Tuntutan hidup masa kini menjadi penyebab utama mengapa ramai individu memilih untuk menghabiskan masa dengan mengumpul kekayaan material walaupun jauh di sudut hati sangat terseksa. Amat menyedihkan apabila manusia semakin hilang pedoman dengan menghambakan diri kepada harta benda hanya disebabkan takut tidak dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin atau setara orang lain terutama apabila memikirkan masa depan anak-anak.
“Seawal jam 7 pagi keluar bekerja dan pulang ke rumah lewat malam, ia bukan saja terjadi kepada golongan lelaki malah lebih menyedihkan juga dilalui oleh ramai wanita bekerja menyebabkan anak-anak terpaksa membesar sendiri tanpa masa dan perhatian penuh ibu bapa.
Ramai yang mengakui, semuanya dilakukan disebabkan terpaksa hingga emosi diri menjadi tidak stabil. Jika diikutkan hati mahu saja dilepaskan semuanya namun atas faktor mahu mengejar kemewahan dunia, masih ramai yang sanggup meneruskannya. Hakikatnya semua ini tidak menjamin kebahagiaan diri, mungkin anda tidak mengalami masalah daripada segi wang ringgit namun hakikatnya jiwa dan diri anda kosong tanpa perasaan bahagia.
Tambahnya, tidak salah untuk berusaha mengumpul kekayaan namun semua itu perlulah berpada dan tidak keterlaluan, paling utama perlu ada masa untuk diri sendiri merasai nikmat sebenar kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan, keseronokan dan ketenangan. Semuanya bergantung kepada pilihan sendiri, mungkin masih ramai yang tidak sedar betapa pentingnya berasa bahagia dan tenang. Ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit namun nilainya lebih tinggi jika dibandingkan dengan sejumlah wang yang banyak. Disebabkan itu, ramai individu yang saya temui berterus terang mengakui jiwa mereka terasa kosong sedangkan mempunyai kemewahan tidak ternilai.
Muhasabah diri, hargai diri dan insan terdekat terutama ahli keluarga, isteri dan anak-anak kerana ia adalah cara terbaik untuk kita mula belajar erti bahagia. Walaupun tampak mudah, hakikatnya untuk mendapatkan kebahagiaan diimpikan itu sangat susah dan perlukan satu pengorbanan.Terdapat banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi emosi diri dalam usaha mengecapi kebahagiaan hidup bukan saja di dunia malah di akhirat kelak. Antara panduan untuk diri berasa tenang dan bahagia.
.
Belajar untuk bersyukur
Perlahankan rentak kita, lihat sekeliling dan beri perhatian pada perkara kecil dalam hidup kita. Lihat kecantikan bunga dan rumput yang melata di tepi jalan, keindahan matahari terbit dan terbenam serta senyuman orang tersayang.
Ada orang tidak dapat melihat semua ini. Bersyukurlah kerana kita ada mata yang boleh melihat, ada keluarga untuk berasa disayangi dan dipanjangkan hayat bagi menikmati lagi ciptaan Allah. Apabila kita bersyukur, secara automatik, hati akan tenang dan bahagia.
Pilih kawan yang baik
Menurut penyelidik Universiti Harvard, faktor luaran yang paling penting dan boleh mempengaruhi kebahagiaan dan kegembiraan seseorang ialah hubungan sesama manusia. Jika mahu bahagia, pilih kawan yang optimis, menghargai dan menerima kita seadanya serta boleh membuatkan hidup kita lebih kaya daripada pelbagai sudut seperti pengetahuan, pengalaman, gembira dan bermakna.
Pupuk rasa simpati dan prihatin
Belajar untuk menyelami dan memahami masalah orang lain. Cuba fikirkan apa tindakan yang akan kita ambil jika berada di tempatnya. Ini dapat mengelakkan konflik. Meskipun kadangkala kita mungkin akan rasa tidak puas hati, fikirkan kesannya jika kita tetap berkeras.
Apabila cuba berdiri di tempat orang lain, kita akan lebih simpati, prihatin dan dapat memberikan cadangan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah.
Terus belajar
Proses pembelajaran akan membuatkan kita sentiasa ‘muda’ dan ia dapat menghidupkan impian. Belajar akan membuatkan otak kita sibuk dengan perkara baru dan menyempitkan ruang untuk pemikiran negatif. Ini secara tidak langsung akan membuatkan kita berasa lebih bertenaga, puas dan gembira.
Jadilah penyelesai masalah
Orang yang bahagia adalah orang yang menyelesaikan masalah. Apabila berdepan cabaran hidup, mereka akan berfikir cara menghadapi dan menyelesaikannya. Mereka tidak membiarkan masalah membelenggu hidup. Dengan menjadi penyelesai masalah, kita secara tidak langsung akan membina keyakinan diri dan kebolehan untuk mencapai impian.
Lakukan perkara yang kita suka
Menghabiskan sebahagian besar masa di tempat kerja boleh membuatkan sesiapa saja berasa tertekan. Jadi cari peluang untuk melakukan perkara yang kita suka kerana ia akan memberi impak besar dalam hidup. Jika tiada hobi tertentu, cari kegembiraan yang bermakna di tempat kerja contohnya banyak membantu orang atau menyertai aktiviti di pejabat.
Hayati hidup sekarang
Jika kita rasa tertekan dengan rutin harian yang terlalu mengejar kebendaan, cuba fikirkan apa yang membuatkan kita berasa demikian dan ia mungkin disebabkan banyak perkara. Hargailah diri dan masa yang anda ada dengan membahagiakan insan tersayang.
Selalu ketawa
Ketawa ialah penawar bagi kemarahan dan kemurungan. Kajian menunjukkan dengan menggerakkan bibir untuk mengukir senyuman boleh meningkatkan rasa gembira. Justeru, jangan terlalu serius. Kalau diperhatikan, ada banyak perkara dalam hidup ini yang boleh membuatkan kita senyum, gembira dan ketawa.
Belajar untuk jadi pemaaf
Mungkin ramai tidak sedar perasaan dendam dan marah yang dipendam sebenarnya ialah hukuman pada diri sendiri. Ia boleh menyebabkan kita tertekan, hati dan fikiran tidak tenang serta menjejaskan kesihatan.
Apabila kita memaafkan, kita sebenarnya mengundang pelbagai kebaikan datang dalam hidup. Paling penting memaafkan diri sendiri dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Hanya dengan cara ini kita akan belajar menjadi individu yang lebih baik dan kuat.
Selalu berterima kasih
Amalkan untuk mengucapkan ‘terima kasih’ sebagai tanda syukur khususnya pada sang pencipta. Jangan berkira untuk berterima kasih pada orang sekeliling kita yang membuatkan hidup kita lebih mudah, tidak kira sekecil mana pun sumbangan mereka.
Tepati janji
Manusia dipegang pada janjinya. Menepati janji sama ada dengan orang atau diri sendiri adalah cara untuk kita mendisiplinkan diri. Kita akan rasa lebih bersemangat dan yakin apabila menepati janji. Memungkiri janji bukan saja akan menyusahkan orang, malah membuatkan orang hilang kepercayaan kepada kita.
Meditasi
Menurut penyelidik Universiti Harvard, orang yang melakukan lapan sesi meditasi secara puratanya 20 peratus lebih bahagia dan gembira. Sebagai umat Islam, meditasi terbaik adalah menunaikan solat dan beribadat. Sehari semalam, kita ada lima sesi ‘meditasi’ wajib. Jika dicampur dengan solat sunat, doa dan zikir harian, ada banyak sesi meditasi yang sepatutnya boleh membantu kita menjadi menjadi insan yang lebih tenang dan bahagia.
Jadi individu yang optimis
Orang optimis melihat gelas yang berisi separuh sebagai separuh penuh. Orang pesimis melihatnya sebagai separuh kosong. Orang optimis mencari manfaat dan hikmah daripada setiap masalah atau cabaran. Dengan cara ini kita tidak akan kecewa jika apa yang diusahakan tidak memenuhi sasaran kerana ia dianggap sebagai pengalaman dan tangga untuk meraih kejayaan. Orang optimis juga tidak cepat berputus asa.
Sayang tanpa syarat
Dalam dunia ini tiada orang yang sempurna. Terima diri anda seadanya. Begitu juga dengan orang lain baik pasangan, anak, ahli keluarga atau sahabat. Menyayangi tanpa syarat bermakna kita menerima kekurangan diri sendiri dan orang lain. Ketahui setiap orang dikurniakan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Jaga kesihatan
Kesihatan adalah asas kepada kegembiraan dan kebahagiaan. Sukar untuk mencari orang sakit yang gembira dan bahagia dengan penderitaan yang dihadapi. Biasanya kita akan banyak mengeluh dan bersedih apabila sakit. Jadi untuk sihat dan gembira, kita perlu bersenam, jaga makan dan rehat secukupnya. Pada masa sama, jangan abaikan kesihatan rohani. Ada orang kaya dan berjaya tetapi tidak bahagia kerana jiwanya kosong. Berikan rohani semua ‘khasiat’ yang diperlukan.
Beri tumpuan kepada apa yang dilakukan
Apabila kita melakukan sesuatu sepenuh jiwa, tanpa disedari sebenarnya kita membina satu fasa gembira. Dalam fasa ini, kita tidak kisah apa orang lain fikir mengenai diri kita. Malah kita juga tidak terkesan dengan perkara yang kurang penting di sekeliling kita termasuk kata-kata yang tidak membina!