Jalani Ramadan Dengan Tenang Walaupun PKP Masih Diteruskan

Share

Tidak lama lagi, kita akan menyambut bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan kasih sayang. Ternyata Ramadan kali ini cukup berbeza dan tidak sama seperti tahun-tahun yang lalu apabila tidak semua berpeluang untuk pulang ke kampung menyambut bersama keluarga.

Jika tahun lalu kita boleh berjemaah menunaikan solat terawih di masjid, suasana itu tidak akan kita rasai pada tahun ini. Begitu juga dengan bazar Ramadan. Semuanya terpaksa dibatalkan kerana wabak Covid-19 yang melanda negara kita. Aduh, terasa sungguh sayu sekali Ramadan tahun ini.

Walau apa pun, hidup perlu diteruskan dan kita perlu berpuasa seperti biasa. Jalanilah Ramadan tahun ini dengan penuh ketenangan dan kesabaran. Berdoalah agar wabak ini segera pergi dan kita boleh pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta.

Menurut Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan menerusi artikel di mStar, ini antara persiapan yang boleh kita lakukan untuk menghadapi bulan Ramadan pada musim Covid-19.

1. Ikhlaskan Niat Kerana Allah

Pasanglah niat di dalam hati untuk menggunakan waktu di bulan mulia ini untuk beribadah dengan membaca Al-Quran, qiamullail, berzikir, berdoa dan apa sahaja amalan yang mendekatkan diri dengan Allah.

2. Buat Jadual

Sediakan jadual untuk kita melakukan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri dengan Allah. Jika tidak, kita akan leka dengan telefon pintar atau televisyen. Maklumlah, banyak cerita menarik yang disajikan di televisyen hingga kita lupa tujuan sebenar kita berpuasa.

3. Wujudkan Suasana Ramadan Di Rumah

Inilah masa untuk kita berkumpul bersama ahli keluarga untuk melakukan ibadah bersama-sama seperti solat berjemaah, tadarus Al-Quran, berzikir dan banyak lagi. Jika anda berjauhan dengan keluarga, lakukanlah amalan ini bersama rakan-rakan atau orang yang ada berhampiran anda. Ingat, jangan keluar rumah! Semua aktiviti perlu dilakukan di dalam rumah.

4. Hayati Kisah Nabi & Para Sahabat Dalam Menghadapi Ramadan

Kisah para Nabi dan sahabat telah direkodkan di dalam Al-Quran dan banyak memberi ibrah di dalam kehidupan. Jika ada masa terluang, suami bolehlah menyelitkan perkongsian tersebut kepada isteri dan anak-anak untuk dijadikan teladan. Semoga kisah tersebut dapat memberi pengajaran kepada mereka tentang erti kesabaran dan kesyukuran.

Sumber: mStar

Published by
Naqiyatul Uzma