Bak kata orang-orang dulu, ‘bila sedang bercinta, ibarat dunia kita yang punya’. Inilah masalah yang dihadapi oleh mereka yang menganggap dunia ini hanya milik berdua, terutama sekali apabila sedang asyik berpacaran mahupun bertunang sehingga tidak menyedari ada mata-mata yang memandang kelakuan anda berdua yang cukup menjelikkan.
Jangan jadi mangsa kecaman orang-orang sekeliling! Hal ini sering kali dipandang remeh terutama sekali bagi golongan muda yang sedang mabuk cinta juga mereka yang dalam proses bertunang. (Nak tunjuk dekat siapa bahagia tu?) Mungkin perilaku anda tidak menganggu ketenteraman orang di sekitar, namun ia cukup membuatkan orang ramai menyampah melihat gelagat anda berdua.
1) Berjalan terlalu perlahan di kawasan hot spot
Dipercayai masalah ini sering dihadapi oleh kita, terutama sekali apabila kita sedang dalam keadaan terburu-buru ingin menyelesaikan sesuatu hal. Namun, langkah kita diperlahankan gara-gara ‘terperangkap’ di belakang pasangan yang berjalan longlai dan gemalai, terutama sekali di kawasan yang padat dan sesak dengan orang ramai. Cukup menyusahkan! Oleh itu, elakkan dari bertindak sebegitu apabila sedang berjalan berdua dengan kekasih hati.
2) Memakai Pakaian Serupa (Matching Couples)
Ini mungkin dianggap remeh, tetapi yang pasti bukan semua dapat menerima tindakan ini. Dengan memakai baju T-shirt dengan corak yang sama, ditambah pula dengan pelbagai reka letak dan ayat-ayat yang menyatakan anda berdua adalah pasangan, ini mungkin dianggap keterlaluan. Mungkin anda mengikut trend fesyen terkini, namun anda dilihat seolah-olah cuba untuk memberitahu kepada awam bahawa anda berdua adalah ‘couple’. Hentikan! Anda bukanlah sesiapa.
3) Mesra tahap maksima!
Ini wajar untuk anda elakkan. Haruslah anda ingat, anda berdua kini berada di kawasan awam yang dipenuhi dengan orang ramai. Pastinya gelagat anda dapat diintai dan dikecam. Elakkan bermesra secara berlebihan seperti bercium-ciuman, tangan dimasukkan di kocek belakang pasangan, meraba-raba ketika duduk di bangku mahupun menyuapkan makanan ke mulut dengan gaya cukup menghairahkan.Hormatilah orang sekeliling anda!.
4) Anda tidak perlu terlalu ‘gentleman’
Sememangnya wajar untuk anda tunjukkan sisi gentleman kepada si dia, tetapi janganlah berlebihan. Ingat, anda adalah lelaki bukannya hamba kepada si dia. Sering kali kita lihat ada sahaja pasangan iaitu si lelaki diibarat terpaksa menurut perintah dengan memegang hand bag pasangan kemana sahaja. Lebih memeritkan, ada yang sanggup memegang pelbagai barang-barang yang lain semata-mata nak mengambil hati. Si dia mungkin terpaut hati, tetapi anda yang merana bukan?
5) Panggilan manja kurang menyenangkan
Ini juga sering kali terjadi. Mungkin anda dan pasangan tidak menyedari atau menganggap sesuatu ‘gelaran’ dapat menambahkan jalinan kemesraan. Sebenarnya tidak bagi orang awam yang mendengarnya. Cukuplah dengan gelaran ‘sayang’. Elakkanlah dari menggunakan gelaran-gelaran seperti ‘boo’, ‘papa dan mama’ (bagi yang belum berkahwin) ataupun lain-lain. Sekiranya anda mempunyai gelaran manja yang tersendiri, seeloknya ia dijadikan rahsia perhubungan anda. Pasti manis bukan?
6) Gaduh mengalahkan pasangan bercerai
Ini pula berlaku terutama sekali bagi pasangan yang bergaduh ketika sedang berpacaran. Kawal suara dan emosi. Anda kini berada di tempat awam. Janganlah pula anda dan pasangan bergaduh, melenting tak tentu pasal, mengomel, merungut dan saling menyalahkan ibarat pasangan kahwin yang ingin bercerai. Beretika dan jagalah tingkah laku dan adab anda apabila menghadapi situasi sebegini.