Salah satu keadaan yang akan dialami oleh wanita hamil adalah masalah kaki bengkak. Keberatan kandungan di dalam perut adalah salah satu punca yang menyebabkan kaki anda bengkak. Namun, pernah tak anda mengalami atau mendengar kes ibu hamil atau dalam pantang mengalami bengkak pada sebelah kaki sahaja? Penting untuk anda ambil berat tentang isu ini kerana ia bukannya sakit yang biasa. Seperti apa yang dikongsikan oleh doktor ini dimana beliau pernah berhadapan dengan kes ibu hamil mengalami bengkak kaki sebelah dan meragut nyawa. Hal ini kerana berlaku masalah darah beku dalam kalangan ibu hamil yang tidak diketahui secara meluas.
IBU HAMIL DAN BERPANTANG JANGAN AMBIL RINGAN GEJALA LENGUH KAKI DAN BENGKAK SEBELAH
Menyaksikan kematian seorang ibu adalah saat yang paling mendukacitakan kepada kami kerana kematian seorang ibu bermaksud hilangnya seorang ibu kepada anak-anaknya dan terpisahnya sepasang suami isteri buat selama-lamanya. Ibu-ibu ini pula masih muda, berkerjaya dan masih produktif. Kadar kematian ibu adalah petunjuk kepada kualiti perkhidmatan kesihatan keseluruhannya. Saya berkongsi satu kematian ibu yang pernah berlaku agar cerita ini dapat dijadikan pengajaran.Seorang ibu, Puan M berusia 32 tahun melahirkan anak kedua secara normal di hospital. Semasa hamil tidak ada masalah dan proses kelahiran pun berjalan dengan baik. Pada hari ke 4 selepas bersalin beliau mula mengalami lenguh-lenguh di sebelah kaki kiri. Walau bagaimanapun Puan M masih boleh berjalan serta menguruskan diri dan menganggap ianya perkara kecil.Tidak ada gejala-gejala lain yang serius. Pada malam hari ke 6, Puan M mula mengalami sakit dada dan malam itu tidurnya tidak nyenyak, beliau cuba melegakan sakit dengan menggosok dadanya dengan minyak angin. Besok paginya beliau memandikan anak kecil.Semasa memandikan anak kecilnya, Puan M tiba-tiba merasa pening dan terus pengsan. Suami menjadi panik dan menalipon hospital.
PERNAFASAN SUDAH TERHENTI DAN JANTUNG TAK BERDENYUT!
Melihat keadaan Puan M yang semakin serius, suaminya mengambil keputusan untuk membawa sendiri Puan M ke hospital tetapi di tengah jalan, Puan M kelihatan seperti nazak, kemudian tidak bernafas. Suami Puan M mengambil keputusan untuk singgah ke sebuah klinik kesihatan berdekatan dan doktor yang bertugas memberi rawatan kecemasan. Ketika itu pernafasan Puan M sudah berhenti dan jantung sudah tidak berdenyut. Doktor melakukan CPR dan memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasan. Puan M kemudian dibawa ke hospital besar dan pakar kecemasan meneruskan CPR.
Pakar dan pasukannya berjaya mengembalikan denyutan jantung serta tekanan darah Puan M. Ujian CTPA dapat dilakukan dan mendapati Puan M mengalami “massive pulmonary embolism” yakni banyak saluran darah di paru-parunya dipenuhi dengan darah beku. Walaupun dirawat oleh ramai doktor pakar yang berpengalaman, Puan M tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada hari ke-3 di hospital.
ALIRAH DARAH WANITA HAMIL MUDAH MEMBEKU
Salah satu perubahan fisiologi yang berlaku ke atas wanita hamil adalah aliran darah yang lebih mudah membeku. Ini adalah adaptasi yang penting untuk mengurangkan pendarahan semasa bersalin dan keadaan ini berterusan walaupun selepas melahirkan anak terutama pada minggu pertama. Faktor ini juga meningkatkan risiko terjadinya darah beku di dalam saluran darah kaki yang dikenali sebagai DVT (“Deep Vein Thrombosis”). Selalunya berlaku di salah satu kaki terutamanya betis.
DVT yang tidak dikesan dan dirawat boleh menyebabkan darah beku itu terlepas dan memasuki saluran darah paru-paru. Jika darah beku ini banyak dan menyumbat saluran darah paru-paru, ia boleh menyebabkan kegagalan jantung kanan dan mengurangkan darah kembali ke jantung kiri. Akibatnya bekalan darah ke organ-organ yang penting seperti otak dan jantung akan terjejas dan pesakit boleh meninggal pada kadar yang cepat. Di antara risiko tambahan yang menyebabkan berlakunya DVT ini adalah kurang pergerakan, kekeringan akibat tidak mengambil air yang mencukupi, mempunyai sejarah darah beku pada masa lalu, pembedahan, menghidap penyakit Thrombophilia dan lain-lain. Kadangkala DVT berlaku secara senyap.
Pengajaran daripada kes kematian Puan M yang trajis ini adalah jangan mengambil ringan masalah LENGUH dan SAKIT SEBELAH KAKI (SAKIT BETIS) samada semasa hamil ataupun selepas melahirkan anak (terutama minggu pertama selepas bersalin). Jika anda mengalami gejala ini ataupun mendapati sebelah kaki membengkak, kemerahan dan sakit apabila dipicit, sila maklumkan petugas perubatan ataupun pergi berjumpa dengan doktor dengan segera.
Lebih serius lagi jika gejala sebelah kaki itu diikuti dengan SAKIT DADA dan JANTUNG BERDEBAR, pada saat ini berkemungkinan Pulmonary Embolism sudah berlaku. Jika DVT dapat dikesan pada peringkat awal, ianya boleh diubati dan Pulmonary Embolism dapat dicegah. Puan M mungkin dapat diselamatkan jika beliau dibawa berjumpa dengan doktor semasa mengalami lenguh sebelah kaki, 2 hari sebelum mengalami sakit dada dan pengsan. Malangnya darah beku yang banyak sudah pergi ke paru-paru Puan M dan pada ketika itu jantung dan paru-parunya sudah gagal berfungsi. Semoga tragedi ini tidak berulang kepada ibu2 yang lain. Pulmonary embolism adalah penyebab kematian ibu yang ketiga paling utama di Malaysia.
Sumber : DDr Rushdan Noor, Pakar Perunding Kanan O&G
Kredit: Sirap Limau
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI