Anda berdengkur? pastinya ‘bunyi-bunyian’ ini akan menimbulkan kerisauan selepas berumah tangga. Bagaimanapun, terdapat beberapa cara mudah bagi membantu anda tidur dengan aman, nyenyak dan tanpa mengeluarkan bunyi.
Pernafasan akan menjadi lebih mudah jika anda memastikan otot-otot leher, kerongkong dan rahang sentiasa dalam keadaan baik. Amalkan menarik nafas panjang bagi melapangkan laluan pernafasan anda dan ini mengurangkan risiko ia tersumbat semasa anda sedang tidur.
Rehat yang secukupnya boleh mengendurkan otot-otot tubuh yang tegang dan membuatkan anda tidur dengan lebih nyenyak. Tetapi urutan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan tekanan pada otot-otot utama yang mungkin menjadi penyebab kepada kesukaran untuk tidur nyenyak yang anda perlukan.
Alahan boleh mencetuskan dan menjadi penyebab kepada dengkuran dan menimbulkan kesukaran untuk bernafas. Pastikan cadar dan selimut anda bersih daripada habuk dan hama. Sentiasa pasang alat penapis udara sepanjang siang dan malam bagi mendapatkan udara yang bersih dan segar.
Postur tidur yang selesa dan betul akan membuatkan tulang belakang anda berada pada kedudukan yang betul. Cara ini juga akan mengurangkan halangan pada saluran ke paru-paru dan nasal. Tidur mengiring dengan meletakkan bantal peluk membantu anda mengekalkan posisi tidur yang sihat.
Satu daripada masalah atau halangan kerongkong ialah tonsil yang terlalu besar. Jika anda mempunyai situasi dengkur yang teruk, jumpa pakar dan buat pemeriksaan jika tonsil bengkak atau terlalu besar. Pembedahan boleh dilakukan bagi membuang tonsil tersebut agar anda tiada gangguan tidur lagi.
Bagi mereka yang gemuk, sebaiknya turunkan berat badan kerana lemak yang terkumpul di sekitar kerongkong dapat dihindari. Cara ini bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah dengkuran tetapi anda akan dapat tidur nyenyak serta personaliti anda akan turut nampak lebih menarik dan memikat.