Baru-baru ini telah tular kisah pasangan muda yang mengadakan majlis pertunangan secara jarak jauh selepas beberapa gambar termasuk video dimuat naik di laman sosial.
Majlis pertunangan membabitkan aplikasi panggilan video Skype yang dipaparkan di komputer riba dan disambungkan ke ‘monitor’ bagi paparan lebih jelas buat tetamu.
Pemuda yang baru bertunang itu, Muhammad Idham Aisha, 27, berkata, persiapan majlis dibuat di kediaman keluarga perempuan, Nur Amirah Mohammad Noor, 25, di Bukit Rambai, Melaka pada Sabtu lalu.
Idham yang kini bekerja di Yokohama, Jepun, berkata kedua-dua ibu bapanya yang hadir bersama kira-kira 20 ahli keluarga dan saudaranya sebenarnya tidak mengetahui mengenai rancangan untuk membuat panggilan video selepas majlis.
Ads
“Sejak saya belajar dan bekerja di Jepun hampir lapan tahun, hanya beberapa kali saja saya pulang ke Malaysia. Sepanjang tempoh ini, saya tak pernah buat ‘video call’ dengan abah dan mak sebab di kampung di Kampung Gajah, Perak tak ada kemudahan untuk menggunakan ‘skype’.
“Jadi, ini memang pertama kali buat ‘video call’ dengan mereka. Alhamdulillah, kejutan untuk mak abah. Menitis air mata abah jugalah masa bercakap dengan saya depan ‘monitor’ (skrin komputer),” katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp Call pada Rabu.
Idham yang bekerja dalam bidang pengiklanan berkata, ia juga merupakan pertama kali ibu bapanya bersemuka dengan tunangnya sekeluarga.
“Sebelum ini mereka hanya lihat Amirah menerusi gambar, tapi pada majlis barulah mereka dapat berjumpa. Secara tidak langsung, ‘video call’ yang dibuat bagi berkongsi kegembiraan abah dan mak bersama keluarga Amirah,” katanya.
Kisah cinta mereka bermula semasa majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Tokyo pada tahun lalu semasa Amirah menyertai program pertukaran pelajar di negara matahari terbit itu sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk mengenali secara serius.
Ads
Tambahnya lagi dia sudah bertemu dengan ibu bapa Amirah sebelum memutuskan untuk bertunang. Dan akan pulang bercuti pada Ogos nanti kerana kebetulan ada urusan kerja serta ingin bertemu dengan mereka, yang paling gembira kali ini sebagai tunang Amirah.
Ads
Sementara itu, Amirah pula berkata, dia tidak menyangka sesi panggilan video yang dibuat keluarganya selepas ditunangkan tular di media sosial.
“Bukan saya atau Idham yang memuat naik video ini, jadi memang terkejut bila dikongsi ramai di Facebook. Terima kasih kepada mereka yang menyukainya. Bagi yang mengecam, itu mulut mereka nak kata macam-macam, terpulang kepada mereka.
“Tapi video ini sekadar berkongsi kegembiraan kami sekeluarga terutama memberi kejutan kepada mak dan abah Idham. Ia juga menunjukkan kami mendapatkan restu daripada kedua-dua keluarga. Kan lebih baik doakan kami yang baik-baik sampai ke jinjang pelamin,” katanya.
Amirah yang baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Bio Perubatan di intistut pengajian tinggi tempatan, berkata sikap Idham yang bertanggungjawab terutama menghormati ibu bapanya berjaya menambat hatinya.
“Walaupun kami baru berkenalan, Idham sudah berani menghubungi kedua ibu bapa saya untuk beritahu dia mahu mengenali saya.
“Begitu juga ‘video call’ yang dibuat selepas kami bertunang, dia tampil bersemuka dengan keluarga saya dan keluarganya. Bukan semua lelaki seberani dia,” katanya yang merancang untuk menyambung pengajian dalam peringkat Sarjana di Jepun.
Kembali tular dan panas kisah Marissa Dania iaitu anak kepada pelakon, Norman Hakim dan Abby Abadi apabila didakwa sudah bernikah dengan lelaki berstatus suami orang dikenali sebagai Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.
Marissa Dania Nikah Di Songkhla
Perkara tersebut tular selepas sebuah portal berita mendakwa Marissa, 19, bernikah dengan Aslam tanpa pengetahuan isteri pertama lelaki tersebut dikenali sebagai Misya yang pada ketika itu sedang menunaikan umrah.
Bukan itu sahaja, pernikahan mereka juga dikatakan berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa.
Kemudian perkongsian kakak ipar Aslam iaitu Nadiah Mazlan dalam Instagran Stories (IGs) seolah-olah mengesahkan khabar angin yang mendakwa lelaki itu berkahwin dengan anak pasangan selebriti.
Tulisnya, “Kakya nak minta tolong, tolong bagi kata-kata semangat dan nasihat pada adik Kakya.
“Masih panjang perjalanan dia. Semoga dia dan anak-anaknya sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.”
Nadiah pada masa yang sama turut dilihat berkongsi beberapa hantaran yang dimuat naik Misya yang seakan menggambarkan gejolak hatinya.
“Tuhan, tolong tutup rasa ingin tahuku terhadap hal-hal yang kalau aku mengetahuinya membuatku sakit hati, menangis, bahkan sampai membuatku stress kepikiran berhari-hari, jauhkan dari seharusnya tidak aku ketahui agar aku merasakan ketenangan,” kongsi Misya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mendedahkan ada hari nyaris gila memikirkan apa yang berlaku.
“Ada hari normal, ada hari nyaris jadi gila. Ada hari boleh terima, ada hari bagai tersiksa.
“Ada hari ingin saja mempertikaikan kenapa dan mengapa, ada hari rasa hanya ingin berlapang dada dengan segalanya.
“Itu semua proses dalam menerima takdir di dunia,” kongsinya.
Tak Dapat Pengesahan
Difahamkan, hubungan Marissa dan Aslam dikatakan kembali terjalin selepas kontroversi yang melanda mereka sekitar September tahun lalu reda bahkan Aslam rujuk semula dengan Misya.
Namun begitu, untuk mendapatkan pengesahan daripada Norman dan Abby tidak berjaya apabila mereka tidak membalas WhatsApp mahupun menjawab panggilan telefon.
Malahan Marissa telah menutup ruangan komen bagi hantaran Instagramnya selepas dihujani dengan pertanyaan netizen mengenai dakwaan tersebut.
Tersebar berita Shakilla Khoriri kembali bergelar isteri selepas rakan artis yang meraikan majlisnya memuat naikkan gambar dia mengenakan busana serba putih.
Dengan gelakan kecil dalam frame gambarnya, jelas tergambar kebahagiaan yang dilalui oleh Shakilla selepas bergelut dengan beberapa kontroversi sebelum ini.
Shakilla Khoriri Kembali Bergelar Isteri
Kemudian pemilik nama lengkap Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 35, sendiri memuat naikkan gambar dia bersama pasangannya, Mohd Faiz dengan ‘welcome‘ kehadirannya dalam keluarga kecilnya. Tulisnya:
SELAMAT DATANG UNCLE FARIZ
Alhamdulillah selesai majlis hari ni dengan kehadiran family dan teman-teman rapat. Majlis yang kecil dan tertutup. Atas permintaan dan persetujuan kami sekeluarga untuk menyambut dan merai ahli baru dalam keluarga kami.
Terima kasih atas ucapan, doa dan kata-kata yang baik buat saya & Ameena. Kami berdua setuju dan bersyukur dengan kehadiran Uncle Fariz dalam family kecil kami.
Tanggungjawab bertambah. Amanah Allah untuk saya jaga dua orang ni. Doakan saya. Doakan perjalanan baru ni lebih baik untuk kami bertiga. Doakan saya menjadi Umi dan Isteri yang baik untuk mereka.
Doakan saya kuat dan sihat untuk jaga mereka dan bahagiakan mereka selagi Allah pinjamkan hayat saya atas dunia ni.
Terima Kasih atas doa-doa kalian pada kami bertiga. Terima kasih Mak Abah, Terima kasih Ameena Sofia, Terima kasih ALLAH.
Ramai Mendoakan Dan Meraikan Hari Bahagianya
Rakan artis, Ramona Zamzam juga mendoakan agar Shakilla dikurniakan kebahagiaan yang diimpikan selama ini.
“Semoga kebahagiaan milikmu Shakilla, sayang kau dan Ameena,” tulisnya ringkas sebagai kapsyen hantaran foto dalam Instagram miliknya.
Majlis Berlangsung Di Shah Alam
Difahamkan majlis berlangsung di Shah Alam dan hanya dihadiri keluarga terdekat dan kenalan rapat.
Sebelum ini, Shakilla pernah bernikah dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun.
Nampaknya pengantin lelaki yang berusia bawah 18 tahun dan perempuan yang berusia bawah 16 tahun di Terengganu perlu menangguhkan dulu hajat untuk mendirikan masjid kerana kerajaan negeri Terengganu tetap melarang lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun untuk berkahwin di negeri itu kecuali dengan kebenaran hakim syarie.
Had umur minimum untuk berkahwin bagi orang Islam di Terengganu kekal pada 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.
Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata bagaimanapun pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya memberi kelulusan kepada permohonan untuk perkahwinan di bawah umur kecuali atas tiga faktor iaitu perempuan tersebut telah melahirkan anak, sedang mengandung atau pasangan tersebut telah terlanjur. Kelulusan diberi hanya untuk permohonan berdasarkan tiga faktor ini kerana ia mempunyai kesan kepada anak yang dikandung atau dilahirkan itu dari segi pewarisan harta, wali dan faraid.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, seramai 61 pasangan lelaki dan perempuan berusia bawah 18 dan 16 tahun diberi kebenaran berkahwin sejak 2016. Katanya, perkahwinan pasangan itu diberi kebenaran secara bertulis oleh hakim syarie disebabkan beberapa keadaan.
“Bermula 2016 hingga tahun lalu, seramai 61 pasangan diluluskan oleh mahkamah syarie untuk diakad nikah.
Seramai 17 pasangan diakad nikah pada 2016, 2017 (16), 2018 (18), 2019 (18) dan masing-masing lima pasangan pada 2020 dan 2021, Difahamkan, seramai 320 perempuan berusia bawah 16 tahun dan 284 lelaki berusia bawah 18 tahun mengemukakan permohonan untuk berkahwin bermula 2016 hingga tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya 61 pasangan diberi kebenaran untuk diakad nikah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2017 oleh mahkamah syariah. Berdasarkan rekod dikeluarkan mahkamah syariah, ada antara perempuan berusia 13 tahun mengemukakan permohonan untuk berkahwin.
JHEAT hanya melakukan akad nikah pasangan lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun selepas mendapat kebenaran daripada hakim syarie.Mengikut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, 444 permohonan untuk berkahwin bawah umur itu melibatkan seramai 522 kanak-kanak iaitu 155 pemohon berumur 17 tahun, 40 orang (16 tahun), 277 orang (15 tahun), 40 orang (14 tahun) dan 10 orang (13 tahun).
Sumber: hmetro.com.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!