Jauhi 5 Sebab Utama Yang Boleh Rosakkan Hubungan Rumah Tangga, No. 3 Tu Paling Bahaya!

Share

Pergaduhan dan perselisihan faham merupakan lumrah dalam hubungan rumah tangga. Pepatah ada menyebut, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri. Dalam pada masa yang sama, perkara ini mampu memberi teladan kepada padangan suami isteri dalam memantapkan hubungan rumah tangga agar lebih matang dan kukuh.

Namun, jangan biarkan masalah itu berlanjutan dan tidak menemukan jalan penyelesaian. Ia boleh membawa kepada masalah rumah tangga yang lebih serius sekali gus merosakkan hubungan tersebut. Selesaikan ia dengan cara baik dan selamatkan rumah tangga sedaya yang mungkin. Jangan biarkan masjid yang dibina sekian lama runtuh begitu saja.

Jom kita lihat 5 sebab utama yang boleh rosakkan hubungan rumah tangga. Selamatkan ia sebelum terlambat!

1. CEMBURU YANG MELAMPAU

Cemburu tanda sayang? Ya, benar. Namun, usahlah ada perasaan cemburu yang begitu serius hingga menyebabkan pasangan anda tidak bebas untuk berkawan dan terasa dikongkong. Sifat cemburu yang terlampau akan menyebabkan anda berasa marah, emosi kurang stabil dan hilang pertimbangan sehingga melakukan perkara yang mungkin tidak disukai oleh pasangan anda.

Selain itu, pasangan anda akan mula khuatir dan timbul keraguan terhadap kepercayaan anda pada si dia. Jelas, sikap cemburu anda haruslah kena dengan tempat, masa, dan situasi untuk mengelakkan masalah dalam hubungan anda.

2. MENIPU

Mengapa harus menipu dalam hubungan? Sifat jujur merupakan kunci utama untuk mengekalkan hubungan bersama pasangan. Jangan sesekali memulakan penipuan kerana ia boleh menimbulkan permasalahan bersama si dia. Tidak kira sama ada perkara besar atau kecil, sentiasa berlaku jujur kepada pasangan anda, dan usah berselindung di balik bayangan sendiri.

Takut nanti, esok lusa, penipuan anda terbongkar dan pasangan anda langsung tidak menaruh kepercayaan terhadap anda. Apa yang lebih teruk, si dia juga akan membuat perkara yang sama dan akhirnya akan menyebabkan hubungan bertukar negatif. Terapkan kepercayaan, kejujuran dalam keikhlasan dalam hubungan anda untuk membina rasa cinta yang lebih manis.

3. SERING BUAT PERBANDINGAN

Perbandingan adalah perkara tidak wajar dilakukan dalam sesebuah hubungan. Sebagai contoh, sesetengah pasangan kerap kali membandingkan hubungan sekarang dan masa lampau. Usah bangkitkan cerita lama. Ini akan menyebabkan si dia rasa khuatir terhadap anda.

Bukan itu sahaja, malah ada juga yang membuat perbandingan tentang bentuk badan, rupa paras ataupun cara pemakaian pasangan dengan orang lain. Hal ini menyebabkan pasangan akan hilang kepercayaan pada anda dan secara tidak langsung, sedikit sebanyak akan menjejaskan kualiti hubungan anda. Jadi, usah membuat perbandingan, namun menasihati sesama lain adalah perkara paling bagus.

4. SIKAP AMBIL MUDAH

Kadang-kala, jika sesebuah hubungan itu sudah berada dalam tempoh yang lama, pasangan akan mula mengambil mudah mengenai hubungan cinta yang terjalin. Sudah tidak sehangat waktu pertama kali bercinta. Mengapa harus begitu? Seharusnya, semakin lama tempoh hubungan itu, semakin fasih setiap pasangan untuk mengukuhkan lagi hubungan yang terjalin.

Pelajari dan fahami perkara terbaik untuk membuat pasangan anda bahagia. Dalam tempoh yang lama, sudah pasti anda cukup arif tentang karakter si dia. Gunakan waktu yang ada dengan sebaik mungkin supaya hubungan anda kekal lama. Jangan ambil ringan dan sentiasalah berusaha untuk menjadikan hubungan bersama si dia lebih berkualiti.

5. GAGAL BERKOMUNIKASI

Komunikasi, komunikasi, komunikasi. Terutamanya kepada golongan muda, kurang berkomunikasi adalah penyebab utama hubungan jadi dingin. Perasaan cemburu, penipuan, dendam dan sebagainya dapat diatasi sekiranya pasangan mampu berkomunikasi dengan baik.

Luahkan saja perasaan tidak puas hati kepada pasangan. Jangan gentar untuk menjadi seorang yang jujur. Ambil masa untuk duduk berdiskusi, berbincang tentang perihal hubungan dan selesaikannya bersama. Secara tidak langsung, ia juga mengeratkan lagi diri anda bersama si dia.

Published by
Fadhli Ismail