Setiap pasangan yang bercinta mesti bercita-cita nak menamatkan zaman bujang dan hidup bersama pasangan secepat yang mungkin. Namun, bukan senang nak kahwin dengan keadaan ekonomi sekarang ni. Buat majlis simple pun memerlukan belanja juga. Ini yang membuat sesetengah daripada kita takut untuk meneruskan ke peringkat seterusnya. Takut jika kita tidak mampu untuk menghadapi dugaan hidup selepas berumah tangga.
Perkongsian Fathin Azlan ini berdasarkan pengalaman realiti yang pernah dilaluinya. Langsung tak terduga selepas berkahwin, rezekinya masuk mencurah-curah. Sedikit sebanyak cerita ini boleh dikaitkan dengan cerita hidup kita.
Rezeki dari perkahwinan & anak
Dia pernah ceritakan pada aku kisah-kisah hidup dia yang terdahulu sebelum kahwin. Walaupun dia hidup membujang tapi duit selalu tidak mencukupi. Nak bayar sewa bilik sebulan sekali pun menggagau duit dalam poket. Dapat makan sekali sehari pun rasa cukup-cukup bersyukur.
Bila nak kahwin, dia tak yakin yang dia mampu jaga anak dara orang sebaik-baiknya.
Pesan mak dia, “Kahwin la. Tak kahwin hang takkan tahu rezeki hang seluas mana. Kalau dah hidup senang nanti jangan lupa bahagiakan isteri & anak-anak, depa la punca pintu rezeki hang terbuka.”
Selepas kahwin, dari menyewa bilik yang berharga RM250 dia mampu menyewa rumah berharga RM650 sebulan. Dari dapat makan sekali sehari untuk seorang diri, dia dapat sediakan makan minum untuk aku 2,3 kali sehari.
Lepas kahwin, pintu rezeki kami sedikit terbuka. Dari dia bekerja sebagai mat despatch pada sebuah syarikat pengiklanan, Allah bagi dia jalan untuk buat kerja sendiri dengan mengambil upah untuk jadi runner dengan upah kerja RM250-RM350/1 job untuk lesen perniagaan.
Masa tu hidup kami alhamdulilah cukup pakai makan minum. Yela, dengan gaji despatch dia boleh bayar komitmen kami (rumah, motor, kereta, elektrik, air dll), yang part time rider Domino piza boleh buat makan-makan setiap minggu dan yang upah runner kami buat duit saving kami kalau ada kecemasan, yuran pengajian aku, beli buku nota dan nak shopping kadang-kadang.
Selepas 2 tahun beberapa bulan kami berkahwin, Allah tiupkan satu roh dalam rahim aku. Aku mengandung. Kami bakal menimang baby sendiri.
Sekali lagi Allah bukakan pintu rezeki kami. Bagi aku pintu rezeki kami kali ini terbuka luas. Bukan hanya kami berdua yang merasa rezeki ini, malah ada yang dapat menumpang merasa sekali.
Dengan rezeki anak, tertubuhlah satu group Team Cik Atenn Azlan, company Atenn Inspire Works dan rangkaian produk The Beauty Hacks. Allah bagi jalan pada kami untuk buat bisnes & permudahkan urusan kami laki bini.
Semalam, aku dan dia bersembang tentang perjalanan perkahwinan kami berdua, aku sebak mengalirkan airmata, dia di sebelah buat-buat tenang padahal aku tahu dia nak mengalirkan airmata sekali. Lelaki kena cool
beb. Aku tahu dia mahu bersikap macho namun getar suara dia tak boleh sorok dari aku.Tipulah kalau aku katakan aku tak mengalirkan airmata bila melihat kejayaan kami sekarang.
Sekarang kandungan aku sudah mencecah 9 bulan. Kami sudah tidak sabar menatap wajah dan memeluk erat tubuh kerdil seorang insan yang dah membuka pintu rezeki kami termasuk ds dan agent kami. Iya, anak yang aku selalu gelarkan dia BUDAK. Hihi.
Setahun yang lepas (19 Disember 2015 – dalam diari), waktu tu kami balik dari hangout dengan adik-beradik kat Mid Valley, aku dan Amer pergi makan kat kedai sebelum balik rumah. Tiba-tiba dia cakap sesuatu yang menghibakan perasaan aku.
“Saya nak ucap terima kasih sebab awak sudi jadi isteri saya.”
“Kenapa cakap macam ni pula? Kalau macam tu saya pun nak ucap terima kasih jugaklah sebab sudi jadi suami saya. Boleh?”
“Saya serius. Saya tak melawak. Sejak saya kahwin, Allah bukakan pintu rezeki untuk saya. Saya tahu itu kerja Allah. Rezeki Allah untuk kita. Sejak saya dah kahwin, saya mampu tanggung semua hingga saya boleh menabung duit yang selebihnya.”
“Hmmm. Kalau awak tak kahwin dengan saya pun, rezeki kahwin awak tetap ada.”
“Tak. Takde perempuan yang sanggup bertahan dengan saya sama seperti awak buat. Mana-mana perempuan yang pernah bersama dengan saya semuanya melarikan diri sebab tak tahan hidup dengan lelaki yang tak romantik dan tak sweet.”
“Awak tak perlu sweet Amer, cukuplah biar saya sorang je yang sweet dalam hubungan kita,” aku tergelak kecil.
“Saya masih ingat lagi masa mula-mula nak kahwin dengan awak, saya bagitau kat mak ayah yang saya rasa macam tak mampu nak tanggung anak bini. Tapi awak nak tahu apa mak ayah saya cakap?”
“Apa?”
“Kalau hang nak hidup senang, hang kahwin. Hang jangan terkejut bila rezeki mencurah-curah masuk lepas kahwin. Hang kena bersyukur. Hang jaga anak bini baik-baik, depa la punca rezeki hang masuk.”
Di sini ada beberapa tips kejayaan dari kami, bahagiakan isteri, tunaikan tanggungjawab suami isteri, jangan derhaka pada suami, saling menghormati, abaikan isu kecil yang boleh menyebabkan pergaduhan tercetus, saling support each other, abaikan apa orang kata tentang diri & pasangan kita, solat jemaah sama-sama & jadi kawan baik. InsyaAllah, Allah merahmati rumah tangga & pintu rezeki sentiasa terbuka.
Jangan takut untuk berkahwin. Allah tidak pernah menipu tentang rezeki-rezeki yang dijanjikan.