Kalau sudah cukup syarat, mampu pegang tanggungjawab dalam rumah tangga dan ditambah pula dah dapat greenlight keluarga, buat apa nak tunggu lama. Lagipun perkara baik, tak salah didahulukan apatah lagi rezeki ada di mana-mana.
Kahwin muda bukanlah satu benda yang baharu. Kan mak bapak kita dulu pun kahwin muda. Percayalah perkahwinan di usia muda bukan membebankan jika anda yakin dengan pilihan. Kalau kena dengan cara, pasti perkahwinan anda bahagia dan kekal selamanya. Oleh itu jangan pernah rasa ragu-ragu jika benar anda dan pasangan sudah bersedia.
Paling penting elak buat keputusan terburu-buru. Bincanglah dengan keluarga elok-elok dan pilih jawapan terbaik untuk masa depan anda. Ini disenaraikan kelebihan berkahwin muda.
Nak elak maksiat dan zina
Manusia sememangnya sentiasa diuji. Malah hati manusia mana yang boleh menahan godaan yang ada di sekeliling, apatah lagi saat bercinta. Bagi mengelakkan perkara yang ditegah oleh agama, jalan penyelesaian ialah menghalalkan hubungan yang sah. Berkahwin muda juga dapat mengelakkan daripada berlakunya hubungan luar nikah, pembuangan bayi ataupun kahwin lari. Daripada couple lama-lama, kan baik kahwin muda. Malah perkahwinan anda lebih indah kalau dapat bercinta selepas nikah.
Lebih matang dan bertanggungjawab
Setelah berkahwin pasti anda dan pasangan bertambah matang kerana harus mengemudi alam rumah tangga yang besar tanggungjawabnya. Dengan peranan yang harus anda pikul, pasti masing-masing ingin menjadi pasangan yang terbaik. Ini secara tidak langsung akan mengajar anda untuk menjadi orang yang lebih sempurna dan bijak mengatur urusan rumah tangga demi menyara keluarga tercinta.
Mahir selok-belok alam rumah tangga
Jika dahulu segala macam hal boleh diharapkan kepada ibu dan bapa. Dengan berkahwin muda anda akan belajar pelbagai perihal alam rumah tangga seperti memasak, mengenal pelbagai keperluan barang basah dan barang dapur dan sebagainya. Pengalaman berharga ini akan menjadikan anda lebih mahir dalam selok-belok alam rumah tangga.
Bila berdua jiwa lebih tenang
Kalau dulu masa bujang mungkin banyak benda yang anda kena fikirkan sorang. Tapi kini bila sudah berdua, tak ada dah anda nak serabut sorang-sorang lagi sebab anda boleh berkongsi rasa dengan pasangan. Buktinya sebagainya yang dinyatakan dalam Surah Ar-Rum, ayat ke-21, “Di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang.”
Boleh kumpul pahala dan tambah banyak rezeki
Apabila hubungan dah sah, banyak pahala yang anda dan pasangan boleh dapat. Bukan apa, bila dah kahwin setiap perkara baik yang anda berdua lakukan akan diberi ganjaran pahala dan rezeki. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk mengumpul pahala tersebut.
Zuriat lebih awal
Setiap pasangan yang berkahwin pasti ingin menimang cahaya mata. Tahukah anda, usia 18-24 tahun ini merupakan usia paling baik untuk kesuburan wanita? Kemungkinan untuk anda alami masalah komplikasi adalah tipis berbanding jika anda mengandung di usia lebih 35 tahun. Usia muda memberi anda peluang yang cerah untuk melahirkan, membesarkan dan mendidik anak. Jika usia panjang, anda berdua juga turut mempunyai masa untuk melihat anak-anak berkahwin dan mendapat cucu.