Sebuah perkahwinan yang bahagia ialah apabila suami dan isteri saling berkongsi rasa kasih sayang mereka dalam rumah tangga. Sama ada ia diucapkan dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan . Ia jelas menunjukkan betapa pentingnya si dia dalam hidup anda. Inilah tujuh tanda yang menunjukkan bahawa suami anda bahagia.
1.Sering menghubungi
Bila dia keluar untuk urusan perniagaan, dia akan menelefon setiap hari untuk menyatakan kerinduannya kepada anda. Seorang suami yang bahagia dalam perkahwinannya benar-benar merasa kehilangan isterinya bila dia berjauhan. Dia ingin berada dekat dengan anda. Dia tak sabar untuk pulang dan bertemu anda lagi. Dia mengucapkan kata-kata penuh sayang di telefon dengan tulus. Dia 100 peratus setia kepada anda.
2.”Aku sayang kamu”
Setiap hari dia mengucapkan “aku sayang kamu,” begitu juga anda. Anda berdua tidak pernah bosan menyatakannya. Dia tidak seperti suami lain yang isterinya mengeluh sesudah berkahwin beberapa tahun, “ Awak tidak pernah sebut cintakan saya,” lalu si suami menjawab, “Kan sudah saya katakan semasa kita menikah, jika keadaan berubah, saya akan memberitahu awak.” Ini bukan caranya seorang suami yang bahagia. Dia menyatakan cintanya kerana ingin anda tahu hal ini setiap hari. Dia mengatakannya kerana dia merasakannya dalam lubuk hatinya. Dan dia tahu anda ingin mendengar dia mengucapkan perasaan cintanya.
3.Dia suka melihat anda pulang kerja
Dia senang melihat anda pulang ke rumah dan menyatakan itu dengan ciuman, pelukan atau sekadar percakapan yang menunjukkan perhatiannya.
4. Suka membantu
Dia ringan tulang untuk membantu kerja rumah. Dia ingin meringankan beban anda dan melakukan tugasnya, bahkan lebih dari itu jika anda kurang sihat. Dia rela buat semuanya untuk membuat rumah selesa. Dia memahami bahawa membesarkan anak bukan hanya tugas anda saja; ini tanggung jawab bersama. Dan dia tidak keberatan kerana dia mencintai anda serta anak-anak. Dengan kata lain, dia ringan tulang dalam membuat rumah menyenangkan bagi keluarganya.
5.Pujian
Dia memuji anda. Dia memandang anda dan melihat apa yang anda lakukan. Dia menaruh perhatian. Anda sering melihat dia memerhatikan anda. Dia terpesona dengan anda dan tidak pernah bosan memandang anda. Dia menganggap anda cantik, tidak peduli walaupun tubuh anda sudah berubah. Dia tidak melihat kekurangan kerana dibutakan oleh cintanya.
6.Menghibur
Dia memeluk anda bila anda menangis. Bila sakit hati dan rasa kecewa membuat air mata anda menitis, dia akan bersedia menjadi tempat curahan hati. Dia akan berusaha sebaik mungkin memahami apa yang anda alami. Dia tidak akan selalu sempurna dalam hal ini, namun dia berusaha menghibur anda pada masa yang sukar.
7.Saling terbuka
Dia akan berkongsi apa jua cerita sama ada suka dan duka bersama Anda. Bila dia bersedia membuka hatinya dan memberi tahu anda tentang perancangan serta harapan bagi kariernya, dia tahu bahawa anda peduli dan mendengarnya baik-baik. Dia tahu anda akan selalu memberinya dorongan. Dia juga tahu cintanya terhadap anda cukup dalam sehingga anda akan faham dan ingin tahu tentang kekecewaannya. Seorang lelaki yang bahagia dalam perkahwinan akan memiliki keyakinan tentang ini.
Untuk suami yang membaca artikel ini, buatlah catatan. Jika anda belum melakukan hal-hal di atas, bertindaklah segera dengan menjadikan isteri anda sebagai keutamaan. Belum terlambat untuk memupuk kebahagiaan dalam rumah tangga anda.
Buat isteri pula, nikmatilah kebaikan yang dilimpahkan oleh suami anda. Juga jadikanlah dia yang utama. Semoga kebahagiaan sentiasa bersama anda berdua.
Sumber : 7 signs your husband is happily married tulisan Gary dan Joy Lundberg.