Bak kata orang-orang dulu, ‘bila sedang bercinta, ibarat dunia kita yang punya’. Inilah masalah yang dihadapi oleh mereka yang menganggap dunia ini hanya milik berdua, terutama sekali apabila sedang asyik berpacaran mahupun bertunang sehingga tidak menyedari ada mata-mata yang memandang kelakuan anda berdua yang cukup menjelikkan.
Jangan jadi mangsa kecaman orang-orang sekeliling! Hal ini sering kali dipandang remeh terutama sekali bagi golongan muda yang sedang mabuk cinta juga mereka yang dalam proses bertunang. (Nak tunjuk dekat siapa bahagia tu?) Mungkin perilaku anda tidak menganggu ketenteraman orang di sekitar, namun ia cukup membuatkan orang ramai menyampah melihat gelagat anda berdua.
1) Berjalan terlalu perlahan di kawasan hot spot
Dipercayai masalah ini sering dihadapi oleh kita, terutama sekali apabila kita sedang dalam keadaan terburu-buru ingin menyelesaikan sesuatu hal. Namun, langkah kita diperlahankan gara-gara ‘terperangkap’ di belakang pasangan yang berjalan longlai dan gemalai, terutama sekali di kawasan yang padat dan sesak dengan orang ramai. Cukup menyusahkan! Oleh itu, elakkan dari bertindak sebegitu apabila sedang berjalan berdua dengan kekasih hati.
2) Memakai Pakaian Serupa (Matching Couples)
Ads
Ini mungkin dianggap remeh, tetapi yang pasti bukan semua dapat menerima tindakan ini. Dengan memakai baju T-shirt dengan corak yang sama, ditambah pula dengan pelbagai reka letak dan ayat-ayat yang menyatakan anda berdua adalah pasangan, ini mungkin dianggap keterlaluan. Mungkin anda mengikut trend fesyen terkini, namun anda dilihat seolah-olah cuba untuk memberitahu kepada awam bahawa anda berdua adalah ‘couple’. Hentikan! Anda bukanlah sesiapa.
3) Mesra tahap maksima!
Ini wajar untuk anda elakkan. Haruslah anda ingat, anda berdua kini berada di kawasan awam yang dipenuhi dengan orang ramai. Pastinya gelagat anda dapat diintai dan dikecam. Elakkan bermesra secara berlebihan seperti bercium-ciuman, tangan dimasukkan di kocek belakang pasangan, meraba-raba ketika duduk di bangku mahupun menyuapkan makanan ke mulut dengan gaya cukup menghairahkan.Hormatilah orang sekeliling anda!.
Ads
4) Anda tidak perlu terlalu ‘gentleman’
Sememangnya wajar untuk anda tunjukkan sisi gentleman kepada si dia, tetapi janganlah berlebihan. Ingat, anda adalah lelaki bukannya hamba kepada si dia. Sering kali kita lihat ada sahaja pasangan iaitu si lelaki diibarat terpaksa menurut perintah dengan memegang hand bag pasangan kemana sahaja. Lebih memeritkan, ada yang sanggup memegang pelbagai barang-barang yang lain semata-mata nak mengambil hati. Si dia mungkin terpaut hati, tetapi anda yang merana bukan?
Ads
5) Panggilan manja kurang menyenangkan
Ini juga sering kali terjadi. Mungkin anda dan pasangan tidak menyedari atau menganggap sesuatu ‘gelaran’ dapat menambahkan jalinan kemesraan. Sebenarnya tidak bagi orang awam yang mendengarnya. Cukuplah dengan gelaran ‘sayang’. Elakkanlah dari menggunakan gelaran-gelaran seperti ‘boo’, ‘papa dan mama’ (bagi yang belum berkahwin) ataupun lain-lain. Sekiranya anda mempunyai gelaran manja yang tersendiri, seeloknya ia dijadikan rahsia perhubungan anda. Pasti manis bukan?
6) Gaduh mengalahkan pasangan bercerai
Ini pula berlaku terutama sekali bagi pasangan yang bergaduh ketika sedang berpacaran. Kawal suara dan emosi. Anda kini berada di tempat awam. Janganlah pula anda dan pasangan bergaduh, melenting tak tentu pasal, mengomel, merungut dan saling menyalahkan ibarat pasangan kahwin yang ingin bercerai. Beretika dan jagalah tingkah laku dan adab anda apabila menghadapi situasi sebegini.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mahu rezeki terus terbuka dan lancar? Berzikirlah ! Zikir itu adalah jalan pintas atau jalan termudah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kerana zikir tidak terbatas ruang dan waktu. Setiap saat kita boleh melakukannya. Bukan hanya setelah solat fardhu bahkan saat menunggu mahupun di selang seli aktiviti kerja kita boleh berzikir.
Zikir itu intinya adalah mengingat Allah setiap saat. Bukan hanya komat-kamit membaca serangkaian kata-kata dalam bahasa Arab tapi hendaknya harus mengerti erti atau maknanya. Zikir yang terbaik adalah yang mengagungkan Allah seperti Asmaul Husna. Kita mengenal ada 99 nama yang dimiliki Allah yang intinya mengagungkan dan membesarkan namaNya.
Salah satu Asmaul Husna yang sering saya amalkan adalah Ya Fattah Ya Razzaq.
Al Fattah
Erti dari Asmaul Husna ini adalah pembuka. Jika diamalkan secara rutin boleh membuka rezeki, membuka jodoh, membuka jalan usaha, membuka fikiran yang tertutup, membuka langit, membuka keampunan. Apa saja yang terasa tertutup dan kita ingin membukanya dengan izin Allah maka zikir mengulang-ulang nama Allah Ya Fattah boleh dilakukan.
Bagi yang belum bertemu jodoh, zikir ini bererti memohon agar dibukakan jodohnya, dipertemukan dengan orang tepat dan boleh membimbing dan dibimbingnya menuju jalan Allah.
Bagi yang belum punya anak, zikir ini bererti memohon agar diberi kesempatan memiliki buah hati dari rahim sendiri. Bagi yang belum punya pekerjaan, zikir ini bererti memohon agar dibukakan jalan menuju pekerjaan impian atau di bukakan jalan untuk memulai usaha sendiri.
Bagi yang punya banyak dosa, zikir ini bererti memohon agar pintu keampunan Allah dibukakan untuknya. Bagi yang punya banyak masalah, zikir ini bererti memohon dibukakan jalan keluar dan solusi dari semua masalah yang menimpa. Bagi yang lagi sakit, zikir ini bererti memohon dibukakan jalan kesembuhan baginya.
Ar Razzaq
Ya Razzaq adalah Maha Pemberi rezeki. Kita semua tahu bahawa Allah lah yang memberi rezeki. Jika diamalkan secara rutin maka rezeki insya Allah akan terus mengalir dan datang dari tempat yang tak disangka-sangka, dibebaskan dari masalah kewangan dan sebagainya.
Bagi orang yang rezekinya sedikit, susah, tak cukup, sukar diperolehi boleh mengamalkan zikir ini agar rezekinya lancar dan berkat.
Bagi yang memiliki anak, boleh membaca zikir ini agar anak yang dikandungnya atau dididiknya menjadi anak soleh, tidak degil, bermanfaat dan boleh jadi tiket buat menghantar orang tuanya ke pintu surga.
Bagi suami isteri yang mengharungi bahtera rumah tangga yang bermasalah, zikir ini bermanfaat untuk memohon rezeki rumah tangga yang sakinah dan menyatukan dua hati yang berjarak.
Bagi yang sedang usaha dan ingin usahanya terus membawa rezeki, amalan zikir boleh diamalkan. Bagi yang ingin naik haji dan umrah segera boleh merutinkan bacaan zikir ini agar dimudahkan rezekinya menuju ke sana.
Bagi yang perlukan pembiayaan pendidikan, pengubatan, usaha dalam jumlah banyak boleh mengamalkan zikir ini agar dimudahkan memperolehi biaya tersebut.
Cara mengamalkan Ya Fattah Ya Razzaq Banyak yang menyarankan agar membacanya sebanyak 111 kali setiap hari, 99 kali, 66 kali ataupun 33 kali. Bahkan kalau mampu boleh sampai 1000 kali atau 300 kali. Semakin banyak semakin baik.
Hendaknya diamalkan dimana saja dan bila saja, tidak mesti harus selesai shalat fardhu saja. Kalau saya peribadi membaca Ya Fattah Ya Razzaq setiap selesai solat fardu 11 kali (disamping membaca tasbih, tahmid dan takbir). Saya juga membacanya setelah selesai solat sunat dhuha dan solat sunat tahajud.
Setiap selesai dua rakaat solat sunat tersebut sebelum melanjutkannya ke dua rakaat selanjutnya saya sempatkan membaca Ya Fattah Ya Razzaq sebanyak 11 kali. Baru kemudian saya lanjutkan dua rakaat berikutnya, selesai salam kembali membaca zikir tersebut sebanyak 11 kali.
Begitu seterusnya, apabila bulan Ramadhan saya juga mengamalkannya diantara solat tarawih, agar puasa saya lebih diberkati dan dimudahkan. Uztaz Yusuf Mansyur menyarankan membacanya minima 12 kali, iaitu 5 kali setelah solat fardu, 1 kali setelah dhuha, 1 kali setelah tahajud dan 5 kali diantara azan dan iqamat.
Disamping membacanya tetap berusaha seperti biasa, yang kerja tetap kerja yang berniaga tetap berniaga, jangan berhenti. Yakin bahawa Allah akan mengabulkan hajat kita, membuka apa yang tertutup dan melancarkan apa yang tersekat termasuk rezeki kita. Menyuburkan amalan-amalan pendorong doa, amal soleh dan sebolehnya hindari maksiat.
Setiap saat boleh diamalkan kemudian dilanjutkan doa sesudahnya, memohonkan hajat kita. Bahkan ketika memandu pun boleh baca zikir tersebut sambil mendengarkan lantunan lagu-lagu dari CD atau turut mendengarkan berita dari radio kenderaan.
Pengalaman saya setelah mengamalkan zikir Ya Fattah Ya Razzaq Saya akui bahawa saya orang yang tidak terlalu alim. Ilmu saya masih sedikit dan menjalankan agama sesuai dengan ilmu yang sedikit itu. Zikir ini memang saya amalkan setelah membaca tauziah Uztaz Yusuf Mansyur mengenai percepatkan rezeki dengan zikir Asmaul Husna termasuk Ya Fattah Ya Razzaq.
Seboleh mungkin saya berusaha untuk tidak meninggalkan solat sunat rezeki iaitu shalat dhuha sebanyak 6 rakaat setiap harinya. Saya usahakan untuk shalat tahajud meskipun cuma 2 rakaat (meski terus terang lebih banyak tidurnya hehehe..).
Setelah rutin mengamalkan dengan cara di atas tadi saya tidak pernah merasakan masalah kewangan yang teruk. Pekerjaan saya sebagai pegawai bergaji tetap setiap bulannya tapi Alhamdulillah saya hidup merasa tak pernah kekurangan. Setiap saya ingin membeli sesuatu wangnya pasti tersedia.
Saya tidak pernah mengatakan tidak punya wang (pada diri saya) meskipun kenyataannya wang di bank saya memang tidak ada dan tabungan saya menipis. Saya selalu berfikir bahawa saya punya cukup banyak untuk dibelanjakan dan disyukuri. Jika wang saya sedikit, sedikit juga yang saya belanjakan dan syukurnya yang diperbanyak. Jika wang saya berlebih, saya belanjakan sesuai keperluan disertai syukur kerana boleh berbelanja lebih dari biasanya.
Saya juga berusaha semampunya berbuat baik pada kedua orang tua terutama ibu saya dan mertua. Kerana kebetulan berbeza lokasi, setiap orang tua / mertua mengunjungi kami tak pernah lupa untuk memberi saguhati (perbelanjaan) sekadarnya sebelum mereka pulang, berapa kalipun mereka datang dalam sebulan. Saya sangat faham pentingnya berbakti pada orang tua.
Alhamdulillah sejak saya mulai mengamalkan hal-hal tersebut di atas mulai sekitar tahun 2011 sampai saya menulis tulisan ini di awal July 2015 belum pernah saya merasakan kesulitan yang teruk dalam rezeki saya. Padahal sebelumnya saya juga sering mengalami masalah, seperti rumah dipecah beberapa kali, emas, wang, dan harta benda melayang dicuri orang, kemalangan meskipun tidak parah dan sering merasa kekurangan wang.
Ketika ini meskipun kami tidak kaya berlimpah harta tapi yang paling penting kami selalu merasa cukup. Kami boleh makan, berpakaian, punya rumah yang selamat dan berkongsi rezeki dengan orang lain itu lebih dari cukup.
Saya menuliskan ini real dari pengalaman saya peribadi, insya Allah tidak ada perasaan riyak atau ingin dipuji tapi semata-mata saya niatkan buat pembelajaran untuk kita semua. Bahawa rezeki Allah itu fenomena yang tidak dapat dikira dengan hitungan matematik kerana sifatnya yang abstrak. Bukan kuasa kita untuk menentukan berapa banyak rezeki yang kita terima, tapi itu adalah wilayahnya Allah. Kita hanya meminta dan mempercepatkan diri untuk menerima.
Saya tutup tulisan ini dengan penekanan bahawa ibadah yang baik itu bukan yang jumlahnya banyak tapi yang rutin dilakukan biar jumlahnya sedikit. Demikian pula dengan zikir ini, bukan berapa kali hitungannya dalam sehari tapi kekerapannya. Biar cuma 1 kali sehari tapi jika rutin itu lebih baik dibanding 1000 kali tapi cuma sekali selama setahun. Semoga Allah merahmati kita semua. Wallahu alam..
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berpantang selepas melahirkan anak kedua kali ini memberi tekanan emosi kepada Hanum (bukan nama sebenar) jika dibandingkan dengan kelahiran anak pertamanya apabila dia membuat keputusan untuk berpantang sendiri tanpa bantuan orang lain.
Hanum fikir, dia tidak mahu menyusahkan ibunya di kampung dengan berpantang sendirian tambahan merasakan sudah mempunyai pengalaman melahir anak sebelum ini.
Namun, fikirannya mula terganggu apabila penat menguasai badannya dalam menjaga bayi yang baru lahir dan anak pertamanya yang masih kecil. Bayinya kali ini berbeza dengan kakaknya, lebih meragam di waktu malam membuatkan Hanum kepenatan. Bila susu badannya berkurangan, tekanan semakin bertambah buat dirinya dan berasa tidak berguna kepada keluarganya.
Hanum mula kemurungan, menangis ketika menyusukan anak malah ada ketika dibiarkan anaknya menangis tanpa berusaha menenangkannya. Dia juga mula rasa tidak disayangi suaminya dan kesunyian akibat berpantang sendiri.
Mujur suaminya cepat menyedari perubahan sifat Hanum yang kemurungan dan tidak ceria seperti biasa. Apabila dibawa berjumpa doktor, doktor mengesahkan yang Hanum mengalami simptom kemurungan lepas bersalin (pospartum depression) dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan psikosis lepas bersalin (postpartum psychosis) atau lebih dikenali sebagai meroyan.
Masalah yang dihidapi Hanum bukanlah kes terpencil malah ramai sebenarnya ibu yang mengalami masalah kemurungan selepas bersalin sama ada mendapatkan bantuan pakar atau tidak. Dia beruntung kerana orang yang paling rapat dengannya iaitu suaminya menyedari kelainan pada Hanum dan segera mendapatkan bantuan pakar.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita seorang wanita yang dipercayai mengelar bayinya sehingga mati setelah mendengar ‘bisikan’ untuk melakukan perbuatan tersebut. Begitu juga berita sebelum ini yang mana seorang wanita membunuh diri kerana dikatakan tidak berjaya menyusukan anaknya.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, psikosis selepas bersalin atau royan berlaku kepada satu hingga dua orang setiap 1,000 orang wanita yang baru bersalin.
“Gangguan mental selepas bersalin terbahagi kepada tiga kategori iaitu maternal blues (murung bayi), kemurungan selepas bersalin dan psikosis selepas bersalin.
“Walaupun peratusan meroyan berakhir dengan tragedi adalah rendah, namun perlu diberi perhatian serius dengan menyegerakan rawatan supaya dapat mengelakkan perkara ini berlarutan.
“Orang yang rapat dengan individu tersebut seperti keluarga terutamanya suami seharusnya lebih peka dan ambil berat akan perubahan yang berlaku terhadap ibu yang baru bersalin. Simptomnya agak jelas seperti emosi tidak stabil, tidur terganggu, percakapan tidak seperti biasa dan lebih sensitif daripada kebiasaan.
“Malah, perlu ingat setiap kelahiran adalah berbeza, jika sebelum ini wanita tersebut tidak mengalami gangguan mental selepas bersalin ia tidak terkecuali untuk menghidapinya untuk kelahiran seterusnya,” ujar Dr. Muhammad Muhsin.
Selain itu, para suami perlu lebih bertanggungjawab dengan membantu isteri yang baru lepas bersalin bagi mengurangkan bebanan mereka. Konsep lepas tangan dan urusan rumah tangga hanya dipertanggungjawabkan ke atas wanita perlu ditepis.
Tambahnya, selain ahli keluarga yang rapat dengan pesakit, tanggungjawab untuk mengenal pasti mereka yang mengalami gangguan mental selepas bersalin boleh digalas oleh jururawat dan doktor yang merawat mereka selepas bersalin.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mempunyai keluarga bahagia sememangkan impian setiap insan sejak dari awal mendirikan rumah tangga. Punyai wang berjuta ringgit dan harta benda belum tentu dapat menciptakan suasana rumah tangga yang bahagia.
Hakikatnya sentiasa rasa syukur adalah salah satu syarat untuk mencipta suasana bahagia di dalam sesebuah keluarga. Penting untuk pasangan saling mengerti erti kebahagiaan untuk menghindari ketidakfahaman akan tujuan utama dalam membina sebuah rumah tangga.
Percayalah! Walau miskin harta, 10 perkara ini jika dilakukan suami isteri pasti mampu mencipta sebuah keluarga yang bahagia.
1. SALING PEDULI ANTARA AHLI KELUARGA
Meskipun nampak mudah, memberikan rasa peduli terhadap semua ahli keluarga merupakan satu sikap yang sangat baik demi menjaga kebahagiaan keluarga. Suatu ketika nanti mungkin pasangan anda memerlukan perhatian yang lebih kerana kesihatannya agak terganggu, jadi berikan kelonggaran agar pasangan dapat menikmati waktu rehat yang lebih banyak, membawanya ke klinik dan sebagainya.
Begitupun ketika isteri atau suami sedang berhadapan dengan masalah kerja yang sukar atau kegagalan dalam suatu pencapaian, sebagai pasangan yang baik anda haruslah dengan sepenuh hati memberikan sokongan agar pasangan selalu rasa bersemangat dan menghindari daripada menyalahkan dirinya sendiri. Jika perlu berikan penyelesaian atau jika tidak mampu, berikan sokongan moral agar pasangan segera pulih dari setiap permasalahannya.
2. BERIKAN PERHATIAN & KASIH SAYANG YANG TULUS
Perhatian sangat bererti bagi pasangan agar tercipta suasana harmoni kerana perhatian yang tulus akan lebih berharga. Kesibukan bekerja bukan bererti anda boleh melepaskan diri daripada memberikan perhatian terhadap keluarga, jadi selalu aturkan waktu untuk keluarga di rumah. Sebuah keluarga yang bahagia terbina apabila ahlinya saling memberi perhatian antara satu sama lain. Perhatian yang tulus juga merupakan bentuk kasih sayang yang akan mengikat jalinan akrab sesama pasangan.
3. MENGERTI HAK & KEWAJIPAN
Pentingnya anda mengerti akan hak dan kewajipan ahli keluarga bagi mengelakkan perselisihan. Sebagai contoh, seorang ayah berhak untuk memberikan nasihat kepada keluarganya namun sebagai ketua keluarga seorang ayah juga memiliki kewajipan memberikan contoh yang baik dalam tingkah laku mahupun bertutur, selain memiliki kewajipan untuk mencari nafkah demi keluarga.
Sementara seorang isteri pula erhak untuk mendapatkan wang perbelanjaan. Namun sebagai isteri, anda juga memiliki kewajipan dalam mengasuh dan mendidik anak dengan baik. Dengan memahami dan menerapkan hak dan kewajipan masing-masing, diharapkan suasana keluarga akan menjadi lebih baik dan terhindar daripada sebarang perselisihan.
4. LUANGKAN WAKTU BERSAMA KELUARGA
Sebuah keluarga yang bahagia sudah semestinya memiliki waktu bersama yang menyenangkan. Jika masing-masing sibuk dengan kerja, pastinya ia akan menyukarkan masa untuk berkumpul bersama. Usahakan untuk anda meluangkan masa bersama keluarga. Manfaatkanlah masa dengan membuat acara-acara kecil seperti makan bersama keluarga atau melancong bersama. Meskipun acara makan bersama keluarga itu nampak mudah, namun jika dilakukan secara rutin pasti ia akan membangkitkan keakraban sesama ahli keluarga.
5. LAKUKAN IBADAH BERSAMA
Kegiatan lain yang boleh membina keluarga bahagia ialah melakukan ibadah bersama. Solat berjemaah bersama seluruh ahli kelurga setiap waktu pastinya akan memberikan kesan psikologi yang sangat baik di mana wujud rasa tenang dan bersyukur dalam sebuah keluarga.
6. SENTIASA BERI UCAPAN & HADIAH
Pada momen-momen tertentu berikanlah ucapan atau kad kecil sempena hari ulang tahun pasangan atau apa sahaja hari yang istimewa. Mengingati hari penting pasangan akan meningkatkan rasa penghargaan pasangan dan ia sangat dialu-alukan untuk kerukunan sebuah rumah tangga yang bahagia.
7. ADANYA KOMUNIKASI YANG BAIK
Komunikasi yang baik antara pasangan sangat diperlukan untuk memastikan keharmonian dalam rumah tangga. Tidak ada salahnya anda mengirimkan pesanan singkat kepada pasangan dengan kata-kata berupa pesanan seperti mengingatkan waktu makan, waktu solat ataupun mengingatkan pasangan agar berhati-hati ketika memandu.
8. MENJAGA NAMA BAIK KELUARGA
Kesedaran akan pentingnya nama baik sebuah keluarga harus benar-benar dipraktikkan dalam setiap pasangan. Dengan memahami pentingnya nama baik setiap ahli keluarga, wajib untuk anda saling mengingatkan jika ada yang telah melakukan kesalahan.
9. SELALU UCAPKAN CINTA
Bagi sebahagian pasangan mengucapkan kata-kata cinta di kala kesibukannya akan terasa malu. Namun bagi mereka yang terbiasa, perkara ini akan memberikan kesan yang baik malah mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Mengucapkan cinta atau sayang kepada pasangan mampu memberi semangat dan dorongan mental ketika pasangan dilanda pelbagai persoalan hidup. Jika anda tidak biasa, cubalah dari sekarang dan rasai hasilnya.
10. JAGA KESIHATAN & KESELAMATAN
Kesihatan merupakan perkara yang sangat penting demi mencapai sebuah keluarga bahagia. Jika suami bermasalah dengan kesihatan maka pastinya akan membuatkan semua turut bersedih. Di samping menjaga kesihatan, anda juga wajib menjaga keselamatan diri daripada perkara yang tidak diingini.
Saling mengingatkan antara satu sama lain penting dalam menjaga keselamatan semasa bekerja. Mengutamakan keselamatan jauh lebih penting daripada menyesal jika sesuatu yang tidak diingini menimpa orang yang disayangi.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!