Bila sebut tentang cuti sekolah, pasti terbayang lambakan jemputan walimah, nasi minyak, bunga telur dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi jika terlibat dengan kerja kenduri di kampung, meriahnya tak terbayangkan!
Sampaikan tak menang tangan untuk memenuhi kesemuanya, tak kira di bandar atau di desa.
Dalam suasana keterujaan maksima memenuhi jemputan walimah, jangan lupa – kita sebagai tetamu undangan walimah juga ada tanggungjawab yang harus dipraktik.
Yakni, dalam apa jua perkara yang kita lakukan sekalipun, jangan lupa untuk mengutamakan adab.
Begitu juga ketika menghadiri undangan walimah, ada adab-adab yang kita harus perhalusi agar kemurnian syariat bersulam budaya timur di kalangan generasi kita terjaga sebaiknya.
Adab #1
Apa saja yang kita buat, kita harus tetapkan niat dan matlamat. Dalam soal memenuhi undangan walimah, jangan lupa untuk pastikan niat kita lurus dan tulus.
Jika sebelum ini niat kita lebih kepada mengisi perut, sibuk berswafoto dengan pengantin atau melaram dengan fesyen terkini, apa kata jika selepas ini kita tajdid niat.
Ia juga sebagai tanda memuliakan tuan rumah untuk turut berkongsi kegembiraan yang sedang diraikan mereka.
Adab #2
Bila kenduri, kita akan lihat 1001 warna-warni tetamu yang hadir dari hujung rambut atau hujung benang tudung hinggalah ke hujung kasut.
Tak salah melaram, namun ada had-had yang perlu kita patuhi sebagai Muslim.
Buat lelaki mahupun perempuan, berfesyen retro atau millennium sekalipun, dengan segala hormatnya sila pastikan busana yang dikenakan itu sopan, longgar dan menutup aurat.
Dalam erti kata lain, pilihlah busana yang patuh syariah kerana itu anjuran yang sebaiknya dalam Islam.
Adab #3
Sebaik sahaja sepasang kaki kita menjejak tempat kenduri, INGAT – jangan gopoh lagi gelojoh mengaut nasi minyak lauk ayam masak merah bagai esok tiada lagi untukmu.
Sebaiknya, cuba jejaki di mana tuan rumah untuk bersalaman, lalu bermesra seadanya.
Jika tetamu ramai berbaris untuk bersalaman dengan tuan rumah, kita pula tak perlu berlama-lama. Cukup sekadar berbasa-basi seketika.
Ads
Adab #4
Makan. Ini merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh para hadirin. Tak sah datang tanpa menjamah juadah.
Ini bukan baru berlaku malah tabiat buruk ini seakan diwarisi zaman-berzaman di ceruk rantau mana sekalipun.
Maka, tanggungjawab kita sebagai tetamu yang budiman untuk mengambil lauk-pauk sekadar perlu dan mampu dikunyah.
Jangan bila tengok 10 jenis lauk terhidang, 10 jenis juga kita rembat.
Fikirkanlah ramai lagi tetamu beratur mengambil juadah, alih-alih lauk lesap sekelip mata akibat nafsu tamak sebahagian daripada kita.
Cubalah untuk bersederhana. Jangan biarkan syaitan bersorak sambil berzumba melihat pembaziran demi pembaziran.
Kita datang sebagai tetamu untuk menjamu selera bukan melahap dan akhirnya tersandar bagai ular sawa kekenyangan.
Membazir itu amalan syaitan. Kita bukan kawan syaitan kan?
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa : 27)
Adab #5
Terkadang mata kita terdorong untuk mencari cacat cela majlis. Lisan pula terlepas cerita kekurangan dan keburukan majlis.
Ads
Terkadang lauk-pauk terkurang rasa, tak kena selera. Terkadang kita condemn warna pelamin tak sepadan busana pengantin, terkadang tuan rumah tak sediakan goodies – kita label kedekut haji bakhil.
Ada saja yang tak kena di mata. Siap pakat bergosip dengan ‘geng bawang’, kemudian tularkan pula di media sosial.
Kalau diikutkan, tuan rumah mana yang tidak impikan perjalanan majlisnya lancar lagi sempurna sesuai dengan perancangan.
Jadi, tak perlulah mengata majlis orang. Tak perlu susah-susah lakar carta banding beza majlis A dan majlis B. Tak perlu tularkan di media sosial segala cela itu ini.
Beruntung dan bersyukurlah tuan rumah masih ingat kita dan jemput ke majlisnya.
What goes around will comes around. Hari ini kita mengutuk majlis orang, majlis kita esok lusa belum tentu lagi.
Adab #6
Selalunya kita menerima undangan, namun kita tak tahu suasana dan atur cara majlis tersebut. Bila sudah tiba di majlis, baru kita sedari banyak perkara mungkar berlaku di dalamnya.
Tak perlulah kita curi-curi ambil gambar kemungkaran itu, tularkan di media sosial sambil berlagak holier-than-thou. Tak perlu itu semua.
Cara terbaik, minta izinlah untuk berundur diri daripada tuan rumah dan berikan alasan berhemah tanpa mengecilkan hati mereka.
Adab #7
Bila sudah habis makan sehingga menjilat jari, dan kau lihat para tetamu terkial-kial mencari seat kosong sambil memimpin anak, sebelah tangan pula memegang pinggan nasi – apakah maksudnya?
Tak lain tak bukan, kau harus segerakan urusan, tak perlu berlama-lamaan sampai dua tiga kali sendawa.
Ads
Jangan buat-buat tak faham, para tetamu datang berpusu-pusu, maka kita seharusnya peka dengan situasi itu.
Lebih molek lagi jika kita tolong buang sisa makanan di tempat pembuangan, kemudian susun ke tepi.
Petugas kenduri memang ada, tapi tak salah kalau kita ringankan tulang mempercepatkan dan mempermudahkan urusan semua pihak.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim, lihat juga hadis ke-36, Hadis Arba’in An-Nawawi)
Adab #8
Memberi hadiah perkahwinan buat pasangan mempelai sudah lama menjadi tradisi di kalangan masyarakat kita.
Malah jika tiada hadiah, tradisi ‘salam-kaut’ juga menjadi amalan biasa di kalangan kita. Kedua-dua tradisi ini tiada kaitan langsung dalam tuntutan agama Islam namun ia sudah menjadi budaya zaman berzaman.
Meski tuan rumah tidak pernah meminta hadiah, apa lagi menetapkan jumlah, anggaplah ianya sebagai sagu hati seikhlas kita tanda meraikan kegembiraan dan penghargaan di hari bahagia mereka.
Jika tiada, cukuplah doa buat pasangan pengantin dan ucapan terima kasih buat tuan rumah.
Bukankah menggembirakan orang lain juga termasuk satu sunnah?
Sabda Rasulullah s.a.w., “Pekerjaan yang paling dicintai Allah adalah menggembirakan seorang Muslim.” (Hadis Riwayat Thabrani, Mu’jam al-Kabir (no. 13646))
Penutup
Ini hanya merupakan sebahagian kecil adab-adab menghadiri undangan yang terkadang terlepas pandang.
Banyak aspek lagi yang harus dititikberatkan, bukan untuk menyusahkan bahkan ia mencerminkan keperibadian sejati seorang Muslim beridentitikan budaya timur.
Apa yang biasa, betulkan. Apa yang betul, biasakan.
Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.
Sumber : Iluvislam
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Mustahil tiada langsung perselisihan faham berlaku di dalam rumah tangga. Perkara ini merupakan situasi yang tidak boleh dielakkan lagi.
Jadi, apa kata daripada membiarkan setiap sesi pergaduhan menjadi berlarutan, tetapkan peraturan yang dipersetujui bersama pasangan. Ini bagi menjamin anda dan pasangan masih berada dalam keadaan terkawal walaupun dalam situasi yang tegang.
1. Jangan Bergaduh Di Khalayak Ramai Terutama Di Depan Anak
Bergaduh di hadapan orang lain hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, masing-masing akan berebut-rebut untuk menang berbanding mencari jalan untuk menyelesaikannya. Perlu diingat, jangan sesekali ‘berperang’ di hadapan anak-anak, kerana ini akan memberi impak negatif kepada mereka sehingga besar.
2. Jangan Bergaduh Melalui Telefon
Ini termasuk melalui aplikasi teks seperti whatsapp dan sebagainya. Ini kerana maksud yang ingin di sampaikan itu di salah erti. Sedikit salah faham sahaja mampu mencetuskan pergaduhan yang lebih serius. Lebih baik perselisihan faham diselesaikan secara face-to-face. Anda tidak hanya boleh menilai keikhlasan melalui kata-kata sahaja tanpa melihat perkara lain seperti nada suara, bahasa tubuh dan ekspresi muka pasangan.
3. Jangan Tidur Dalam Keadaan Marah. Tetap Tidur Di Atas Katil Yang Sama
Seboleh-bolehnya cuba selesaikan perang anda dan pasangan sebelum masuk tidur. Tidur dalam keadaan marah menandakan tiada penyelesaian kepada perselisihan anda, seterusnya akan memanjangkan tempoh perang tersebut sehingga esok hari dan hari-hari berikutnya. Jadikan katil tempat anda berdua beradu sebagai ‘fight free zone’. Sebesar mana pun perselisihan faham di antara anda berdua, anda akan tetap tidur bersama.
4. Ambil Masa Untuk ‘Cooling Off’
Masa bertenang membolehkan anda dan pasangan berfikir dengan waras dan rasional. Perkara ini boleh mengelakkan terjadinya perbalahan dengan nada suara yang tinggi seperti terjerit-jerit dan menengking. Anda berdua akan lebih cepat menyelesaikan perselisihan dalam keadaan bertenang dan rasional.
5. Jangan Kongsi Cerita Gaduh Anda Dengan Ibu, BFF Mahupun Di Media Sosial
Meluahkan atau menceritakan hal selisih faham anda kepada orang lain bukanlah jalan menyelesaikan masalah, lebih-lebih lagi dengan meluahkannya di laman sosial. Tanya diri sendiri, apakah tujuan anda berbuat demikian, mahu si dia kelihatan jahat dan anda baik?. Secara realitinya anda bukan sahaja tidak menghormati pasangan, malah membuka aibnya kepada orang lain.
6. Jangan Menjerit-Jerit Atau Mengeluarkan Kata-Kata Kesat
Semasa berada di dalam keadaan marah, kita sememangnya cenderung untuk mengeluarkan kata-kata kesat, namun anda sendiri tidak suka jika pasangan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anda bukan? Menjerit-jerit dan mencaci maki mungkin memberikan anda rasa puas, namun untuk seketika sahaja. Pernahkah anda terfikir jika cacian anda itu menjadi satu doa buat pasangan?
7. Cari Jalan Penyelesaian
Semasa berada dalam situasi tegang tersebut, anda seharusnya sentiasa ingat matlamat utama adalah untuk mencari jalan penyelesaian. Jangan sesekali fokus tentang salah siapa perkara ini terjadi. Anda perlu membuat keputusan tepat untuk bangkit daripada kekecewaan dan kemarahan untuk mencari cinta dan kekuatan.
Jadi, tetapkanlah ‘Peraturan Gaduh Aman’ anda bersama pasangan dan paling penting pastikan masing-masing mematuhi peraturan ini. Kalau perlu, tambah peraturan baru dari masa ke semasa.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam kehidupan berumahtangga, usahlah masing-masing memandang tanggungjawab yang dilakukan sebagai “kerja” atau “beban” yang terpaksa dilakukan kepada pasangan masing-masing. Setiap peranan itu, lakukan dengan ikhlas bukan secara paksa rela, barulah keberkatan dirasai oleh pasangan.
Pandangan seperti ini akan menyebabkan masing-masing mudah kehilangan motivasi untuk berbuat baik kepada pasangannya.
Bahkan masing-masing akan berkira “Saya dah buat ini, dia tak buat itu pun” atau “Saya dah buat macam-macam, dia dah buat apa?”
Sebaliknya hendaklah suami dan isteri memandang peranan masing-masing sebagai satu amal soleh di sisi Allah.
Suami yang soleh kepada isterinya akan mendapat ganjaran syurga di sisi Allah sementara isteri yang soleh kepada suaminya akan mendapat ganjaran syurga di sisi Allah. Masing-masing berlumba-lumba untuk beramal soleh dalam berperanan sebagai suami dan isteri.
Berdasarkan pandangan yang positif seperti ini, akan tertegaklah sebuah rumah tangga yang bahagia.
Bahagia kepada suami, bahagia kepada isteri dan bahagia kepada anak-anak. Lebih penting, bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apakah hukumnya jika seseorang ibu itu menyusukan anak sehingga terlepas waktu solat, dan pada ketika itu ibu tersebut hanya berseorangan dengan anaknya dan anak tersebut tidak mahu melepaskan susu ibunya.
Jawapan:
Para ulama meletakkan 6 jenis keadaan seseorang itu tidak berdosa melewatkan solat melepasi waktunya:
Tidur, jika tidur sebelum waktu solat.
Lupa
Jamak solat.
Paksaan
Takut terlepas waktu wuquf di Arafah.
Menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa.
Rujuk Taqrirat al-Sadidah (hlm. 190-191)
Pengecualian ini diambil kefahaman daripada hadis Nabi SAW:
Maksudnya: “Tiga golongan orang yang tidak akan dicatat (yakni terbebas dari beban kewajiban): orang tidur sehingga ia bangun, anak kecil sampai ia dewasa, dan orang gila sampai ia waras.”
Riwayat al-Tirmizi (1423)
Seterusnya, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah memaafkan untukku daripada umatku akan perkara yang dilakukan dengan tersilap, perkara yang dilakukan dengan terlupa dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Kami memahami dilema yang berlaku kepada ibu tersebut. Kebiasaannya, bayi akan meronta-ronta dan menangis apabila dilepaskan daripada susu ibunya tanpa kemahuannya. Dalam keadaan tertentu, anak itu mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya apabila bergerak seperti jatuh katil dan sebagainya apabila ingin mencari ibunya.
Menjawab soalan di atas, kami jawab dengan dua situasi.
Sekiranya anak itu jika dibiarkan, hanya menangis sahaja tanpa dikhuatiri akan mendedahkan dirinya kepada bahaya, maka wajib bagi ibu tersebut untuk solat fardu pada waktunya. Harus bagi ibu itu untuk meringkaskan solat dengan meraikan rukun yang wajib sahaja jika ditakuti berpanjangan solatnya akan menyebabkan mudarat bagi anaknya. Kami nasihat ibu itu perlu kreatif untuk meletakkan anaknya di tempat yang selamat semasa dia menunaikan solat fardu seperti di dalam katil bayi yang berpagar dan di dalam bilik yang selamat. Sekiranya anak itu diletakkan di sebelahnya, ketika solat anak itu menghampiri:
Jika anak itu tidak diyakini menanggung najis, seperti tidak zahir najis atau bau, harus mendokong anak itu atau menanggungnya.
Jika anak itu diyakini menanggung najis, maka tidak batal hanya kerana bersentuhan dengan anak itu. Adapun jika mendokong, mengangkat atau menggenggam tangannya, maka itu dianggap menanggung najis dan membatalkan solat.
Sekiranya anak itu jika dibiarkan akan mengakibatkan kebinasaan yang spontan, seperti ketika berada di tebing bukit yang tinggi atau di atas sampan, maka harus bagi ibu tersebut melewatkan solatnya walaupun habis waktu. Ini kerana hal ini dianggap darurat.
Kami menasihatkan agar para ibu tidak mencuaikan tanggungjawab mereka untuk menunaikan solat sekalipun kasihan melihat anak yang menangis. InsyaAllah Allah SWT akan bantu kita apabila kita bersungguh menunaikan perintah-Nya. Begitu juga para suami wajiblah membantu isteri untuk memenuhi tanggungjawab dirnya kepada Pencipta-Nya dengan memberi pendidikan agama yang sempurna dengan penyampaian yang tepat, berhikmah dan bersabar. Jangan menyindir-nyindir kejahilan isteri kerana itu hanya membawa kepada fitnah yang lebih besar pada agamanya. Hendaklah pasangan suami isteri itu saling menolong agar impian Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) itu dapat direalisasi dalam keredhaan Allah Azza wa Jalla.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!