Sebenarnya ramai wanita dan lelaki yang inginkan perkahwinan mereka bertahan dan kekal hingga ke usia tua. Dan masing-masing ingin mencari pasangan yang ideal dengan harapan rumah tangga akan kekal harmoni dan bertahan sehingga ke hari tua. Tapi apa yang di maksudkan dengan pasangan ideal ini sebenarnya?
Menggalas Tanggungjawab Bersama
Untuk memiliki rumah tangga yang kukuh dan harmoni, penting untuk anda dan pasangan saling bertolak ansur dalam pelbagai aspek. Oleh itu pasangan yang dapat menggalas tanggungjawab bersama merupakan salah satu aspek pasangan yang ideal bagi memiliki perkahwinan yang harmoni dan kukuh. Pasangan yang memahami maksud tanggungjawab yang sebenar akan menghargai pasangannya dan perkahwinan mereka.
Berusaha Memberikan Yang Terbaik
Apabila mendirikan rumah tangga, ianya bukan sekadar menyediakan rumah, barang keperluan asas, memperberikan keperluan nafkah zahir dan batin sahaja, ianya lebih dari itu. Rumah tangga yang kekal utuh dan kukuh adalah apabila pasangan saling memberikan yang terbaik di dalam rumah tangga.Dan saling menghargai diantara satu sama yang lain barulah diri dan pasangan anda berasa puas serta akan membuatkan anda serta pasangan secara tidak langsung bersemangat dalam melakukan apa jua tugas dan tanggungjawab.
Bijak Memainkan Pelbagai Peranan
Apa yang dimaksudkan dengan bijak memainkan pelbagai peranan ini adalah apabila pasangan anda dapat memegang pelbagai peranan mengikut keperluan. Sebagai contoh, seorang suami kadang kala memegang peranan sebagai seorang ayah kepada isterinya apabila memberi nasihat dan sabar mendidik sang isteri. Selain itu, si suami juga dapat memegang peranan sebagai seorang sahabat kepada sang isteri dalam mendengar segala masalah dan luahan hati serta memberi sokongan moral sebagaimana seorang sahabat lakukan kepada sahabat baiknya.
Seleksi peranan yang berbeza mengikut keperluan dan perbezaan situasi, baik bagi suami mahupun isteri jika anda bijak memainkan peranan mengikut keperluan serta situasi, rumah tangga anda akan dipenuhi dengan warna warni dan rencah kehidupan yang harmoni dan menarik.
Kejujuran Dan Kesetiaan Berpisah Tiada
Selain itu, pasangan yang ideal adalah pasangan yang saling berkongsi segalanya, jujur dalam segala hal. Apabila berumah tangga segala perkara perlu digalas dan dikongsikan bersama justeru itu kejujuran perlu ada dan tiada istilah “hal awak adalah hal awak dan hal saya adalah hal saya” dalam kamus perkahwinan.Kerana apabila telah memasuki alam perkahwinan segalanya harus terbuka dan masing-masing harus belajar untuk jujur dan menerima segala kekurangan dan kelebihan pasangan.Tambahan lagi, hubungan perkahwinan haruslah disucikan dengan nilai kesetiaan agar hidup lebih gembira dan harmonis.
Saling Berusaha Membentuk Keperibadi Yang Baik
Menjadi pasangan yang ideal bukanlah satu perkara ynag mudah, ianya memerlukan kerja keras dan komitmen yang serius terhadap pasangan serta rumah tangga. Apabila di alam rumah tangga, penting untuk anda serta pasangan saling berusaha membentuk keperibadian yang baik. Sifat peribadi yang baik akan saling mempengaruhi kehidupan anda dan pasangan. Malah dengan memiliki keperibadian yang baik ia akan membuatkan hubungan anda dan pasangan diselubungi dengan aura yang positif dan persekitaran yang aman dan gembira. Lihat sahaja bagaimana orang-orang dahulu kala yang dapat mengekalkan perkahwinan mereka sehingga nyawa tiada lagi di badan. Ini kerana mereka saling memahami dan membentuk keperibadian yang kukuh.