Kehidupan rumah tangga merupakan medan untuk kita suami isteri belajar lebih menghargai dan mensyukuri nikmat. Saat membina keluarga, kunci utama kebahagiaan haruslah dimulai dengan adanya rasa cinta.
Apabila kehidupan itu dibina dalam sebuah keluarga yang bahagia, pasti ia mampu memberi aura positif buat suami isteri. Berikut merupakan resipi mencapai sebuah keluarga bahagia yang dikongsikan oleh Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.
Pastikan suami isteri amalkan untuk kekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga.
1. PUJI
Setiap suami isteri haruslah saling memuji antara satu sama lain dalam setiap aspek kehidupan. Misalnya suami memuji masakan isteri atau isteri mengucapkan tanda terima kasih kepada suami atas pertolongan yang suami berikan.
2. PELUK
Suami isteri hendaklah saling berpelukan antara satu sama lain dengan lebih kerap setiap hari kerana setiap pelukan itu merupakan sentuhan dan belaian mesra yang penuh dengan kasih sayang. Pasti ia akan menghangatkan lagi rumah tangga yang dibina.
3. PENGHARGAAN
Semua suami isteri sukakan penghargaan. Oleh itu jadikan amalan memberi hadiah walaupun kecil kepada pasangan sebagai penambah kasih sayang dalam rumah tangga.
4. PERHATIAN
Sesebuah rumah tangga akan rasa lebih bahagia dengan adanya sikap prihatin dan sentiasa mengambil berat. Sekiranya kurang perhatian, ia boleh mengakibatkan pasangan rasa terabai.
5. PERSEFAHAMAN
Persefahaman antara suami isteri amat penting agar hubungan yang terjalin kekal harmoni. Kebahagiaan akan datang apabila setiap pasangan mempunyai sikap bertolak-ansur dan saling memahami kerjaya masing-masing.
6. PERGAULAN
Suami isteri mestilah menjaga batasan pergaulan dengan orang luar bagi mengelakkan pasangan rasa cemburu atau saling curiga yang akhirnya boleh membawa kepada pembabitan orang ketiga.
7. PERCUTIAN
Percutian sememangnya boleh mengeratkan lagi keharmonian dalam rumah tangga. Rancanglah percutian dengan pasangan ke tempat yang jauh daripada kesibukan rutin harian agar anda berdua dapat menikmati percutian yang menenangkan.
8. PERMOHONAN
Doa merupakan antara senjata mujarab bagi orang yang beriman. Oleh itu, berdoalah kepada Allah SWT agar merapatkan lagi kasih sayang sesama pasangan, selain mohon anda berdua dijauhkan daripada godaan kemewahan serta keseronokan dunia.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Tak Mampu Tak Perlulah Yang Mahal-Mahal. Ini Tips Jimat Majlis Kahwin!
Masuk bab penyediaan perkahwinan ni kalau tak plan dengan betul, mesti kita akan beli barang-barang yang tak diperlukan. Maka pembaziran mula berlaku.
Mungkin ramai yg bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat ni… disini saya cuma nak kongsikan sedikit sebanyak tips untuk jimat mengikut pendapat saya dan pasangan. ia sekadar renungan tentang apa yang kita panggil KEPERLUAN dan KEHENDAK di majlis perkahwinan kita.
1) PELAMIN
Tak perlu la nk yg mahal2 dan grand2… bukan saya kata tak boleh, silakan jika anda mampu… konsep dan tujuan pelamin sebenarnya adalah untuk bergambar, berapa lama kita guna pelamin? sejam? 4 atau 5 jam? berapa kos? 2000? 3000? kos pelamin yang saya gunakan untuk majlis kami RM600, tu pun kami rasa agak membazir… sbb xsempat pun nak guna untuk bergambar… 2000 habis dalam masa 5 jam? Nk kumpul?? Tak rase rugi ke?
2) JURUGAMBAR
Untuk majlis kami, saya buat keputusan untuk minta tolong abg ipar je… saya bagitaw… just snap the moment… xperlu nk kelas2… just snap… anda fikir… bila kita nk tgok balik gambar2 tu semua? pendapat saya dalam sebulan dua kawin nak la tgok… then? berhabuk dalam almari… bnyak pakej2 fotografi diluar sana yang menawarkan sampai ke harga 2k ke 3k?? bukan kata tak boleh… silakan jika anda mampu… pendapat saya… mintak tolong saja kawan2 yang pandai ambil gambar, bgla upah seratus dua untuk soft copy… simpan dalam CD dan savekan juga dalam GOOGLE DRIVE… settle… nk tgok balik bukak je laptop… nah… berapa bnyak da jimat…
3)BAJU PENGANTIN
Yang ni optional… sama konsep macam pelamin.. berapa lama anda nk pakai??? paling kuat untuk akad nikah 2jam…. pastu untuk bersanding 4 ke 5 jam… kos sewa baju? RM500??? tu pun yg agak murah…hmmm… apa yg kami buat… dgn RM500 tu, boleh beli saja baju yg dah siap… dah cukup cantik da… serius… anda pilih… anda habis RM500 dalam masa 6jam atau anda dapat guna lagi baju tu untuk ke majlis makan malam lepas ni? tapi kalau beli baju jgnla beli yg liplap2… cukup yg bersahaja…
dalam kes saya dan pasangan, baju akad nikah kami guna yang abg ipar dan kakak saya yang dulu… alter sikit2… dah… modal RM50 je… kan nak pakai 2jam je… pastu baju untuk bersanding, kami beli kain dan hantar pada tailor… upah pun tak berapa mahal sbb saya buat baju melayu biasa dan isteri saya buat baju yang simple… done… still habis RM500 tapi baju adalah milik kami… STILL… boleh je nak sewa yang harga 1000 pun kalau anda mampu…
4)KAD KAHWIN
Yang ni plak… ape tujuan kad kahwin? nk bg org tahu tarikh, tempat, no telefon dan siapa yg kahwin… betulkan? berapa lama diorang tgok? kejap je… pastu? diorang simpan wat kenangan tak? hampeh… kompem buang punye lepas majlis… jadi tak payah nak kad yang mahal2, wangi2, kaler bling2 bagai… buat yang murah2 je… janji maklumat sampai…
5)HANTARAN
Untuk hantaran pulak… letaklah atas par hantaran tu barang2 yang memang kita akan pakai dan… barang2 yang mengikut kemampuan kita… pedulikanlah apa kata orang… eh, murahnye, eh keciknye, eh besarnye, eh tak cantikla… mind set kene kuat.. kalau kita biasa pakai barang harga RM20, letak yg tula, STILL… kalau anda mampu… tak salah pun nk letak hand bag LV kat situ…
ini sekadar pendapat melalui pengalaman… Alhamdulillah.. majlis kami berjalan lancar walaupun sederhana… kalau korang semua mampu… silakan… tapi mampu tu jgnla sampai kene wat LOAN semata2 nk kawin… biarlah kita buatloan untuk harta… macam kereta, rumah… tapi kalau untuk kahwin… hmmm… saya kurang bersetuju…. ini pendapat sahaja… tak ikut takder masalah…
salam pengantin baru kepada yang bakal melangsungkan perkahwinan dari saya dan pasangan
Kredit : Faizal Khalik
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Elak Hebohkan 5 Perkara Ini Sebelum Majlis Bertunang
Apabila diri sudah dirisik pasti kita merasa teruja bakal ditunangkan. Pasti anda akan merasa excited, bukan? Tidak salah untuk merasa excited tetapi biarlah berpada-pada. Lebih-lebih lagi di zaman serba canggih ini, semua benda nak post di laman sosial kan.
Bila tibanya hari yang dinantikan, pasti kita merasa teruja dan mengambil banyak gambar. Yelah, untuk diabadikan dan menjadi kenangan.
Tak salah untuk merasa teruja. Tapi kadangkala ada perkara yang lebih elok dan manis untuk disimpan untuk tatapan sendiri sahaja. Tidak perlu memuat naik semuanya ke dalam laman media sosial anda.
Cuba tahan diri anda untuk tidak membuat posting 5 perkara ini sebelum berlangsungnya hari bahagia.
1) Foto cincin
Perkara pertama untuk melangsungkan majlis sudah pasti adalah cincin bagi pihak perempuan.
Namun, tidak perlulah anda memuat naik foto cincin ke laman sosial apatah lagi membuat caption harga cincin tersebut. Takut nanti orang mark anda RIAK!
2) Tarikh pertunangan
Sebaiknya biarlah tetamu yang diundang, kenalan dan keluarga sahaja tahu bilakah tarikh majlis anda. Tidak perlu diumumkan secara public.
Perkara ini adalah kerana ditakuti jika majlis tidak jadi, anda juga akan merasa malu dan tak larat nak menjawab macam-macam soalan.
3) Inform keluarga
Semasa majlis berlangsung, elakkan untuk membuat instagram live atau facebook live. Ditakuti ada ahli keuraga yang anda terlupa untuk jemput atau inform. Ini akan menyebabkan ada pihak yang akan terasa hati.
Lebih elok, maklumkan terlebih dahulu kepada ahli keluarga dalam group whatsapp dahulu sebelum berlangsungnya majlis.
4) Wang hantaran
Tolong rahsiakan jumlah wang hantaran anda. Kita tidak tahu hati orang. Kadang-kadang, disebabkan jumlah wang hantaran pun da mampu buat orang lain merasa dengki.
Ada juga mungkin merasa sedih apabila anda mendapat pasangan yang mampu memberi lebih berbanding dirinya. Jadi, berhati-hatilah!
5) Siapakah bakal pasangan anda
Elakkan kerap memuat naik posting bakal pasangan anda. Elakkan posting makan bersama, beli persiapan bersama, tengok wayang bersama.
Senang cerita, elakkan muat naik kemesraan bersama. Cukup ahli keluarga anda sahaja yang tahu.
Banyak keburukan dari baiknya. Nanti, bila dah sah dinikahkan, masa tu anda nak muat naik banyak gambar pun boleh.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
20 Amalan Ini Kalau Bakal Pengantin Buat, Rezeki Terus Mencurah Dan InsyaAllah Cepat Kaya
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya
Sumber: mohdherman
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI