Hubungan

Kalau 10 Tahun Usia Perkahwinan, Itu Masih Pengantin Baru!

Share

Nak kira bab matang dalam usia perkahwinan, banyak cabara dan ujian suami isteri perlu tempuh. Setakat 10 tahun, itu baru permulaan.

Bak kata saudara Khairul Nadzir, kalau usia perkahwinan tak sampai 10 tahun, kamu itu kiranya masih pengantin baru.

10 Tahun Usia Perkahwinan

Banyak benda kena buat sepanjang 10 tahun perkahwinan.

Hakikatnya, 10 tahun pertama dalam perkahwinan ni, banyak benda ‘pengantin baru’ kena buat. Tanpa sedar, 10 tahun pertama ini kebanyakkan pasangan tak buat sehinga merasakan baru 3-5 tahun perkahwinan sudah terasa terlalu lama.

Kemudian, bosan.

Mulalah melangkah untuk mencari nikmat pengantin baru pada jantina lain, untuk merasakan semula nikmat pengantin baru.

Seram.

Pernah di ceritakan pada kami oleh seorang kadi, hampir 70% pasangan muda yang mendaftar perkahwinan, tewas seawal 5-7 tahun perkahwinan.

Sekitar 2014 dulu, pernah saya buat satu poster statistik penceraian dalam negara kita, rupanya waktu itu, setiap 14minit pasangan akan bercerai. Ingat teruk dah waktu tu, tapi statistik terkini, meningkat sekitar 8minit akan bercerai satu pasangan di dalam negara kita.

Sesuatu perlu sangat dilakukan dalam negara kita ni, dalam bab perkahwinan apatah lagi untuk pasangan muda.

Saya dan isteri adalah naik dan turunnya dalam bab benda ni, tapi dah cecah lebih 10 tahun kahwin, boleh lah kongsi apa boleh kita buat sepanjang usia pengantin baru sebelum menginjak ke usia 10 tahun perkahwinan.

1. SENTIASA CARI JALAN UNTUK BAHAGI KERJA!

Suami, jangan buat semua kerja suami sahaja, isteri, jangan buat semua kerja isteri sahaja. Maksudnya, suami, tengoklah apa kerja yang isteri buat, buat juga sikit-sikit sampai isteri rasa bukan dia seorang sahaja isteri kat rumah. Isteri juga begitu.

Bukan bermakna kita ni nak sibuk kerja masing-masing, tapi nak rasa susah sikit-sikit kerja dan tugas masing-masing agar dapat faham, suami rasa apa yang isteri rasa, isteri rasa apa yang suami rasa.

Contoh, suami kena tahu basuh pinggan, basuh berak anak, rasa keras batang penyapu dan mop dan tahu cadar katil tu kena urus. Bukan isteri saja memanjang buat benda itu.

Isteri tahu dan boleh cari side income sikit-sikit, bukan nak rasa diri itu boleh berdikari cari duit, tapi just nak tahu susahnya cari duit. Supaya bila dapat nafkah, nafkah itu adalah daripada susah. Bukan yang mudah.

Ini contoh serba sedikit. Boleh explore lagi apa yang dikatakan ‘susah isteri dan susah suami’.

2. PRIVACY IS MUST, BUT TRUST IS THE MOST!

Jaga privacy masing-masing, tapi jangan sampai hilang kepercayaan.

Jangan buat main dengan naluri pasangan kita, kerana itu tanda keberkatan. Jangan suka suki ‘ceroboh’ perihal privacy sehingga timbul rasa syak yang tidak perlu. Syak ni makanan iblis, jangan libatkan iblis dalam perkahwinan kita.

Jangan asyik sibuk dan kerap nak semak perbualan harian pasangan anda, seperti wsapp, mesej dan lain-lain. Saya sebut kerap ye.

Tapi, percayalah, serah semuanya pada Allah. Jika berlaku sesuatu di belakang, biarlah Allah yang lorongkan. Kita kena banyak tawakal supaya kita tahu batas privacy masing-masing. Kalau buat silap, gaduhlah. Lepas tu bermaafanlah.

Tapi kalau betul-betul nak ‘kacau’ privacy pasangan, keraplah tengok cart diorg kat tiktok shop atau shoopee. Tengok apa yang pasangan kita teringin. Belikan diam-diam, biar abang JnT buat surprise kat pasangan kita.

3. JANGAN SUKA TUNJUK BAHAGIA KEPADA UMUM. SIMPAN SENDIRI SUDAH!

Asal berpeluk sikit, upload.
Asal romantik sikit, upload.
Asal rindu dan jiwang sikit, upload.

Sikit-sikit sudah. Jangan tunjuk kita terpaling mendonia dengan kejiwangan pasangan kita.

Dapat apa dok tayang kebahagian kita dengan orang ramai, yang mungkin kenal kita pun tidak. Kita ni tak tahu ujian apa yang Allah nak beri pada kita sebagai pasangan. Time indah, dok canang, sekali gaduh dok buka aib. Rasa terpaling tersakiti.

Ini sampai laki pergi tandas, dok share dah mula rindu dia p tandas. Lepas tu bila gaduh, meletup tunjuk kita terpaling betul dan pasangan kita terpaling salah.

Yang menang, IBLIS dan netizen berperangai IBLIS!

Jujurnya, jadikan moment 10 tahun pengantin baru kita ni sebagai ‘moment dalam kepala’ untuk kita tatapi secara peribadi. Sebab banyak benda perlu dijadikan ‘muscle memory’ dengan keringat perjuangan bersama seusia awal 10 tahun perkahwinan. Jangan dok share sangatlah kat orang.

4. EXPLORE LAH FIZIKAL PASANGAN ANDA.

Ya, cerita ini adalah cerita kelambu pasangan kita. Tidak bermaksud untuk lucah, tapi rasalah keseronokan melihat keindahan yang Allah ciptakan kepada pasangan kita. Contoh, mandi bersama. Tidur dan berpeluk bersama. Saling urut bersama. Saling memakaikan pakaian bersama.

Paling penting, tahu anggota wajib pasangan kita untuk kita pantau kehidupan fiqah bersama.

Jujur jawab, bila kita semak anggota pasangan kita bila pasangan kita ketika mengangkat hadas besar? Tak terfikirkan? Padahal inilah tanggungjawab agama yang perlu diteliti apatah lagi sebagai seorang suami. Fiqah inilah yang membuatkan kita lebih kenal pasangan kita, hasil hikmah yang Allah berikan kepada hamba-Nya.

5. DEKATKAN PASANGAN KITA DENGAN TUHAN

Kita mungkin pernah meninggi suara pada pasangan, ketahuilah itulah jarak paling jauh kita dengan pasangan, walaupun ketika itu dia depan mata kita. Indikator mudah inilah kita kena sedar jauh atau dekat dengan pasangan.

Jika kerap guna suara mulut untuk tentukan jarak komunikasi kita dengan pasangan, percayalah, kita sebenarnya makin jauh.

Keraplah guna suara hati kita dengan pasangan. Dan inilah kekerapan yang mungkin paling sukar kerana indikator ini hanya ada dalam komunikasi kita dengan Allah. Kerana Allah sahaja Maha Dekat dengan kita apabila jiwa bisikan dalam solat, doa dan munajat kita untuk pasangan kita ‘dilaungkan’.

Keraplah, solat sama-sama.
Doa sama-sama.
Mengaji sama-sama.
Berta’lim sama-sama.

Semua ini pastinya tidak gunakan suara mulut, kerana waktu ini kemahiran suara hati dan jiwa sedang berjalan. Semakin kerap, semakin kompeten.

Sebab tu kadang-kadang kalau benda ni berlaku secara kerap, pasangan kita tak perlu pun ‘cakap’ jika berkehendak sesuatu, dia niat ja, terus dapat depan mata.

Contoh, bila isteri teringin sangat nak makan goreng pisang, tahu-tahu sahaja, Allah lorongkan hati sang suami, balik kerja, terdetik pergi beli goreng pisang. Bukan sebab suami tu terer tahu apa dalam hati dia, tapi itulah perjalanan berkat yang Allah kirimkan kepada suami, kerana Allah sahajalah pemegang hati kita semua.

Begitulah.

IKLAN