Apakah anda prihatin terhadap huruf besar RSVP yang tertulis pada kad undangan perkahwinan? Kalau perasan pun biasanya kebanyakan orang kita buat ‘dek’, atau bersikap ‘ada aku kisah’. Sesetengah kita tidak ambil tahu pun apa makna huruf-huruf tersebut.
Bagi yang tidak tahu, huruf-huruf tersebut ialah singkatan dari bahasa Perancis, Répondez Vous Sil Vous Plaît. Ertinya dalam bahasa Inggeris, please respond, atau dalam bahasa Melayu, sila jawab.
Jika diberitahu sama ada boleh datang atau tidak, tempat untuk tetamu yang berhalangan boleh diganti dengan orang lain yang sebelum ini tidak tersenarai dalam undangan. Almaklumlah ramai yang hendak diundang tetapi tempat selalu terhad.
Boleh jawab menggunakan surat – biasanya si pengirim telah menyediakan kad jawapan siap bersetem. Sebenarnya boleh juga jawab menggunakan telefon, sms, faks, media sosial atau apa-apa sahaja kaedah komunikasi. Apa yang penting kita memberitahu kepada pengirim sama ada boleh hadir atau tidak. Itu sahaja.
Sebenarnya penting untuk kita memberitahu tuan rumah sama ada boleh datang atau tidak. Lebih-lebih lagi untuk resepsi yang diadakan di tempat-tempat eksklusif seperti di hotel lima bintang atau kelab-kelab ternama di mana tempat untuk tetamu adalah mahal dan terhad.
Tujuan kad jemputan ber-RSVP memang ada manfaatnya. Pertama, tuan rumah @ keluarga pengantin hendak tahu bilangan sebenar tetamu yang akan datang, supaya makanan dapat disediakan betul ‘ngam-ngam’ untuk mengelakkan pembaziran.
Almaklumlah, dalam keadaan serba-serbi mahal – biasanya jamuan di hotel besar harganya antara RM100-RM150 per kepala – bilangan kedatangan yang tepat tentu sekali dapat menjimatkan bajet.
Kedua, jika diberitahu sama ada boleh datang atau tidak, tempat untuk tetamu yang berhalangan boleh diganti dengan orang lain yang sebelum ini tidak tersenarai dalam undangan. Almaklumlah ramai yang hendak diundang tetapi tempat terhad.
Pendek kata, memberi jawapan kepada kad RSVP merupakan sesuatu yang baik – dan berhemah – bukan sahaja untuk mak dan pak pengantin tetapi juga untuk para tetamu. Orang beradat dan bertamadun sepatutnya mengamalkan budaya respons terhadap apa juga undangan.
Sayang sekali dalam hal yang penting ini sesetengah orang kita tidak berapa ambil ‘pot’. Mereka mengambil sikap ‘tak bagi tahu pun takpe’. Malah ada yang sinis: “Dah nak ajak orang makan kenduri kahwin kenapa kena sahkan pulak, macam tak ikhlas saja nak jemput…”
Sekarang era ICT, jemputan kenduri kahwin dibuat dalam pelbagai kaedah. Ada yang cara biasa lagi tradisional menggunakan kad undangan. Ada yang menggunakan panggilan telefon atau faks. Malah ada juga yang mengundang tetamu menggunakan sms, Facebook, Whatapps, dan lain-lain media sosial.
Tidak kira apa jua kaedah yang digunakan, orang yang diundang patut sekali memberitahu awal-awal sama ada dapat memenuhi undangan atau sebaliknya. Kalau boleh katakan boleh, supaya segala-galanya berjalan lebih mudah dan sempurna. Kalau tidak katakan tidak, jangan berdiam diri dan berteka-teki.
Pelik, sesetengah orang kita malu untuk memberitahu dia tidak dapat datang, konon takut yang tukang jemput berkecil hati. Sebenarnya kalau diberitahu ada halangan tentu tuan rumah faham dan tidak berkecil hati. Sebab diketahui mungkin yang diundang terpaksa menghadiri beberapa buah majlis pada hari yang sama.
Tuan rumah akan menghargai sikap jujur tetamu yang memberitahu tidak dapat hadir atas apa alasan pun. Sebaliknya lebih mengecilkan hati pengundang jika tetamu yang ditunggu tidak kunjung tiba sehingga akhir waktu jamuan.
Hatta, menjadi kelaziman juga kepada sesetengah orang kita walaupun tahu berhalangan, apabila dihubungi dan ditanya boleh datang atau tidak, mereka malu untuk menyatakan yang benar, sebaliknya akan menjawab ‘Insya-Allah…’
Dalam hal ini orang putih, termasuk yang bukan Islam, lebih menghormati tuan rumah dengan membalas RSVP. Mereka mengekalkan tradisi murni itu, memberitahu lebih awal sama ada boleh hadir atau sebaliknya, baik undangan perkahwinan atau majlis-majlis lain.
Dia orang tegas dalam hal ini. Jika tidak menjawab RSVP akan dianggap tidak boleh datang. Jika tetamu yang tidak membalas RSVP tiba-tiba muncul pada hari berkenaan, tuan rumah tidak malu-malu pula akan berkata: “Mohon maaf, tuan tidak membalas undangan, dan tidak ada tempat duduk untuk tuan…”
Tetapi adab orang kita, walaupun tidak menerima respons undangan, setiap tetamu yang hadir akan diraikan sebaik mungkin. Belum pernah saya terserempak dengan tuan rumah @ mak dan pak pengantin berkata kepada tetamu: “Laaa, senyap jer ingatkan tak sudi datang, minta maaf yer jamuan hanya ngam-ngam untuk tetamu yang beritahu nak datang. Faham-faham ler yerrr…”
Sebenarnya dalam hal jamuan kahwin, terutama jamuan berselerak @ bufet, orang kita memang suka meraikan tetamu. Beri jawapan atau tidak, siapa sahaja tetamu yang datang akan amat-amat dialu-alukan. Walaupun yang diundang dalam kad telah jelas hanya ‘suami-isteri’, boleh pula bawa opah, anak saudara, sepupu, cucu, kalau anak jiran hendak ikut pun tidak mengapa.
Tidak akan ada tuan rumah yang berkata: “Laaa, kita jemput suami dan isteri, apa hal yang engkau bawa rombongan Cik Kiah ni, nak tolong jaga penanggah ker?” Malah, bawa dua tiga saudara pun tuan rumah dengan ikhlas dan gembira berkata: “Terima kasihlah sebab sudi menyerikan majlis kita!” Demikianlah baiknya pekerti orang kita.
Hatta, jika ada tetamu yang sesat atau sengaja ambil peluang untuk makan percuma pun, tuan rumah akan tetap dengan penuh ikhlas mengalu-alukan. Biar nasi dan lauk tidak cukup, boleh pesan dari mana-mana restoran. Namun, menolak tetamu tidak sekali-kali.
Sekali peristiwa saya ke majlis kahwin di sebuah kampung di Kuala Selangor. Sambutan amat meriah, sebaik tiba saya terus diajak duduk dengan tetamu lain. Hidangan amat menyelerakan, ada lauk kampung ada juga kurma. Berselera betul makan tengah hari.
Kemudian, setelah sendawa dua tiga kali, ada sesuatu yang tidak kena, apabila pasangan pengantin tiba dan pengacara majlis menyebut nama mempelai. Baru saya tahu saya telah tersilap rumah!
Maka dengan wajah selamba lagi toya setoya-toyanya, saya berjumpa dengan bapa pengantin, jujur berkata: “Mohon maaf, Wak. Saya tersalah rumah ni. Saya nak ke jamuan Wak Seman… Dah habis makan baru tahu tersalah kerop. Halalkan apa yang saya makan tadi…”
Tidak marah sedikit pun, sebaliknya Wak memeluk sambil menepuk-nepuk bahu saya, sambil berkata: “Kalau tuan tidak beritahu pun saya dah halalkan. Malah saya gembira tuan datang, rezeki saya ni. Wak Seman tu rumahnya kampung sebelah, kawan saya juga tu. Saya ucap terima kasih tuan sudi makan kenduri saya…”
Saya bersalaman sambil menghulurkan sampul kepadanya, tetapi dia menolak sambil berkata sungguh-sungguh: “Tak payah tuan hulur-hulur sampul, saya cukup gembira tuan datang walaupun tak diundang.” Dia memberi saya goodies pengantin. Ada coklat, kuih baulu dan sebiji telur pengantin.
Tentu sekali Wak Seman ketawa besar ketika saya tiba di majlisnya. Katanya: “Dia tu kawan baik saya. Banyak sangat orang kahwin kita terpaksa buat hari yang sama, dah rezeki…” Moral cerita: Jika hendak makan kenduri kahwin, pastikan betul-betul nama dan alamat pengantin. Jangan tersalah masuk.
Apa pun hari itu saya mendapat dua telur pengantin. Satu telur rasmi, satu lagi telur tidak rasmi @ tidak sengaja. Kedua-duanya menjadi telur kenangan sepanjang hayat…
Tulisan : Abd Jalil Ali di Dalam Majalah Pesona Pengantin