Bolehkah seorang isteri memperbetulkan bacaan surah suami di dalam solat. Contohnya ketika suami terlupa hafalan. Jika boleh, bagaimana caranya?
.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Menegur kesalahan imam dalam solat Jemaah telah disyariatkan melalui sabda Rasullah SAW:
التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ
Maksudnya: Bertasbih itu untuk lelaki, menepuk pula untuk wanita.
Sahih al-Bukhari (1203), Sunan Abi Daud (939) dan Sunan al-Nasa’ie (1210)
Para ulama juga bersepakat bahawa ma’mum perlu menegur dan membetulkan imam jika dia tersalah atau terlupa pada bacaan al-Qur’an atau pada perbuatan-perbuatan solat yang lain. (Rujuk Al-Taj wa al-Iklil 2/27, Mathalib Uli al-Nuha 1/485 dan Nail al-Authar 2/373)
Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan tegahan tasbih (menyebut Subhanallah secara kuat) oleh wanita adalah kerana mereka disuruh untuk merendahkan suara dalam solat untuk mengelakkan fitnah, manakala lelaki ditegah daripada menepuk kerana ia lebih sinonim dengan wanita. (Rujuk Fath al-Bari 3/77)
Menurut Ibn Abd al-Barr pula, beliau menukilkan pandangan sebahagian ahli ilmu yang menyatakan bahawa sebab makruhnya tasbih oleh wanita, dan keharusan menepuk untuk menegur imam adalah kerana kelembutan suara kebanyakan wanita dan mungkin ia akan mengganggu konsentrasi jemaah lelaki. (Rujuk Al-Tamhid lima fi al-Muwatta’ min al-Ma’ani wa al-Asanid
21/108)
.
Menurut Imam al-Zarkasyi pula, menepuk untuk menegur imam adalah dalam keadaan wujudnya lelaki-lelaki ajnabi; adapun jika jemaah solat dan imam terdiri daripada wanita atau lelaki-lelaki mahram, maka hendaklah mereka bertasbih secara jahar (kuat dan terang). (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/418)
Inilah juga fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Nuh ‘Ali Salman dan Syeikh Abdullah bin Baz, dimana harus bagi wanita menegur imam juga yang hadir hanyalah suami, wanita atau lelaki-lelaki mahram. Bahkan Syeikh Ibn Baz mengharuskan wanita menegur imam dalam solat jemaah jika sekiranya tiada lelaki yang berbuat demikian. Suara wanita bukanlah aurat, dan aurat hanyalah jika melembut-lembutkan dan melayukan suara, dan inilah yang dilarang.
Kesimpulannya, kami memilih pandangan yang mengharuskan wanita menegur imam secara bertasbih jika imam tersalah atau membetulkan bacaan imam jika terlupa, dengan syarat jika dia solat bersama suami, lelaki mahram atau sesama wanita. Namun yang lebih afdhal ialah menegur dengan cara menepuk.
Adapun jika solat jemaah bersama lelaki ajnabi, maka dia dilarang menegur secara tasbih, dan hendaklah dia menegur secara menepuk sahaja.
SUMBER : https://muftiwp.gov.my/