Kahwin bukan sesuatu perkara yang mudah, ia melibatkan komitmen dan tanggungjawab. Kadang-kadang kita rasa diri kita dah sedia memikul tanggungjawab tetapi jodoh masih belum ada. Dah tunang tapi terputus di tengah jalan, memang rasa sakit bukan.
Tapi cuba muhasabah diri kenapa Allah belum temukan kita dengan jodoh sebenar kita lagi cuba pandang di sekeliling kita adakah ada orang lain yang lebih memerlukan kita berbanding diri kita memerlukan orang lain.
Allah lebih tahu tentang kita berbanding diri kita sendiri, mungkin jodoh kita masih dalam perut ibunya. Mungkin jodoh kita dijaga orang lain dan mungkin juga jodoh kita di syurga.
Ads
Perlu serius
Perkahwinan itu perkara yang serius dan bukan main-main, perkahwinan melibatkan bukan antara dua orang, tetapi dua keluarga yang berbeza latar belakang dan sejarah. Jadi ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh kedua-dua pihak, iaitu suami dan isteri. Kerana bila tiada tanggungjawab, persefahaman, lahir masalah-masalah yang boleh meruntuhkan satu isi rumah tangga.
Ekonomi
“Duit bukan lah segalanya, tapi sekarang segalanya guna duit” . Perkahwinan sekarang memang banyak cabaran, bukan sebab apa, sebab kita sendiri. Dengan bajet belanja untuk perkahwinan lebih kurang RM20,000 boleh buat seseorang lelaki pening dan runsing.
Kahwin memang sekali, tapi bukan lepas “majlis kahwin” dah tak pakai duit. Lepas kahwin lagi banyak tanggung jawab, untuk seorang lelaki sediakan, seperti memberi nafkah, sediakan rumah dan pakaian untuk isteri dan keluarga.
Ads
Jangan berhenti dan mengalah, tapi teruslah berusaha mencari cara untuk menambahkan pendapatan ekonomi, jangan malu jangan segan. Sentiasa cari peluang untuk menambahkan jumlah pendapatan masing-masing. “Allah takkan ubah kehidupan kita, selagi kita pun tak ubah diri kita.”
Ads
Komunikasi
Komunikasi bukanlah bermula selepas kahwin, tetapi sekarang dan sekarang. Kenapa perlu komunikasi, sebab hidup ini banyak masalah. Tanpa komunikasi yang baik antara pasangan boleh menyebabkan banyak salah faham. Bertanyakan pada pasangan “Apa yang kita kena buat kalau kita nak kahwin?”.
Cari cara untuk mengetahui bagaimana lagi senang pasangan anda meluahkan pandangan, kerana tak semua orang pandai mengekspresikan melalui percakapan, ada yang suka menulis email, ada yang suka menulis surat. Yang penting ialah kedua-duanya mendapat input dari satu sama lain.
Matlamat Kahwin
Tanyalah diri, “Kenapa aku berkahwin?” Adakah sebab nafsu, Adakah sebab bercinta, Adakah sebab keluarga ? ..Sebaiknya Niatlah kerana ibadah, tanggungjawab dan kerana allah taala.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesekali tidak salah kiranya lari daripada kebiasaan. Kalau pasangan lain kerap memilih destinasi bulan madu yang gah seperti Kota London, Paris, Bali atau Phuket, apa kata anda dan pasangan mencuba lokasi yang mungkin underrated, Hanoi contohnya.
Bandar yang terletak di negara Indo-China ini memang tidak sehebat kota-kota di Eropah, tetapi ia juga punya sisi yang tidak kurang hebatnya. Paling penting, Hanoi menjanjikan elemen romantik buat pasangan yang ingin berbulan madu ke sini.
Mengapa begitu? Ini kerana Hanoi punya warisan sejarah yang menyuntik suasana Eropah dek kerana ia pernah menjadi wilayah jajahan Perancis pada abad ke 19. Banyak bangunan-bangunan kolonial yang menjanjikan latar belakang menarik untuk anda merakam memori bersama pasangan.
Malah, kekayaan budaya dan warisan masyarakat setempat jua memberi pengalaman yang cukup bernilai. Jika bijak berimaginasi, mungkin boleh merencana sesi penggambaran bertemakan filem klasik ataupun kononnya berada di negara Eropah. Paling penting, rancang dengan teliti.
Pilih hotel yang menjanjikan penginapan selesa
Bagi memastikan trip bulan madu anda melakar detik-detik manis, hotel penginapan merupakan satu perkara yang jangan sekali-kali diabaikan. Pilih hotel yang sesuai dengan bajet dan dirasakan mampu memberikan pengalaman menggembirakan. Sebagai pasangan yang sedang berbulan madu, pasti anda dan pasangan tidak mahu terperangkap di dalam bilik hotel yang membosankan.
Satu pilihan terbaik jika memilih Pullman Hanoi sebagai lokasi penginapan. Hotel bertaraf 4.5 bintang ini memang satu pilihan yang cukup bijak. Mempunyai lokasi yang strategik (terasing dari Old Quarter yang sibuk dan padat), Pullman Hanoi juga menawarkan pakej bulan madu yang pastinya membuat anda tersenyum lebar. Ini kerana ia direka atau disusun mengikut permintaan anda, bahkan ada unsur kejutan yang mungkin tidak disangka-sangka.
Berkesempatan berbulan madu di hotel ini baru-baru ini, penulis nyata terpegun dengan layanan yang diberikan. Ianya menjangkaui ekspektasi memandangkan caj yang dikenakan tidaklah terlalu mahal memandangkan hotel ini bertaraf lima bintang.
Layanan bagaikan VIP bukannya bermula sebaik tiba di lobi hotel, sebaliknya di saat kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai. Apa tidaknya, ada pemandu yang datang menjemput. Perjalanan ke hotel mengambil masa kira-kira 45 minit, bergantung kepada keadaan.
Sambil diulit dengan pemandangan di luar tingkap, bolehlah menyegarkan tubuh badan dengan air mineral yang tersedia bersama sebekas Macaroon dan coklat tanda kunjungan dialu-alukan pihak hotel. Tuala basah turut tersedia bagi menyegarkan wajah. Tiba di Pullman Hanoi, petugas hotel membantu untuk urusan daftar masuk yang mengambil masa kurang dari 10 minit.
Menjengah masuk ke kamar, hati tambah berbunga riang kerana Deluxe Executive King dihias cantik mengikut tema bulan madu. Kelopak Mawar berbentuk hati yang menghiasi katil menyuntik mood romantik. Selain itu terdapat juga jambangan Mawar di meja kecil yang turut menghidangkan kek, sparkling juice dan juga Phu Thê Rice Cake yang menjadi simbol suami dan isteri bagi masyarakat tempatan.
Ketika mahu merebahkan badan di tilam yang empuk, penulis sekali lagi terkesima kerana baru menyedari terdapat tenunan nama sendiri dan suami di sarung bantal. Patutlah petugas hotel sempat berbisik tadi yang mereka ada kejutan buat kami berdua. Selain itu terdapat juga nota tulisan yang memberitahu, kami boleh membawa pulang kedua-dua sarung bantal berkenaan. Idea yang ditampilkan pihak hotel ini memang lain daripada lain. Mana tahu giliran anda nanti ada kejutan yang lebih wow!
Merakam memori di Kota Hanoi
Biarpun jatuh cinta dengan kamar dan kemudahan yang ada di Pullman Hotel Hanoi, mana mungkin masa dihabiskan dengan berpeleseran di hotel sahaja. Jadi ke mana harus kaki melangkah? Ingat tujuan anda ke sini. Mahu berbulan madu bukan? Jadi jangan sesekali lepaskan peluang singgah ke Hoan Kiem Lake.
Tasik Hoan Kiem adalah titik tumpuan Kota Hanoi. Ia adalah tempat yang popular untuk pasangan bertemu dan berbual-bual terutama di hujung minggu. Lokasi ini juga popular di kalangan pengantin baru yang mahu merakam memori di hari istimewa mereka.
Turtle Tower di tengah-tengah tasik adalah latar belakang yang mesti ada di dalam kebanyakan foto perkahwinan Vietnam. Jadi, ambil peluang yang ada untuk anda dan pasangan pula bergambar kenangan di sini. Satu lagi sudut fotografi yang popular di tasik ini ialah jambatan merah di Kuil Ngoc Son. Jambatan ini tidak pernah sunyi daripada kehadiran pelancong.
Untuk merakam memori romantik berlatarkan matahari terbenam, bolehlah ke West Lake yang terletak di daerah Tay Ho. Tay Ho adalah kawasan yang sedang berkembang pesat di sekitar tasik air tawar terbesar di Hanoi. Ramai penduduk tempatan ke sini bagi mengelakkan kesesakan di pusat bandar.
Satu aktiviti popular di sini ialah menyewa bot angsa. Sambil berdayung dan menikmati keindahan alam, bolehlah berbual-bual tentang hati, serta tentang masa depan bersama. Selepas itu, lihat matahari terbenam dengan pemandangan tasik yang menakjubkan.
Jika punya masa, luangkan sehari dua ke Halong Bay untuk merakam foto-foto menarik bersama pasangan. Terletak 180 kilometer di utara Hanoi, perjalanan ke Halong Bay mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai. Biarpun memenatkan, ia berbaloi kerana tapak warisan dunia ini menawarkan landskap alam memukau.
Ratusan kapal besar dan bot nelayan yang keluar masuk ke Halong Bay atau Teluk Naga memberikan pemandangan pelabuhan silam. Kehadiran kapal-kapal layar kayu seakan-akan membawa pengunjung kembali ke era dahulu.
Terdapat 1,969 pulau batu kapur yang bertaburan di Halong Bay di mana kebanyakannya belum dicemari oleh pembangunan. Paling terkenal ialah Gua Hang Dou atau Grotte des Merveilles yang diterokai oleh warga Perancis pada abad ke-19.
Teks: Sri Rahayu Mat Nah
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkahwinan bukan sekadar membuka rezeki buat kedua-dua pasangan tetapi ia juga memberi peluang kepada kita untuk mengejar pahala dengan lebih banyak lagi. Sebenarnya, pahala lebih mudah untuk kita miliki selepas berkahwin. Walaupun sekadar membuat pasangan kita tersenyum, itu sudah boleh menambah pahala kita.
Banyak perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW yang boleh kita jadikan contoh. Baginda merupakan seorang suami yang sentiasa menjaga hati isterinya. Terlalu banyak hadis yang menceritakan tentang kebaikan baginda sebagai seorang suami.
Ini antara perkara yang dilakukan oleh Rasulullah yang boleh dijadikan contoh kepada para suami di luar sana. Semoga bermanfaat!
Baginda berlumba lari dengan Aisyah. Adakalanya Baginda menang dan ada masanya Aisyah menang. (HR Ahmad, Abu Dawud & al-Nasaiiy)
Membuat kerja-kerja rumah (sudah tentu seperti membasuh baju, menjemur baju, sapu sampah, basuh pinggan) ketika baginda berada di rumah. (HR Bukhari)
Menzahirkan kecintaan kepada isteri. Apabila ditanya siapakah wanita paling disayangi, baginda menjawab “Aisyah”. Kalau lelaki? Jawab baginda, “Bapanya”. (HR Bukhari)
Tidak pernah memukul wanita (isteri) dan khadamnya. (HR Muslim)
Melayani isteri ketika sakit malah baginda mengelap air mata Safiyyah ketika dia menangis. (HR Nasaa’iyy) Adakalanya baginda meniup isteri-isterinya yang sakit dengan bacaan surah 3 qul -al-mu’awwizat. (HR Muslim)
Tetap mengingati kebaikan isteri telah meninggal dan amat menghargai kebaikan, kecantikan dan sumbangan mereka. Nabi tidak pernah melupakan Khadijah malah sering menyebut namanya sehingga Aisyah rasa cemburu. (HR Bukhari)
Amat romantik sehingga berkongsi gelas dengan isteri. Malah, baginda minum ikut tempat yang ada kesan mulut isterinya tanpa rasa jijik. (HR Muslim)
Semakin banyak kes rumah tangga retak, yang lalu lalang di media sosial pun memang cukup merisaukan. Hubungan suami isteri semakin ‘terbiar’ dengan masalah remeh sehingga hilang rasa cinta.
Rumah Tangga Retak, ‘Murahnya’ Nilai Sebuah Perkahwinan
Sebelum terjebak dengan masalah rumah tangga, ini merupakan 3 asas proses hubungan suami isteri menjadi lebih kuat dan tidak tergugat dengan gangguan yang datang.
Anda mungkin anggap remeh tetapi kalau 3 perkara ini dijaga, insya-Allah hubungan jadi lebih kuat.
1. Hadap telefon/gajet memanjang
Gadget sebenarnya boleh menyebabkan ketagihan. Tambah lagi yang suka tengok video di telefon bimbit. Tiktok, Instagram, Facebook. Lepas habis satu, terus naik lagi satu. Memang melekat jelah mata di telefon. Setkan peraturan bila boleh tengok telefon. Dulu kami kerap bergaduh tentang telefon. Yelah dah buat bisnes di phone kan. Sehinggalah kami bersetuju dengan peraturan:
-Tidak menggunakan telefon ketika memandu
-Penumpang sebelah dalam kereta tidak menggunakan telefon
-Tidak menggunakan telefon sewaktu makan dengan keluarga
-Tidak menggunakan telefon ketika meluangkan masa dengan pasangan dan anak-anak
-Tidak menggunakan telefon apabila berkomunikasi secara fizikal
Contohnya pasangan tengah nak bercerita, atau luah perasaan ke, janganlah dengar sambil hadap telefon. That is so rude. Atau tengah sama-sama membeli-belah, tapi sorang hadap phone memanjang. Lebih baik tak payah membeli-belah sama-sama kan. Mungkin kita rasa ada sesetengah aktiviti tu tak berkait dengan kita.
Tengah shopping ikan, ayam, sayur suami mungkin rasa lauk basah tu tak berkait dengan dia dan dia tak reti menyumbang pun dalam membuat pemilihan lauk, jadi lebih baik dia main phone saja. Speasis orang macam ni, lebih baik tak payah dijamu makan nanti. Selfish. Dia fikir isteri tu bibik dia ke?
2. Melengahkan solat
Solat awal waktu memang sangat bagus sebab melatih diri berdisiplin. Solat awal waktu juga menzahirkan kebergantungan kita kepada Allah. Kita nak cepat-cepat buat perkara yang Allah suka, supaya Allah juga sentiasa memelihara hidup kita. Cuba perhatikan kalau hidup keluarga kita porak peranda, mungkin disebabkan lalai dalam solat, lama tak baca Al-Quran, kurang tazkirah dan ta’lim dalam keluarga etc.
Suami selaku ketua keluarga perlu memastikan seluruh ahli keluarga dekat kepada Tuhan. Hati yang sering mengingati Tuhan adalah hati yang lembut dan lunak. Hati yang jauh dari Tuhan akan selalu keras, degil dan memberontak.
3. Tidak jaga waktu tidur
Orang zaman dahulu, hidupnya tak banyak distraction/ gangguan. Jadi banyak masa dihabiskan bersama keluarga termasuklah tidur bersama. Zaman sekarang banyak distraction seperti phone, game, mamak dan sebagainya. Jadi ramai yang sebenarnya konon bersama keluarga tapi sebenarnya hanya jasad sahaja disitu.
Contoh begini:
Isteri tidur jam 10 malam, suami main game sampai jam 2 pagi atau sama-sama baring atas katil, tapi masing-masing hadap telefon berjam-jam sehingga tertidur atau suami dah tidur jam 12 pm, isteri tengok Shopee sampai 4 pagi. Atau isteri tidur dengan bayi di satu bilik, suami tidur di sofa ruang tamu sebab tak nak diganggu tangisan anak. Kononnya alasan kerja esok, maka kena cukup tidur.
Pasti akan ada hati yang terasa dan wujudnya masalah komunikasi. Padahal waktu sebelum tidur lah untuk suami isteri berkongsi cerita, meluah rasa-rasa kalau ada tak puas hati, meminta maaf dan sebagainya. Pillow talk kata orang. Hilang elemen ini akan menjadi punca keluarga mula berantakan.
Sekarang kes perceraian meningkat mendadak, cuba fikir apa bezanya dulu dan kini. Mungkin 3 perkara di atas ini yang tidak dijaga. Bolehlah audit keluarga semula, semoga keluarga kita menjadi gembira dan selamat untuk semua ahli keluarga.
Sumber: Maryam Aziz
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!