Seorang wanita kahwin dengan bekas abang ipar menjadi tular selepas memuat naik gambar perkahwinan kakak bersama abang ipar yang kini sudah bergelar suaminya, pada 2015.
Wanita yang berusia 21 tahun menetap di Kutai Barat, wilayah Kalimantan Timur ini dikenali sebagai Sinta reda dengan takdirnya selepas kematian kakaknya.
Menerusi akaun @sntafby_, Sinta memuat naik gambar berserta kapsyen pendek berkenaan aturan jodoh yang hadir tanpa dirancang.
Rupanya ada cerita pilu di sebalik mahligai cinta yang dibina dengan lelaki itu. Sinta rupanya berkorban demi memenuhi amanat daripada kakaknya yang telah meninggal dunia.
Namun begitu, wanita tersebut tampil menjelaskan kisah yang berlaku di sebalik keputusan yang dibuatnya itu.
Menurutnya, kakaknya sudah meninggal dunia pada 17 Oktober 2022 yang lalu dan meninggalkan abang iparnya bersama seorang anak lelaki.
Allahyarham kakaknya itu kemudiannya mengamanahkan suami serta dirinya untuk menjaga kanak-kanak yang bernama Zayn yang berusia tujuh tahun.
Beliau juga berkongsi gambar-gambar yang menunjukkan kehidupannya sebagai seorang ibu dengan menjaga anak saudaranya yang kini anak tirinya.
“Menghantar Abang Zayn ke sekolah dan berenang bersama Adik Lala.
“Meraikan ulang tahun Zayn kali pertama tanpa bondanya, menghantar Zayn berkhatan pada usia tujuh tahun, menghantar dan menjemputnya setiap hari.
“Moga bonda tenang, Abang Zayn kami jaga dengan baik. Oleh kerana memang bonda sayangkan Zayn dan tidak mahu anaknya disakiti, dititipkan Zayn kepada Ayah dan Aunty,” kongsi Sinta menerusi salah satu hantarannya.
Warga maya rata-rata mendoakan perkahwinan mereka itu berkekalan sambil menyifatkan kisah yang berlaku itu persis seperti kisah yang diceritakan di dalam novel mahupun filem.
Menurut Islam, hubungan ipar adalah mahram muakkat iaitu haram sementara. Oleh itu, aurat dan sentuhan antara ipar duai adalah dilarang manakala menghimpunkan penikahan antara adik-beradik diharamkan.
Namun begitu, Islam membenarkan perkahwinan dengan adik ipar selepas kematian atau berlaku penceraian dan selesai beriddah dengan isteri.
Ini bermakna apabila seseorang isteri meninggal dunia atau diceraikan dan selesai iddah, suaminya boleh mengahwini adik atau kakak iparnya.
Istilah Melayu menyebutnya sebagai ‘salin tikar.’ Justeru, Islam membenarkan perkahwinan dengan adik ipar selepas kematian atau berlaku perceraian dan selesai beriddah dengan isteri.