Pernah dengar cinta tiga segi? Cinta orang ketiga? Istilah ini sama sahaja.
Siapa yang pernah melaluinya sudah tentu dapat merasakan betapa sakitnya jiwa bila cinta ‘dibahagi’ tiga tanpa disedari.
Hati kadang-kadang terlalu naif pada godaan bernama cinta. Tanpa boleh dicegah, tahu-tahu sahaja kita mungkin sudah terjebak dalam hubungan segi tiga. Ya, cinta segi memang sungguh menyakitkan!
Jatuh cinta bukanlah satu agenda yang boleh dirancang. Ia datang secara semula jadi dalam diri seseorang individu. Berbicara soal hati, cinta mungkin tidak boleh dilahirkan secara luahan manik-manik kata, tetapi ia boleh terpancar melalui pandangan mata dan perbuatan.
Tidak ada orang yang mahu memegang watak sebagai orang ketiga mahupun menjadi mangsa dalam drama tiga penjuru ini. Namun, jika terjadi juga, mungkin terselit hikmah yang tersembunyi.
Izzati, seorang gadis berusia 25 tahun, terpanggil untuk berkongsi kisahnya. Bukan kerana ingin membuka aib sendiri tetapi sekadar untuk berkongsi rasa. Mungkin pengalaman cinta yang dilalui oleh Izzati boleh dijadikan panduan terutama buat mereka yang sedang bercinta. Moga paparan dan perkongsian ini menjadi panduan dan teladan.
Andai kita tidak berjodoh,
Itu petanda yang kita tidak serasi,
Andai kasih kandas di tengah jalan,
Itu petanda ada kasih yang lebih baik buat kita berdua.
Usahlah kita menyalahkan takdir
Usahlah kita berduka lara
Kerna..semuanya telah tertulis yang kita bukan ditakdirkan bersama.
Aku telah ditunangkan dengan Azmi atas pilihan keluarga. Sungguh pun kami diperkenalkan oleh keluarga masing-masing, namun jujur aku akui yang aku sudah mula jatuh hati dengan Azmi sejak pertama kali kami bertentang mata. Begitu juga dengan Azmi. Dia seorang lelaki yang baik. Aku senang bersamanya kerana dia sentiasa menghormati aku sebagai seorang wanita yang belum menjadi haknya.
Kami jarang berjumpa kerana Azmi sibuk dengan kerjaya sebagai seorang jurutera manakala aku pula ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian ijazah pertamaku. Dalam masa yang sama juga aku sedang berkira-kira untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Ya! Memang itulah hajatku kerana aku mahu menjadi seorang pensyarah.
Syukur… permohonanku untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana telah diterima. Aku berasa sangat gembira. Ku kongsikan bersama kejayaanku ini bersama tunangku Azmi kerana dia juga sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Walaupun terpancar tanda bangga pada diri Azmi kerana tunangannya berjaya merealisasikan impian untuk berjaya dalam pelajaran, namun terselit rasa sedih kerana terpaksa berpisah jauh denganku.
Aku memahami gejolak yang melanda jiwa Azmi, tetapi aku perlu meneruskan cita-citaku. Demi cita-citaku untuk menjadi seorang pensyarah, aku perlu kuat menepis apa-apa jua ‘anasir’ yang boleh mematahkan semangatku untuk berjuang. Pada keluarga, ku beritahu yang aku hanya akan menamatkan zaman daraku apabila aku telah berjaya menggenggam ijazah sarjanaku.
Ads
Cinta Tak Kenal Siapa
Hidup berjauhan membuatkan aku semakin tabah melalui cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar. Hari-hariku dilalui dengan penuh kesibukan menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan tesis. Terkadang rasa lelah jua dengan kesibukan yang terpaksa ku depani tetapi demi mengejar cita-citaku yang satu, semua ‘penyakit-penyakit’ itu ku lontar jauh-jauh.
Dalam kesibukan melalui kehidupan sebagai seorang pelajar, rupa-rupanya aku diintai oleh seorang jejaka tampan. Walau pun kami tidak sekelas, namun aku mula perasan yang si dia selalu mengambil peluang mencuri-curi pandang.
Suatu hari, hendak dijadikan cerita, aku telah diragut ketika ingin melintas jalan untuk menaiki teksi. Ketika itu aku keluar sendirian. Mujur si dia ada sewaktu insiden itu berlaku jika tidak, apalah nasibku agaknya.
Dialah yang membantu aku membuat laporan polis selain menemankan aku pulang ke asramaku. Dokumen-dokumen penting semuanya hilang dan dia jugalah yang banyak membantu aku menyelesaikan segala urusan-urusan memperbaharui dokumen-dokumen penting itu. Bermula dari situ, hubunganku dengan si jejaka bernama Farid semakin rapat.
Ads
Aku sendiri tidak pasti mengapa aku rasa sungguh bahagia apabila bersama Farid berbanding tunangku sendiri. Timbul juga rasa bersalah dalam diriku tatkala aku keluar bersama dengan Farid, tetapi aku tidak berjaya menepis rasa cintaku pada Farid yang mula berputik tanpa sedar. Berkali-kali juga untuk aku menolak rasa cinta pada Farid, tetapi aku tewas.
Maafkan Kekhilafanku
Setelah Farid menyuarakan isi hatinya padaku, aku jadi serba-salah. Aku tahu, aku berdosa kerana menduakan tunanganku, tetapi aku tidak berdaya. Aku terpaksa berterus-terang dengan Farid yang aku sebenarnya telah bertunang. Memang Farid agak terkejut dengan pengakuanku pada awalnya tetapi dia juga sepertiku, tidak mampu untuk menidakkan rasa cinta yang hadir dalam diri masing-masing.
Sejak itu, hubunganku dengan Azmi semakin dingin. Segala panggilan telefon dan Whatsapp yang dihantarnya langsung tidak ku balas. Aku terpaksa kejam pada dirinya kerana tidak mahu dia terus mengharap cintaku. Aku berhak untuk memilih jalan hidupku. Mungkin juga kerana perkenalan singkat antara aku dan Azmi dan kemudiannya kami hidup berjauhan membuatkan kasih kami semakin layu.
Walau pun kedua-dua keluarga agak terkejut dengan permintaanku untuk memutuskan pertunangan kami, namun akhirnya mereka akur. Mereka sedar yang soal perasaan tidak boleh dipaksa-paksa. Bagi diri Azmi pula, dia tenang menerima pengakuan jujur dariku walau pun aku tahu dia benar-benar terluka.
Jika kau terbaca coretan ini Azmi, inginku memohon maaf sekali lagi kerana terpaksa menguburkan cinta kita. Tidak terdetik di hatiku untuk mempermainkan perasaanmu. Redalah dengan apa yang terjadi. Sesungguhnya aku bukan untukmu dan kamu bukan untukku. Telah tersurat di halaman takdir yang kita tidak akan hidup bersama.
Aku bukanlah mahu menyokong kisah cinta orang ketiga tetapi bagi diriku, semua yang terjadi dengan izin dan kehendak-NYA. Usahlah meratapi kasih yang tidak kesampaian. Belajarlah untuk menerima kenyataan kerana Allah telah mengatur segalanya untuk kita. Ada orang lain yang lebih baik untuk kita. Maka, redalah dengan ketentuan daripada-NYA.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tiada yang lebih memilukan buat Noor Fatihah Osman 23, apabila suaminya maut dalam tragedi kebakaran dan perkahwinan mereka baru berusia 4 bulan.
Pasangan ini telah bernikah pada bulan Mei namun baru berkesempatan membuat majlis kenduri walimahtul urus pada minggu lalu.
Suaminya Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25, adalah guru yang juga warden di pusat tahfiz berkenaan.
Ibu saudara Noor Fatihah, Asmah Yaakob,50, berkata setiap hari Allahyarham akan menghubungi Noor Fatihah yang sedang mengikuti pengajian hadis di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.
Namun hari ini arwah tidak membuat sebarang panggilan kepada isterinya. Noor Fatihah yang tidak sedap hati cuba beberapa kali menghubungi suaminya, namun panggilan itu tidak dijawab.
“Mohd Amirul Nizam seorang yang peramah dan sentiasa mengambil berat terhadap orang lain. Dia akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
“Kami sekeluarga amat rapat dengan arwah. Pemergiannya amat kami rasai. Kali terakhir saya bertemu Amirul ketika majlis perkahwinannya (walimah) di Kelantan minggu lepas,” kata beliau.
Walaubagaimanapun, wartawan gagal mendapatkan respons daripada Noor Fatihah, 23, berhubung tragedi itu.
Difahamkan, Noor Fatihah menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 6pagi, sebelum bergegas ke tempat kejadiaan.
Insiden yang berlaku di bangunan tiga tingkat itu meragut nyawa 22 pelajar dan dua guru di pusat tahfiz terbabit.
Takziah buat semua keluarga mangsa dan semoga isterinya kuat dengan ujian ini. Alfatihah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memang tak salah nak kahwin empat. Asalkan boleh berlaku adil serba serbi, ok je. Cuma, janganlah asyik nak jadikan itu gurauan ketika bersama isteri. Soal bermadu, nak dapat payung emas dan sebagainya ni memang sakit untuk diterima wanita bergelar isteri khususnya.
Perkongsian khas untuk pembaca Pesona Pengantin dari kiriman PM FB Pesona Pengantin dan nama pengirimnya dirahsiakan.
Salah satu perkara yang sesetengah lelaki ambil ringan apabila bergurau adalah buat lawak berkenaan kahwin empat atau kahwin ramai (aku tekankan ayat sesetengah lelaki). Benda ini ramai yang buat, penceramah pun ada yang buat.
Semasa kursus kahwin pun ada yang buat lawak pasal benda ni (aku dah kena benda ni). Bayangkan, semasa pergi kursus kahwin, soal asas tanggungjawab suami isteri pun masih tak jelas, dah bergurau pasal kahwin ramai.
Aku secara peribadi rasa yang lawak ni low class dan tak patut pun untuk kita berulang-ulang kali buat lawak. Jujurnya, tak lawak pun. Jangan sentap apabila aku cakap ni lawak low class sebab time ko bergurau, pasangan ko lagi sentap sebenarnya. Cuma yang solehah kaw2, dia sentap dalam diam atau dia tak layan je. Yang jenis direct sikit, dia sound ko terus.
Bergurau Kena Ada Adab
Nak bergurau kena ada adab. Ada benda yang tak patut pun kita bergurau walaupun benda tu dibenarkan Allah. Cuba ambil contoh kalau seorang isteri bergurau dengan suami, dia cakap bila suami dia mati, habis je tempoh berkabung, dia akan kahwin dengan lelaki baru yang muda dan handsome.
Benda halal dan dibenarkan Allah, tapi confirm si suami akan sentap kaw2 walaupun niat isteri nak bergurau je. Ingat, ada benda yang kita tak patut pun bergurau walaupun benda tu dibenarkan Allah.
Ada beberapa sebab kenapa kita patut stop buat lawak pasal kahwin ramai ni. Sebab paling utama adalah ia sangat melukakan hati isteri. Korang perasan tak yang perempuan sangat jarang (ataupun tak pernah) buat lawak berkenaan poligami.
Dan apabila sesetengah lelaki buat lawak pasal kahwin ramai, kebanyakan masa perempuan tak ingin pun nak gelak. Ko rasa kenapa? Dan apabila suami pun bergurau nak kahwin ramai, walaupun dia kata je dia bergurau, mesti isteri dia rasa insecure ataupun takut apabila suami bercakap begitu.
Merosakkan Imej
Sebab kedua adalah ia merosakkan imej lelaki Muslim. Bagi orang non-muslim, bila kita berterus-terus bergurau begini, diorang asyik-asyik dengar dan diorang akan nampak seolah-olah orang Islam ni memang jenis suka nak kahwin banyak.
Korang betul-betul rasa diorang akan bertambah respect ke kat orang Islam? Dengan dunia sekarang yang mana orang Islam dihentam dengan pelbagai salah faham, gurauan macam ni hanya akan menambah salah faham tersebut dan menjatuhkan imej Islam.
Sebab terakhir adalah tak perlu buat lawak berkenaan Sunnah. Ulama ada dua pendapat tentang poligami (satu kata Sunnah, satu kata dibolehkan tapi bukan Sunnah). Kalau kita ambil pendapat pertama dan kita katakan poligami tu Sunnah, elokkah kita buat lawak berkenaan Sunnah.
Jom kita ambil contoh 6 Sunnah-sunnah utama Rasullah yang lain seperti tahajjud, membaca Al-Quran setiap hari, berzikir selepas Solat, menjaga Solat Dhuha, menjaga wudhuk dan bersugi. Jika ada orang buat lawak berkenaan Sunnah-sunnah tersebut, adakah korang akan turut gelak? Jika tidak, mengapa kita tiba-tiba rasa okay untuk buat lawak tentang Sunnah Poligami?
Perlu aku tekankan di sini yang aku bukanlah seorang yang menentang poligami. Tidak sama sekali. Post ini khas untuk yang suka bergurau untuk kahwin ramai. Bukan tujuan aku membincangkan pro dan kontra poligami secara mendalam. Yang tu kena bincang dalam post yang lain.
Sebagai pengakhiran, aku ucapkan tahniah kepada yang sudi membaca, dan aku sampaikan sesuatu yang aku tulis lama dahulu. Tak perlu terasa kerana ini bukan untuk semua.
Sudah diberi rusuk kirinya, Belum pun lama, hilang seleranya, Ingin ditambah rusuk kedua, Hati ini, mahu mengikut Sunnah tekannya, Memetik mencabik Sunnah, ditambah sesedap rasa, Saat ditanya, saat dicabar, ditegakkan jua, Ilmu hampir tiada, ego mu meninggi mencakar, Sunnah ini usah dicabar, Nanti terbakar.
Ps: aku seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri dan anak. Alhamdulillah.
Kredit foto: SWEETPICTURES KL
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon Eyka Farhana, yang terkenal dengan bakat lakonannya, baru-baru ini berkongsi berita gembira mengenai perancangan perkahwinannya dengan tunangnya, Akhyar Rashid, seorang pemain bola sepak kebangsaan.
Eyka Farhana Rancang Nikah Depan
Menurut Eyka, mereka merancang untuk melangsungkan pernikahan pada tahun depan, walaupun belum bersedia untuk mendedahkan tarikh sebenar.
Eyka berharap segala urusan perkahwinannya nanti dipermudahkan oleh Allah. “Insya-Allah, tahun depan. Doakan yang baik-baik untuk saya dan semoga dipermudahkan urusan sampai ke hari perkahwinan,” katanya penuh harapan.
Eyka juga meluahkan rasa syukur dan gembira selepas mengikat tali pertunangan dengan Akhyar pada 4 Ogos lalu. “Alhamdulillah, rasa lebih tenang dan sudah tentu saya gembira. Apapun doakan saya,” tambah pelakon berusia 29 tahun itu.
Rahsiakan 3 Bulan
Sebelum ini, Eyka memilih untuk merahsiakan status pertunangannya selama tiga bulan, dan baru-baru ini dia mendedahkan berita tersebut kepada umum.
Walaupun sebelum ini Eyka sering menutup rapat mengenai kehidupan peribadinya, dia mula berkongsi kisah cinta dengan Akhyar kepada pengikutnya sejak 2020.
Hubungan mereka, yang bermula secara tertutup, kini semakin terbuka dan semakin menjadi perhatian ramai. Keduanya kelihatan saling mendalami dan menyokong satu sama lain, baik dalam kerjaya mahupun kehidupan peribadi.
Kini, dengan perancangan perkahwinan yang semakin hampir, Eyka dan Akhyar pastinya menjalani proses persiapan yang penuh bermakna. Peminat pasangan ini tentunya tidak sabar untuk melihat mereka melangkah ke alam perkahwinan, dan berharap segala urusan mereka dipermudahkan hingga ke hari bahagia itu.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!