Hubungan

“Jangan Bertahan Demi Anak-anak Kalau Berada Dalam Rumah Tangga Toksik!” Nelissa Nizam

Share

Tak perlu bertahan demi anak-anak kalau jadi mangsa keganasan rumah tangga, itu pandangan pelakon wanita, Nelissa Nizam apabila dia sendiri pernah lalui perkara yang sama.

Jangan Bertahan Demi Anak-anak

Menerusi portal hiburan, pemilik nama lengkap, Nelissa Adreena Nizam, 26, itu berkata, membiarkan diri dalam lingkungan toksik demi anak-anak merupakan perkara tidak masuk akal dan mengundang natijah lebih teruk terhadap psikologi.

“Pada saya jangan jadikan anak-anak sebagai alasan mempertahankan perkahwinan toksik. Tiada guna kerana anak-anak juga akan mendapat kesan buruk dan mustahil untuk berasa bahagia sekiranya membesar dalam lingkungan sebegitu,” katanya.

Kena Berani Selamatkan Diri

Pelakon filem Saka Perawan itu turut meluahkan harapan agar wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga berani untuk tampil dan berusaha menyelamatkan diri dan anak-anak.

“Saya mengharapkan kepada ibu di luar sana supaya memikirkan juga keadaan dan kesan kepada anak-anak. Jangan paksa mereka untuk membesar dalam keadaan sebegitu.

“Bagi saya menyelamat dan melindungi diri sendiri itu penting. Membesarkan anak sebagai ibu tunggal tidak akan melemahkan,” katanya.

Lari Daripada Kehidupan Toksik

Pelakon Saka Perawan

itu juga menzahirkan kesyukuran apabila ibunya sendiri sudah melakukan tindakan tepat untuk membebaskan diri daripada dibelenggu toksik.

“Apa yang boleh saya katakan adalah perasaan sangat bersyukur kerana semua itu sudah berakhir dan kami sekeluarga tidak lagi berhadapan dengan pengalaman sebegitu.

“Dahulu kes keganasan rumah tangga ini tidak ramai yang ambil tahu atau peka terhadap persekitaran mereka. Begitu juga yang berlaku kepada saya dahulu apabila jiran saya tidak tahu apakah yang perlu mereka lakukan untuk membantu.

“Selepas ibu berpisah, kami semua membesar dan belajar untuk hidup berdikari sendiri. Selepas tamat sekolah, kami adik-beradik saling membantu keluarga mencari wang untuk keluarga. Tidak menjadi masalah dan lihat sekarang, kami semua baik-baik saja,” katanya.

Terdahulu Nelissa mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak berusia kanak-kanak. Disebabkan pengalaman masa lalu juga, dia mengalami kesukaran melakonkan beberapa babak melibatkan penderaan fizikal.

Jadi buat pasangan suami isteri, jika anda berada dalam situasi ini, mungkin boleh fikir jalan terbaik demi masa depan anak-anak. Jangan sampai mereka jadi mangsa penderaan rumah tangga.

Gambar: Nelissa

Published by
Nadia