Janji Allah yang tak mampu kita sangkal adalah rezeki lebih selepas berkahwin. Ya benar, memang ada ujian yang Allah turunkan buat kita selepas kahwin, tapi percayalah setiap ujian yang turun, pasti ada khabar gembira selepasnya.
Janji Allah itu pasti. Mungkin dia tidak datangkan dari segi wang ringgit, tapi dia akan datangkan daripada suami yang membahagiakan. Mungkin dia tidak datangkan dari segi anak tapi dia datangkan dari segi keluarga mentua yang membahagiakan. Bersangka baiklah dengan janji Allah.
1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” (An Nuur : 26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (An Nuur: 32)
Sebahagian daripada para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan.
Manakala mereka yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada mempunyai perasaan bimbang juga. Sebahagian daripada mereka tetap rasa ragu-ragu dengan gaji mereka. Dalam fikiran mereka pasti berkata, “Apakah gaji aku ini cukup untuk berkeluarga?”
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu-ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan atas alasan ekonomi.
Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan mereka untuk memberi nafkah dan terus bekerja mencari nafkah bagi memenuhi keperluan keluarga.
Allah akan menolong mereka yang bernikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih.
Tidakkah kita lihat kenyataannya d’i masyarakat, banyak mereka yang mulanya tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah berinya rezeki yang berlimpah-ruah dan mencukupkan keperluannya?
3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya.” (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadis No. 2518 dan Hakim 2: 160)
Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah SAW dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.
4. “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar Ruum : 21)
5. Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al Mu’min: 60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat dan sebagainya.
Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Di antaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan dan sebagainya.
Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir di mana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah.
Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum daripada sumber yang haram dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah.
Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya dan mengakui bahawa Allah Maha Mendengar.
Sebahagian orang apabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar. Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam.
Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah SAW: “Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.” (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad).
Telah bersabda Rasulullah SAW, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.” (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).
Telah bersabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.” (Hadis sahih riwayat Abu Dawud (No. 3883), Ibnu Majah (No. 3530), Ahmad dan Hakim).