Jom Amalkan 8 Resipi Kebahagiaan Rumah Tangga Ini, Gerenti Bersemut

Share

Kehidupan rumah tangga merupakan medan untuk kita suami isteri belajar lebih menghargai dan mensyukuri nikmat. Saat membina keluarga, kunci utama kebahagiaan haruslah dimulai dengan adanya rasa cinta.

Apabila kehidupan itu dibina dalam sebuah keluarga yang bahagia, pasti ia mampu memberi aura positif buat suami isteri. Berikut merupakan resipi mencapai sebuah keluarga bahagia yang dikongsikan oleh Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.

Pastikan suami isteri amalkan untuk kekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga.

1. PUJI

Setiap suami isteri haruslah saling memuji antara satu sama lain dalam setiap aspek kehidupan. Misalnya suami memuji masakan isteri atau isteri mengucapkan tanda terima kasih kepada suami atas pertolongan yang suami berikan.

2. PELUK

Suami isteri hendaklah saling berpelukan antara satu sama lain dengan lebih kerap setiap hari kerana setiap pelukan itu merupakan sentuhan dan belaian mesra yang penuh dengan kasih sayang. Pasti ia akan menghangatkan lagi rumah tangga yang dibina.

3. PENGHARGAAN

Semua suami isteri sukakan penghargaan. Oleh itu jadikan amalan memberi hadiah walaupun kecil kepada pasangan sebagai penambah kasih sayang dalam rumah tangga.

4. PERHATIAN

Sesebuah rumah tangga akan rasa lebih bahagia dengan adanya sikap prihatin dan sentiasa mengambil berat. Sekiranya kurang perhatian, ia boleh mengakibatkan pasangan rasa terabai.

5. PERSEFAHAMAN

Persefahaman antara suami isteri amat penting agar hubungan yang terjalin kekal harmoni. Kebahagiaan akan datang apabila setiap pasangan mempunyai sikap bertolak-ansur dan saling memahami kerjaya masing-masing.

6. PERGAULAN

Suami isteri mestilah menjaga batasan pergaulan dengan orang luar bagi mengelakkan pasangan rasa cemburu atau saling curiga yang akhirnya boleh membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7. PERCUTIAN

Percutian sememangnya boleh mengeratkan lagi keharmonian dalam rumah tangga. Rancanglah percutian dengan pasangan ke tempat yang jauh daripada kesibukan rutin harian agar anda berdua dapat menikmati percutian yang menenangkan.

8. PERMOHONAN

Doa merupakan antara senjata mujarab bagi orang yang beriman. Oleh itu, berdoalah kepada Allah SWT agar merapatkan lagi kasih sayang sesama pasangan, selain mohon anda berdua dijauhkan daripada godaan kemewahan serta keseronokan dunia.

Published by
Putri Adila