CINTA & NAFSU, BEZAKAN DEMI MENDAPAT TEMAN HIDUP SEJATI

Cinta bersifat subjektif. Yang pastinya semua insan pernah mencintai mahupun dicintai. Tidak kiralah sama ada cintanya sesama manusia, haiwan, alam sekitar, mahupun Tuhan. Manakala nafsu pula boleh dikatakan satu perasaan dalaman yang adakalanya sukar untuk ditahan atau dibendun. Ini kerana ia melibatkan keinginan yang melibatkan fizikal. Namun, jangan anda terkejut, sentiasa wujud kekeliruan di mana kita kadang-kala sukar untuk membezakan yang mana satu CINTA dan yang mana satu NAFSU. Dan akibat timbulnya kekeliruan ini, sehingga ke hari ini kes-kes khalwat banyak dilaporkan di media-media sehingga melibatkan kelahiran anak luar nikah serta gejala sosial lain. Bagaimanakah cara untuk kita membezakannya?

1) CINTA itu membahagiakan, NAFSU pula membahayakan

 

Cinta sejati yang lahir dari hati suci pastinya akan menunjukkan jalan ke arah kebahagiaaan terutama sekali bagi mereka yang menjalaninya. Bagi yang betul-betul memahami cinta, mereka pasti akan merasai nikmat kebahagiaan apabila berada di sisi pasangan. Berbeza pula dengan nafsu, kerap kali nafsu itu disalahertikan dan menganggapnya ia cinta. Akibat dari itu, nafsu itulah yang akan membuahkan keinginan yang meluap dan boleh mendatangkan bahaya dalam perhubungan. Cinta dan nafsu berada dalam dua sisi berbeza. Cinta bersifat positif, manakala nafsu pula bersikap negatif. Seseorang yang betul-betul mencintai pasangannya akan sentiasa menjaga dan menyayangi. Lain pula dengan nafsu, ia lebih bersifat peribadi dan kadang-kala tidak dapat ditahan dan tanpa disedari ia akan terjerumus ke landasan nafsu yang melibatkan fizikal (seks) semata-mata.

 

 

2) CINTA mampu buat kita ketawa, NAFSU pula buat kita kecewa

 

Apabila cinta mekar di hati, semuanya indah belaka. Itu lah nikmat cinta yang tiada pada nafsu. Cinta akan sentiasa membuatkan kita merasakan cukup bahagia apabila di samping pasangan dan seolah-olah memberikan kita satu nikmat yang tidak terkata.

IKLAN

 

Kita boleh tersenyum apabila cinta mula menular ke dalam jiwa. Namun, apabila cinta disalahertikan kepada nafsu, perasaan membuak-buak sehingga membuatkan kita tidak senang hati. Jiwa kita akan bergolak dan akhirnya perasaan kita tidak mampu lagi dikawal, dan seterusnya berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini. Di pengakhirannya, pasti ada yang kecewa. Dan lama-kelamaan perasaan yang dahulunya ada kini sudah tiada.

 

3) CINTA sentiasa ingin memberi, NAFSU pula ingin diberi

 

Ini amat jelas. Cinta sifatnya memberi. Ketika kita menjalankan perhubungan yang berlandaskan cinta, maka hal pertama yang dilakukan adalah memberikan yang terbaik dalam hubungan tersebut. Logiknya, apabila kita dan pasangan saling memberi (kita ingin memberi kepada pasangan dan pasangan juga memberi kepada kita) secara automatiknya kedua-duanya akan menerima dengan hati penuh terbuka.

 

Berbeza pula dengan nafsu, nafsu bersifat meminta dan permintaan inilah yang kadang-kala sukar untuk dielak. Pasangan seolah-olah ingin dan dahagakan sesuatu dan ia sentiasa melibatkan fizikal, seterusnya menyebabkan emosi dan perasaan tidak terkawal. Akhirnya, pasangan akan terjerumus ke lembah maksiat.

 

4) CINTA ingin menyayangi, NAFSU pula memperlakukan

 

Bagaimana cara anda melayan pasangan? Dan bagaimana pasangan anda melayan anda? Ini adalah cara termudah untuk membezakan antara cinta dan nafsu. Orang yang menjalinkan hubungan di atas landasan cinta akan sentiasa memperlakukan pasangannya dengan cara-cara yang baik. Menjaga, menyayangi, memperhatikan, memberi nasihat / tunjuk ajar dan selalu memberikan yang terbaik.

 

Sebaliknya orang-orang yang menjalin hubungan kerana nafsu semata-mata cenderung memperlakukan pasangannya ke arah fizikal sahaja. Setiap kali bertemu, pastinya pipi dan dahi ingin dicium, setiap kali berdua pastinya ingin dipeluk dan memeluk, dan yang lebih parah lagi apabila sudah sampai ke arah melakukan hubungan seksual.

 

5) CINTA hanya yang terbaik, NAFSU sudah tentunya tidak

 

Cinta akan sentiasa mengajar kita untuk menjadi yang terbaik. Terbaik dari segi personaliti, kelakuan, tabiat, perangai dan seterusnya berusaha memberikan yang terbaik di dalam perhubungan walau apa cara sekalipun. Bagaimana pula dengan nafsu?

 

Nafsu pula sifatnya terbalik. Apabila cinta disalahertikan, nafsu ini kemudiannya akan membuahkan satu perasaan dan perasaan itu bukan lagi melibatkan cinta. Ia lebih cenderung memperlakukan pasangan ke arah yang menyesatkan, menyebabkan cinta bukanlah motif atau tujuan utama.