Jika Pihak Lelaki Berkemampuan, Hantaran Mahal Tidaklah Jadi Masalah

Share

Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?

Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan dari al-Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah SWT. yang bermaksud : ” Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. ( Surah An-Nisaa’ ayat 4 )

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi .” ( Hadis Riwayat Bukhari )

Dari hadis di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu baginda bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat al-Quran, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Nabi SAW pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: ” Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Hadis Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: “Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Hadis Riwayat Ahmad )

Mas kahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa kebenaran anak perempuan yang berkahwin.

Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu ringgit Malaysia adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.

Jika hantaran tidak terlalu tinggi dan bersesuaian dengan keadaan semasa dan pihak lelaki berkemampuan membayarnya tidaklah menjadi satu kesalahan dan ianya diharuskan.

Published by
Kim