Apakah anda prihatin terhadap huruf besar RSVP yang tertulis pada kad undangan perkahwinan? Kalau perasan pun biasanya kebanyakan orang kita buat ‘dek’, atau bersikap ‘ada aku kisah’. Sesetengah kita tidak ambil tahu pun apa makna huruf-huruf tersebut.
Bagi yang tidak tahu, huruf-huruf tersebut ialah singkatan dari bahasa Perancis, Répondez Vous Sil Vous Plaît. Ertinya dalam bahasa Inggeris, please respond, atau dalam bahasa Melayu, sila jawab.
Jika diberitahu sama ada boleh datang atau tidak, tempat untuk tetamu yang berhalangan boleh diganti dengan orang lain yang sebelum ini tidak tersenarai dalam undangan. Almaklumlah ramai yang hendak diundang tetapi tempat selalu terhad.
Boleh jawab menggunakan surat – biasanya si pengirim telah menyediakan kad jawapan siap bersetem. Sebenarnya boleh juga jawab menggunakan telefon, sms, faks, media sosial atau apa-apa sahaja kaedah komunikasi. Apa yang penting kita memberitahu kepada pengirim sama ada boleh hadir atau tidak. Itu sahaja.
Sebenarnya penting untuk kita memberitahu tuan rumah sama ada boleh datang atau tidak. Lebih-lebih lagi untuk resepsi yang diadakan di tempat-tempat eksklusif seperti di hotel lima bintang atau kelab-kelab ternama di mana tempat untuk tetamu adalah mahal dan terhad.
Tujuan kad jemputan ber-RSVP memang ada manfaatnya. Pertama, tuan rumah @ keluarga pengantin hendak tahu bilangan sebenar tetamu yang akan datang, supaya makanan dapat disediakan betul ‘ngam-ngam’ untuk mengelakkan pembaziran.
Almaklumlah, dalam keadaan serba-serbi mahal – biasanya jamuan di hotel besar harganya antara RM100-RM150 per kepala – bilangan kedatangan yang tepat tentu sekali dapat menjimatkan bajet.
Kedua, jika diberitahu sama ada boleh datang atau tidak, tempat untuk tetamu yang berhalangan boleh diganti dengan orang lain yang sebelum ini tidak tersenarai dalam undangan. Almaklumlah ramai yang hendak diundang tetapi tempat terhad.
Ads
Pendek kata, memberi jawapan kepada kad RSVP merupakan sesuatu yang baik – dan berhemah – bukan sahaja untuk mak dan pak pengantin tetapi juga untuk para tetamu. Orang beradat dan bertamadun sepatutnya mengamalkan budaya respons terhadap apa juga undangan.
Sayang sekali dalam hal yang penting ini sesetengah orang kita tidak berapa ambil ‘pot’. Mereka mengambil sikap ‘tak bagi tahu pun takpe’. Malah ada yang sinis: “Dah nak ajak orang makan kenduri kahwin kenapa kena sahkan pulak, macam tak ikhlas saja nak jemput…”
Sekarang era ICT, jemputan kenduri kahwin dibuat dalam pelbagai kaedah. Ada yang cara biasa lagi tradisional menggunakan kad undangan. Ada yang menggunakan panggilan telefon atau faks. Malah ada juga yang mengundang tetamu menggunakan sms, Facebook, Whatapps, dan lain-lain media sosial.
Tidak kira apa jua kaedah yang digunakan, orang yang diundang patut sekali memberitahu awal-awal sama ada dapat memenuhi undangan atau sebaliknya. Kalau boleh katakan boleh, supaya segala-galanya berjalan lebih mudah dan sempurna. Kalau tidak katakan tidak, jangan berdiam diri dan berteka-teki.
Pelik, sesetengah orang kita malu untuk memberitahu dia tidak dapat datang, konon takut yang tukang jemput berkecil hati. Sebenarnya kalau diberitahu ada halangan tentu tuan rumah faham dan tidak berkecil hati. Sebab diketahui mungkin yang diundang terpaksa menghadiri beberapa buah majlis pada hari yang sama.
Tuan rumah akan menghargai sikap jujur tetamu yang memberitahu tidak dapat hadir atas apa alasan pun. Sebaliknya lebih mengecilkan hati pengundang jika tetamu yang ditunggu tidak kunjung tiba sehingga akhir waktu jamuan.
Ads
Hatta, menjadi kelaziman juga kepada sesetengah orang kita walaupun tahu berhalangan, apabila dihubungi dan ditanya boleh datang atau tidak, mereka malu untuk menyatakan yang benar, sebaliknya akan menjawab ‘Insya-Allah…’
Dalam hal ini orang putih, termasuk yang bukan Islam, lebih menghormati tuan rumah dengan membalas RSVP. Mereka mengekalkan tradisi murni itu, memberitahu lebih awal sama ada boleh hadir atau sebaliknya, baik undangan perkahwinan atau majlis-majlis lain.
Dia orang tegas dalam hal ini. Jika tidak menjawab RSVP akan dianggap tidak boleh datang. Jika tetamu yang tidak membalas RSVP tiba-tiba muncul pada hari berkenaan, tuan rumah tidak malu-malu pula akan berkata: “Mohon maaf, tuan tidak membalas undangan, dan tidak ada tempat duduk untuk tuan…”
Tetapi adab orang kita, walaupun tidak menerima respons undangan, setiap tetamu yang hadir akan diraikan sebaik mungkin. Belum pernah saya terserempak dengan tuan rumah @ mak dan pak pengantin berkata kepada tetamu: “Laaa, senyap jer ingatkan tak sudi datang, minta maaf yer jamuan hanya ngam-ngam untuk tetamu yang beritahu nak datang. Faham-faham ler yerrr…”
Sebenarnya dalam hal jamuan kahwin, terutama jamuan berselerak @ bufet, orang kita memang suka meraikan tetamu. Beri jawapan atau tidak, siapa sahaja tetamu yang datang akan amat-amat dialu-alukan. Walaupun yang diundang dalam kad telah jelas hanya ‘suami-isteri’, boleh pula bawa opah, anak saudara, sepupu, cucu, kalau anak jiran hendak ikut pun tidak mengapa.
Tidak akan ada tuan rumah yang berkata: “Laaa, kita jemput suami dan isteri, apa hal yang engkau bawa rombongan Cik Kiah ni, nak tolong jaga penanggah ker?” Malah, bawa dua tiga saudara pun tuan rumah dengan ikhlas dan gembira berkata: “Terima kasihlah sebab sudi menyerikan majlis kita!” Demikianlah baiknya pekerti orang kita.
Hatta, jika ada tetamu yang sesat atau sengaja ambil peluang untuk makan percuma pun, tuan rumah akan tetap dengan penuh ikhlas mengalu-alukan. Biar nasi dan lauk tidak cukup, boleh pesan dari mana-mana restoran. Namun, menolak tetamu tidak sekali-kali.
Ads
Sekali peristiwa saya ke majlis kahwin di sebuah kampung di Kuala Selangor. Sambutan amat meriah, sebaik tiba saya terus diajak duduk dengan tetamu lain. Hidangan amat menyelerakan, ada lauk kampung ada juga kurma. Berselera betul makan tengah hari.
Kemudian, setelah sendawa dua tiga kali, ada sesuatu yang tidak kena, apabila pasangan pengantin tiba dan pengacara majlis menyebut nama mempelai. Baru saya tahu saya telah tersilap rumah!
Maka dengan wajah selamba lagi toya setoya-toyanya, saya berjumpa dengan bapa pengantin, jujur berkata: “Mohon maaf, Wak. Saya tersalah rumah ni. Saya nak ke jamuan Wak Seman… Dah habis makan baru tahu tersalah kerop. Halalkan apa yang saya makan tadi…”
Tidak marah sedikit pun, sebaliknya Wak memeluk sambil menepuk-nepuk bahu saya, sambil berkata: “Kalau tuan tidak beritahu pun saya dah halalkan. Malah saya gembira tuan datang, rezeki saya ni. Wak Seman tu rumahnya kampung sebelah, kawan saya juga tu. Saya ucap terima kasih tuan sudi makan kenduri saya…”
Saya bersalaman sambil menghulurkan sampul kepadanya, tetapi dia menolak sambil berkata sungguh-sungguh: “Tak payah tuan hulur-hulur sampul, saya cukup gembira tuan datang walaupun tak diundang.” Dia memberi saya goodies pengantin. Ada coklat, kuih baulu dan sebiji telur pengantin.
Tentu sekali Wak Seman ketawa besar ketika saya tiba di majlisnya. Katanya: “Dia tu kawan baik saya. Banyak sangat orang kahwin kita terpaksa buat hari yang sama, dah rezeki…” Moral cerita: Jika hendak makan kenduri kahwin, pastikan betul-betul nama dan alamat pengantin. Jangan tersalah masuk.
Apa pun hari itu saya mendapat dua telur pengantin. Satu telur rasmi, satu lagi telur tidak rasmi @ tidak sengaja. Kedua-duanya menjadi telur kenangan sepanjang hayat…
Tulisan : Abd Jalil Ali di Dalam Majalah Pesona Pengantin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam sesebuah hubungan, kejujuran amat penting demi menjaga hubungan cinta agar sentiasa utuh dan bertambah erat. Sikap yang tidak telus boleh menyebabkan hubungan menjadi rapuh sekaligus membawa kepada pergaduhan yang boleh menjejaskan hubungan cinta.
Namun, ada beberapa perkara yang perlu anda sembunyikan atau dirahsiakan untuk menjaga hati pasangan. Ini penting untuk tidak menyinggung perasaan pasangan dan menyebabkan kecil hati dari perbuatan tersebut. Jom kita lihat 7 perkara yang perlu dirahsiakan dari si dia!
1. RASA KAGUM
Tidak salah memujinya sekali-sekala namun jangan melampau dan melebih-lebih pula. Ia mungkin dilihat sebagai usaha anda untuk membodeknya dan akan dikhuatiri terdapat udang di sebalik batu. Walaupun dia tahu pujian itu ikhlas, dia mungkin pula berfikir yang kamu sebenarnya tidak mempunyai pendirian sendiri dan mudah bersetuju dengan segala yang dilakukannya. Jangan hingga dia merasakan pendapat anda tidak penting pula!
2. SEBAB ANDA PUTUS DENGAN KEKASIH SEBELUMNYA
Dia tidak suka anda bercerita tentang kekasih yang lepas, walaupun jika ianya perkara buruk. Lelaki memang tidak suka pasangannya terlalu banyak bercerita tentang lelaki lain. Jadi tidak perlu beritahunya mengapa kamu putus dengan kekasih atau kekasih-kekasih terdahulu. Cukup dinyatakan yang anda tidak serasi dengannya.
3. PERANGAI KAWAN BAIK ANDA
Jika anda mahu si dia menghalang anda daripada berkawan dengan kawan baik anda, cara paling mudah adalah dengan menceritakan segala-galanya yang berlaku dalam hidup kawan anda. Anda dan rakan mungkin sekadar berkongsi masalah masing-masing, namun para lelaki secara automatik berfikir yang anda sedang “mengumpat” tentang rakan itu dan apa sahaja yang anda ceritakan akan dipandang negatif.
Cerita tentang kawan yang terbeban dengan terlalu banyak tugasan di tempat kerja mungkin dilihatnya sebagai seorang pemalas. Cerita tentang pergaduhan kecil antara kawan anda dan pasangannya memberi gambaran yang dia suka bergaduh.
Pandangan negatif ini mungkin kerana pasangan anda cemburu dengan kawan baik itu kerana dia orang yang paling rapat dengan anda selain teman lelaki atau suami. Kemudian, mereka akan cuba menghalang anda daripada meneruskan persahabatan atau terlalu rapat dengan alasan bimbang anda akan terikut-ikut perangai negatif ini.
4. RASA RENDAH DIRI ANDA
Anda rasa miliki banyak kekurangan, namun jangan kongsikan segalanya dengan si dia. Selalunya rasa rendah diri itu cuma dirasa oleh kita seorang sahaja, pada orang lain tidak ada apa-apa yang kurangnya. Jika anda tidak henti-henti bercakap tentang kekurangan diri, ini akan merimaskan si pendengar. Mereka juga mungkin berpendapat anda cuba pancing pujian dengan berpura-pura bersedih tentang kekurangan diri.
5. ANDA TIDAK MENYUKAI RAKAN-RAKANNYA
Sekumpulan lelaki yang rapat mempercayai rakan-rakan mereka hingga mati. Malahan kebanyakan mereka lebih cepat mempercayai rakan daripada isteri dalam hal-hal lain selain hal rumahtangga. Ini kerana selalunya pengalaman hidup yang dilalui bersama merupakan punca mereka rapat berkawan.
Jadi pada mereka, rakan-rakan mencerminkan diri mereka sendiri, dan tentunya sifat-sifat yang jelas kelihatan hanya yang baik-baik belaka. Jika anda cuba menegur apa-apa sikap buruk kawan mereka, tidak mustahil anda pula yang akan dicop sebagai seseorang yang suka mencari kesalahan orang lain walaupun sekecil zarah.
6. PERANGAI SEBENAR ANDA
Bukannya mahu anda membuktikan seolah-olah anda tiada kekurangan, namun seboleh-bolehnya rahsiakan perkara-perkara peribadi yang tidak perlu dia tahu. Contohnya bila anda cukur bulu ketiak dan bulu kaki, sikap anda yang suka membandingkan saiz buah dada dengan wanita lain.
Selain itu, perkara-perkara yang paling liat anda lakukan seperti tidak suka cuci pinggan sehingga sinki penuh atau tidak suka lipat kain baju, mahupun berapa lama anda bersolek atau suka menyendiri dalam kamar mandi. Biar dia tahu tentang perkara-perkara baik tentang diri kamu dahulu sebelum dia mengetahui sendiri ciri-ciri rahsia kamu suatu hari nanti.
7. TIDAK SUKA HADIAH PEMBERIANNYA
Nasihat ini bukan sahaja untuk pemberian si dia, malah bagi sesiapa sahaja yang berikan anda hadiah. Buruk perangai betul apabila seseorang telah bersusah-payah memikirkan apa hadiah yang paling sesuai untuk anda dan membelanjkan sejumlah duit untuk membelinya, kemudian anda dengan mudah mencemuhnya.
Cuba fikirkan perasaan pembeli, lebih-lebih lagi jika anda tahu mereka sebenarnya tidak berkemampuan untuk beli barang yang mahal-mahal namun diusahakannya juga demi diri anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nak jadi bakal pengantin ni segala benda perlu sempurna, sehinggalah bau mulut juga memainkan peranan. Bayangkan muka sahaja lawa tapi nafas berbau sampai pasangan anda boleh pengsan nanti. Jadi cuba praktikkan penjagaan gigi yang betul sebelum tiba hari bahagia anda.
Amalan standard bagi sesetengah individu, memberus gigi dua kali setiap hari iaitu, pada waktu pagi dan malam.
Dianggarkan 35 hingga 45 peratus manusia seluruh di dunia mengalami halitosis atau lebih dikenali sebagai mulut berbau pada satu tahap dalam hidup mereka.
Berdasarkan kajian dijalankan di Amerika Syarikat situasi itu dianggap sebagai satu bentuk ketidakupayaan sosial. Malah, seorang daripada tiga penduduk dunia menghidap halitosis pada kadar sederhana hingga teruk.
Punca utama nafas berbau ialah tidak memberus gigi dengan betul, gigi rosak atau karies gigi, penyakit gusi seperti periodontium dan mulut kering.
Pakar Naturopatik, Michelle Irving, berkata penggunaan ubat gigi dapat mengatasi masalah kesihatan oral lain seperti gigi kekuningan, kaviti dan membantu ke arah gusi yang lebih sihat.
Penggunaan produk ubat gigi bersesuaian dapat membantu mengurangkan masalah nafas berbau dan sebagainya.
“Pemilihan ubat gigi yang tepat dan bebas daripada kandungan bahan kimia seperti perasa, pewarna tiruan dan paraben boleh meninggalkan kesan berbahaya kepada kesihatan.
“Kandungan ubat gigi dengan 100 peratus kandungan tumbuhan dan herba sebagai asas kepada tumpuan penjagaan kesihatan oral untuk permulaan anda.”
Bahan semula jadi yang bersifat penyembuhan dan melegakan seperti jintan, cengkih, madu propolis dan pudina amat membantu memberikan kesegaran dan kesihatan oral.
“Rangkaian ubat gigi diperkaya dengan ekstrak tumbuhan semula jadi dapat memberikan perlindungan gusi, membantu mencegah pendarahan gusi dan mengekalkan kesihatan mulut untuk kesegaran sepanjang hari.
“Ubat gigi dihasilkan daripada bahan herba membantu kesegaran nafas dan tahan lebih lama,”
INFO:
Tip hilangkan nafas berbau
* Membersihkan gigi setiap hari
* Bersihkan lidah
* Minum air paling kurang dua liter sehari.
* Elakkan guna pencuci mulut beralkohol.
* Mengunyah gula getah tanpa gula.
* Pemeriksaan doktor setiap enam bulan.
Kepentingan lain ubat gigi
* Membantu menghilangkan dakwat pada baju.
* Mengilatkan kuku, skrin telefon bimbit dan seterika.
* Menghilangkan kesan calar pada permukaan kaca pintu kabinet dapur
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selain menjalankan tanggungjawab, suami isteri haruslah menjaga hubungan agar rumah tangga kekal bahagia. Sebagai ketua keluarga, suami memainkan peranan penting dalam ‘menggemukkan’ isteri dengan kasih sayang agar hubungan yang terjalin bertahan lama.
Di sini terdapat 21 pesanan yang dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah untuk suami menghargai kasih sayang isteri sekali gus membuatkan rumah tangga kekal seronok.
1. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri terutamanya bagi isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.
2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga seluas-luasnya. Biar apa yang dikatakan isteri masuk ke telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil itu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
3. JANGAN SEKALI-KALI MEMBANDINGKAN MASAKAN ISTERI ATAU CARA ISTERI MENGHIAS RUMAH DENGAN MAK ANDA KECUALI MASAKAN ATAU CARA MENGHIAS ISTERI ANDA LEBIH BAIK DAN CANGGIH DARIPADA EMAK ANDA.
4. Jangan demand hubungan intim sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.
5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih daripada awak juga. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.
6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dan sebagainya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila isteri tak cukup tangan nak menguruskan rumah tangga sedangkan suami lepas tangan.
7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.
8. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritau isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.
9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.
10. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
11. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumah tangga. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami “degil” tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.
12. JANGAN BERSEPAH DAN BERSIKAP PENGOTOR. DAH BUKA BAJU, LETAKKAN DALAM BAKUL BAJU KOTOR, DAH GUNA CUNGKIL GIGI, BUANGLAH DALAM BAKUL SAMPAH, BILA DAH GUNA UBAT GIGI BUBUH BALIK PENUTUPNYA, DAH AMBIL SESUATU BARANG SIMPAN BALIK DI TEMPAT ASAL, DAH BERAK FLUSH. SUSAH SANGAT KE NAK BUAT MACAM TU? SEMUA NAK KENA AJAR KE?
13. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah atau menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.
14. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.
15. Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?
16. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?
17. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.
18. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbang rasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.
19. DALAMI AGAMA DAN BIMBINGLAH ANAK ISTERI DENGAN IKHLAS SEPERTI YANG DITUNTUT AGAMA. INGAT, KALAU SEORANG SUAMI MASUK SYURGA, BESAR KEMUNGKINAN ISTERI PUN MASUK SYURGA. KALAU SUAMI MASUK NERAKA BELUM TENTU ISTERI JUGA MASUK NERAKA. KALAU ISTERI MASUK NERAKA, BESAR KEMUNGKINAN SUAMI JUGA MASUK NERAKA TAPI KALAU ISTERI MASUK SYURGA BELUM TENTU SUAMI PUN MASUK SYURGA. INI BUKAN REKAAN SAYA TAPI SAYA DENGAR DARIPADA SEORANG USTAZ.
20. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali
21. JANGAN BUAT DONNO KALAU ISTERI MERAJUK ATAU BERKECIL HATI. KALAU PERLU MINTA MAAF, MINTA MAAF, KALAU PERLU DIPUJUK, PUJUK. HATI ORANG POMPUAN NI SENSITIF. KALAU KAMI RASA SUAMI TAK AMBIL KISAH, PERASAAN BAGAI DIHIRIS-HIRIS. PERKARA YANG DIPANDANG REMEH OLEH SUAMI BOLEH MENJADI KANSER KEPADA ISTERI. KEPADA PARA SUAMI KHUSUSNYA DAN KAUM LELAKI AMNYA, JANGANLAH DIANGGAP MASALAH HATI DAN PERASAAN ORANG PEREMPUAN NI ENTENG SAHAJA.
Allah SWT berfirman, “Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang di dalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan.”
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!