Berkahwin ketika belajar bukan suatu yang pelik, sama ada di dalam atau di luar negara. Kadang-kadang mereka yang sedang menuntut ilmu bertemu jodoh di pusat pengajian lalu ingin mengambil keputusan untuk berkahwin. Saat itu, perkara yang menjadi kerisauan adalah wang untuk perbelanjaan perkahwinan.
Bagi yang mempunyai biasiswa pula mungkin terfikir untuk menggunakan sejumlah wang biasiswa untuk persiapan perkahwinan. Tetapi apa pula hukumnya? Adakah boleh menggunakan duit biasiswa yang diperuntukkan untuk tujuan pembelajaran, bagi tujuan-tujuan lain?’
Sekadar gambar hiasan
Bagi memahami isu ini dengan lebih lanjut, kami memetik pandangan Dr Zaharuddin Abdul Rahman, seorang perunding dan pakar syariah di Malaysia. Beliau mengatakan bahawa bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kepada seseorang pelajar dalam bentuk biasiswa adalah tajaan belanja kepda pelajar untuk sara hidup mereka.
Asal hukum bagi penggunaan wang tersebut mesti terlebih dahulu dirujuk kepada kontrak biasiswa yang ditandatangani.
Harus bagi pelajar tersebut untuk menggunakan wang itu untuk apa jua tujuan yang dirasakan sesuai kerana wang itu sudah diserahkan hak miliknya kepada pelajar. Selaku pemilik wang, pelajar boleh menggunakannya untuk tujuan peribadi contohnya untuk urusan perkahwinan atau keperluan keluarga selagi tidak melanggar hukum Islam.
Walaupun begitu, diingatkan juga supaya pelajar menyemak semula isi kandungan kontrak yang telah ditandatangani. Jika ada klausa atau pernyataan yang tidak membenarkan pelajar untuk menggunakan wang untuk perkahwinan atau tujuan-tujuan lain, maka pelajar hendaklah menepatinya.
Biasiswa merupakan satu amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada penerimanya bagi menyempurnakan pengajian. Jika tidak ada halangan yang disebut di dalam kontrak untuk menggunakan wang, maka pelajar boleh menggunakannya untuk tujuan perkahwinan. Tetapi perlu diingat, pelajar perlu merancang dan mengurus wang dengan baik agar amanah yang utama untuk menamatkan pengajian tidak terganggu.
Tulisan : Natirah Azira
Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah.
Sumber : Tazkirah.Net