Berikut adalah beberapa prinsip-prinsip Islam, kedua-duanya umum dan spesifik, untuk dipertimbangkan sekiranya anda akan bertemu atau mencari pasangan yang berpotensi untuk diri sendiri atau orang lain di dalam mana-mana persidangan, kuliah, masjid atau acara-acara lain. Semoga kita dipertemukan jodoh yang baik-baik.
.
1. Tanya Diri Anda: Kenapa saya berkahwin
Ini adalah satu soalan yang amat baik untuk ditanyakan sekiranya anda menemui seseorang dengan tujuan untuk membuat keputusan berkahwin, kerana ia akan menjadi peringatan tentang tujuan sebenar sesuatu perkahwinan itu daripada perspektif Islam.
Perkahwinan adalah sebahagian daripada iman dan ia adalah sebahagian daripada sunnah Nabi Muhammad SAW.
Juga, “niat saya haruslah saya sedang mencari seseorang yang mana dengan dia saya akan membina sebuah keluarga,” kata Imam Muhammad Nur Abdullah, ahli Majlis Fiqh Amerika Utara. Beliau telah menjalankan kaunseling pra-perkahwinan di Amerika Syarikat selama dua dekad.
“Perkahwinan adalah satu komitmen dan hubungan yang bermula di dalam Dunya (dunia) ini dan akan berterusan Insya Allah di dalam syurga bersama-sama,” tambah beliau.
2. Tanya Diri Anda: Apa yang saya cari dalam pasangan
Dari Abu Hurairah r.a : Nabi SAW bersabda,
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah kerana agamanya, maka engkau akan beruntung dan bahagia.”
(Bukhari, Muslim)
Hal ini sudah tentu tertakluk kepada golongan wanita juga. Walau bagaimanapun, agama seolah-olah bukan keutamaan dalam pemikiran ramai orang. Malahan, ia mungkin faktor terakhir dalam senarai untuk kebanyakan orang Islam.
Menurut Tasneem Qadeer, salah seorang daripada tujuh sukarelawan yang menguruskan hal perkahwinan di Persatuan Islam Amerika Utara, menjadi seorang doktor atau peguam adalah lebih penting untuk kebanyakan wanita berbanding bertakwa.
Golongan lelaki juga lebih kurang sama. Kebanyakan iklan-iklan mencari isteri di dalam makalah Islam contohnya, memaparkan permintaan utama untuk isteri adalah yang “berkulit cerah, langsing dan cantik”. “Jika kita menginginkan keluarga Islam yang bahagia, maka Deen (pegangan agama) harus menjadi keutamaan,” kata Nadir Aneesah, Presiden Persatuan Perkhidmatan Masyarakat Islam di Amerika Syarikat dan Kanada.
Beliau adalah salah seorang daripada pemaju bersama program “Perkahwinan Melalui Jalan Islam”, yang mengajar pelbagai aspek perkahwinan seperti bagaimana untuk mencari pasangan hidup, berkahwinan dan hubungan selepas berkahwinan.
3. Jika anda sedang mencari pasangan hidup, sekat (kawal) pandangan anda
Ini mungkin kedengarannya agak bercanggahan, namun sebenarnya tidak. Mencari pasangan yang memiliki kualiti yang baik dan yang menarik secara fizikalnya tidak bermakna harus membuang kewajipan dengan menyekat pandangan kedua-dua jantina.
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Quran 24:30).
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”
(Quran 24:31).
Mencari-cari pasangan dengan keluar daripada perspektif ini, tidak akan diterima oleh Islam. Imam Nur Abdullah mencatatkan bahawa melihat pasangan yang berpotensi adalah disyorkan, menurut Hadis di mana Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu melamar seorang wanita dalam perkahwinan, jika dia mampu melihat apa yang akan mendorong dia untuk mengawininya, maka hendaklah ia berbuat demikian. … “
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan perawi-perawi yang dapat dipercaya. Hadis shahih menurut Hakim).Ini bermakna kedua-dua pasangan yang berpotensi boleh melihat antara satu sama lain tetapi bukan dengan pandangan bernafsu atau renungan tajam. Abdullah juga menyatakan tidak ada had kepada berapa kali kedua-dua orang ini boleh melihat satu sama lain.
Walau bagaimanapun, kedua-dua harus takut kepada Allah dan ingat tujuan ini (berpandangan) adalah untuk memenuhi keperluan untuk melihat tarikan fizikal yang dimiliki oleh orang yang ingin dikahwini. Beliau juga menyatakan adalah tidak dibenarkan bagi seorang lelaki untuk melihat isteri yang berpotensi tanpa Hijab, kerana dia bukan Mahram si wanita (saudara si wanita dimana perkahwinan tidak mungkin berlaku, atau suaminya). Abdullah mengatakan sekadar melihat muka dan tangannya sudah cukup untuk menentukan ciri-ciri menarik yang ada padanya.
.
4. Dapatkan seseorang untuk membantu
Perkahwinan bukanlah sesuatu yang harus anda uruskan semuanya sendiri. Mendapatkan bantuan daripada orang lain, terutamanya ibu bapa, saudara-mara, Imam, dan/atau ahli masyarakat Islam yang dihormati dan dipercayai, untuk mencari pasangan hidup yang tepat atau memulakan dan melibatkan diri dalam proses komunikasi perkahwinan adalah sangat penting.
Melibatkan orang lain juga dapat mengesahkan andai orang yang anda minati itu adalah seorang yang baik, jujur dan menghormati orang lain. Orang/ Orang-orang ini kebiasaannya akan mencari rujukan (kenalan si calon), bertanyakan tentang karakter peribadi calon tadi dan tingkah lakunya, dan kebiasaannya ianya adalah untuk kepentingan anda secara amnya.
Orang ini haruslah seorang Muslim yang boleh dipercayai, kerana anda sedang mencari pasangan Muslim juga, dan tentunya anda inginkan mereka yang biasa dengan cara Islam dalam proses pencarian mereka. Bagi mereka yang dikurniakan ibu bapa beragama Islam, ingatlah mereka berkemungkinan adalah sekutu dan pembantu terbaik anda dalam mencari suami atau isteri yang terbaik untuk anda.
Mereka mengenali anda seumur hidup anda, dan sudah tentu mereka mengutamakan kepentingan anda. Walau bagaimanapun, ibu bapa mestilah berfikiran terbuka dan memberi perhatian kepada ciri-ciri yang anak-anak mereka ingin cari, dan jangan sesekali lupa unsur pemilihan.
Kerana di akhirnya nanti, anak mereka juga yang akan membuat keputusan muktamad. Mereka tidak boleh menjadi terlalu mendesak atau agresif, samada keatas anak mereka sendiri atau kepada orang yang dipilih oleh anak mereka. Seandainya ibu bapa, ahli keluarga yang lain, Imam atau anggota masyarakat terhormat tidak boleh didapatkan, anda boleh juga mencuba mencari suami atau isteri melalui perkhidmatan perkahwinan yang ditawarkan oleh beberapa pertubuhan Islam yang ada.
5. Sentiasa bertanya kepada rujukan anda
Ini juga adalah keadaan di mana “pihak ketiga” dapat membantu anda. Bukan saja mereka boleh menjadi rujukan atau sumber maklumat anda, mereka juga boleh menyemak rujukan bakal pasangan ini. Rujukan ini termasuklah Imam yang mengenali abang kepada bakal pasangan tersebut, kakak yang mengenali wanita yang bakal dikahwini, kawan rapat keluarga, ketua, rakan sekerja, dan/atau rakan perniagaan calon.
Satu nota mengenai kejujuran dan rujukan: orang yang anda tanyakan mungkin mengetahui sesuatu yang tidak begitu baik tentang bakal pasangan anda. Ingatkan mereka bahawa dari perspektif Islam, ini tidak dikategorikan sebagai mengumpat. Malah, dalam hal ingin membina rumahtangga, maklumat yang lengkap hendaklah diberikan mengenai seseorang individu tersebut, tak kira ianya baik mahupun buruk.