Jangan Harapkan Isteri Sempurna, Tugas Suami Melengkapkan

Share

Kalau ikutkan, ramai berharap dapat isteri sempurna namun realitinya Allah cipta manusia untuk saling melengkapi. Jadi kena belajar terima seadanya.

Ada sesetengah suami mengharapkan isteri yang dikahwininya mampu melakukan segala kerja rumah dengan baik, menjaga makan pakai dan mendidik anak-anak.

Malah ada suami yang mengharapkan isteri sempurna dalam segala kerja rumah walaupun bekerja. Segalanya diserahkan pada isteri. Lebih teruk lagi, dia mengharapkan isterinya jadi yang terbaik sedangkan dirinya tidak pula menjalankan tanggungjawab seperti yang sepatutnya.

Suami Jangan Harapkan Isteri Sempurna

Kiranya, suami ingin isteri terbaik dalam segala segi dan mungkin juga inilah yang dicari-cari oleh suami. Ketahuilah, tidak semua isteri mampu menjadi ‘perfect’ dalam semua hal. Dia pun ada kekurangan dan kelebihan yang boleh ditampung oleh suami.

Perkongsian daripada Khaulah Al Azwar ada betulnya. Kalau suami ingin isteri hebat. Dia pun kenalah menjadi hebat di mata isteri dan anak-anak. Jangan fikir hanya bagi nafkah dan segala kerja rumah diserahkan sepenuhnya kepada isteri.

Kelebihan Isteri Tak Sama

Ada orang dapat isteri yang pandai memasak.

Ada orang dapat isteri yang tahu menjahit.

Ada orang dapat isteri yang pandai cari duit sendiri.

Ada orang dapat isteri yang boleh berdikari.

Ada orang dapat isteri yang boleh bersabar dengan kerenah anak-anak.

Ada orang dapat isteri yang rajin mengemas rumah.

Ada orang dapat isteri yang pendiam, tak banyak cakap.

Ada orang dapat isteri yang kurang masa di rumah, tapi selalu membantu dari segi kewangan.

 

Tak semua orang dapat isteri yang cukup lengkap pakejnya, perfect pasti ada yang lebih di sini, kurang di sana. Mengimpikan seorang isteri yang boleh serba serbi itu tidak salah, tapi hendaklah berpaksikan dengan realiti.

Suami Kena Tahu Tanggungjawab

Walau bagaimanapun isteri kita, sebagai suami, kita tetap kena jadi suami, kena tahu apa tugas, tanggungjawab dan kewajipan seorang suami.

Tak bolehlah hanya tahu bagi duit, Tapi dari A to Z urusan keluarga, isteri yang uruskan.

Tak boleh hanya tahu keluar kerja balik kerja, Tapi soal kebajikan hati isteri kita tak ambil peduli.

Tak bolehlah sudah bagi serba serbi selepas itu mengadap handphone sepanjang hari, kena juga tolong isteri buat kerja rumah, layan anak-anak.

Sifat dan sikap suami lebih menyeluruh kerana dia KETUA KELUARGA.

Dia suami, dia ayah, dia pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap mereka yang dipimpinnya. Maka oleh sebab itu, tugas dan tanggungjawab suami itu agak berat berbanding isteri.

Tak boleh bagi isteri ambik alih tugas kita, tak boleh bagi isteri buat tanggungjawab kita, tak boleh bebankan isteri dengan kewajipan kita.

Dosa itu.

Berusaha Jadi Suami Yang Baik

Kita orang lelaki mampu untuk menjadi seorang suami yang baik dan ayah yang baik andai kata kita faham tugas, tanggungjawab dan kewajipan yang perlu dilaksanakan kerana isteri dan anak-anak itu diamanahkan Allah SWT kepada kita.

Kalau kita letak semuanya di bahu isteri, maka baik jangan jadi lelaki.

Perempuan yang hebat mampu mengerjakan segalanya sendiri. Sedangkan lelaki yang betul-betul hebat tidak akan membiarkan itu terjadi.

Sebagai suami isteri yang saling melengkapi, saling membantu itu mengharmonikan rumah tangga. Jangan harapkan isteri seorang yang buat kerja. Dia pun membantu suami untuk mengurangkan beban suami.

Sumber: Khaulah Al Azwar

Published by
Nadia