai isteri pula, dia perlu patuh kepada kehendak suami yang tidak mahu isteri menjaja dan mengaibkannya di hadapan orang luar.

Namun, jika masalah dialami menyebabkan isteri merasakan dirinya dianiaya, isteri perlu menceritakan perkara itu kepada pihak yang dipercayai dan mampu menyelesaikan masalah berkenaan. Dalam konteks ini, syarak menggariskan konsep ‘hakam’ iaitu wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita.

IKLAN

Ia disebutkan melalui firman Allah yang maksudnya: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan.” (Surah an-Nisa’, ayat 35)

Peranan hakam adalah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak.Bagaimanapun, sekiranya masalah itu masih boleh diselesaikan di peringkat suami isteri sahaja, maka pembabitan hakam tidak diperlukan. Sebaik-baiknya diusahakan perdamaian dan memelihara keaiban masing-masing. Jika perkara itu menyebabkan kemudaratan yang lebih buruk dan besar, maka tindakan wajar perlu diambil dan ketika itulah pembabitan hakam diperlukan.

Penulis peguam syarie

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI