Dengar saja perkataan ‘kahwin’ semua pasangan akan tersenyum sampai ke telinga. Namun, bila memikirkan persiapan yang perlu dibuat, seram sejuk dibuatnya. Dari proses merisik sehinggalah berakhirnya majlis kedua-dua belah pihak, wang mengalir laju saja. Mana taknya, zaman sekarang semuanya serba mahal. Itulah yang menyebabkan ramai mahukan cara kumpul duit kahwin, supaya boleh digunakan untuk macam-macam urusan.
Kenapa hantaran dan majlis kenduri sahaja?
Bukanlah mahu kata yang lain tak penting. Cuma dua perkara ini, memerlukan kos yang tinggi. Banyak duit akan dibelanjakan hanya untuk dua perkara ini. Dari sekecil-kecil perkara semuanya melibatkan wang ringgit yang bukannya murah. Namun, yang lebih parah dah tentulah pihak lelaki kerana perlu sediakan wang hantaran selain persiapan majlis sendiri.
Sebenarnya, ikatan yang bakal dibina bukannya diukur dengan mewahnya pelamin yang dihiasi bungaan segar. Bukan juga dilihat pada menu makanan yang menyajikan kambing golek dan sate kambing. Malah, sepersalinan yang mewah dan gah juga tidak bermakna jika hanya pada hari bersejarah itu sahaja mereka kelihatan benar-benar bahagia.
Perlukah majlis kahwin yang ‘grand’?
Kehidupan berumah tangga mula teruji selepas majlis kedua-dua belah selesai dengan gemilangnya. Ya benar, kita perlu meraikan tetamu. Malah, itu juga yang dianjurkan oleh agama. Namun, bukan ke bersederhana itu jauh lebih baik?
Adakah anda sebagai suami atau bakal isteri; mampu menyediakan kelengkapan untuk keselesaan keluarga dan anak-anak kelak? Adakah anda sanggup terus dibebani hutang kahwin sedangkan sudah ada 2 orang anak? Segala persoalan ini memerlukan perancangan rapi sebelum berumah tangga tak kisah bagi pihak lelaki atau perempuan.
Cara kumpul duit kahwin
Justeru, artikel ini akan cuba membantu anda yang sedang dalam kekusutan simpan duit untuk kahwin. Jangan risau, tiada yang mustahil. Yang penting, terus berusaha dan bertawakal. Nah, ini tips untuk bakal pengantin, pasangan yang baru merancang nak kahwin dan bagi yang masih mencari jodoh. Selamat membaca.
Tetapkan matlamat dan niat
Mindset itu penting. Jika sudah bertemu pasangan yang dirasakan sesuai untuk jadi peneman hidup, tetapkan niat untuk berkahwin. Jangan sibuk dating saja. Hidup perlu ada impian dan matlamat. Mungkin anda boleh memasang niat untuk berkahwin dalam 2 tahun lagi. Oleh itu, anda ada masa yang mencukupi untuk simpan duit.
Kerjasama antara keluarga dan pasangan
Pasangan yang akan berkahwin perlu bersikap lebih toleransi antara satu sama lain. Misalnya, keluarga belah perempuan janganlah minta jumlah hantaran di luar kemampuan lelaki.
Janganlah sampai RM15,000 tapi kalau mampu tiada salahnya.
Hantaran tidak diwajibkan dalam Islam. Ia hanyalah budaya turun-temurun untuk bantu persiapan pihak perempuan sahaja. Bakal isteri juga janganlah terikut-ikut dengan orang lain sehingga bakal suami ikat perut setiap bulan.
Ads
Buat majlis yang sederhana
Berbincanglah baik-baik untuk melangsungkan majlis yang sederhana dan ikut cara Islam saja. Buat yang perlu dan wajib sahaja, misalnya majlis nikah yang ringkas dan menjemput tetamu untuk meraikan.
Tetamu yang dijemput cukuplah sekadar ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan kenalan yang penting dan rapat. Tak perlu sehingga 2000 jemputan, sehingga tuan rumah pun tak kenal mereka.
Jika ikut cara kumpul duit kahwin ini, pasti akan bangga jika dapat laksanakan majlis yang sederhana.
Beli rumah dulu
Jika ahli keluarga kedua-dua belah pihak telah setuju tentang majlis, maka bakal pengantin perlu buat persiapan. Sebaik-baiknya dari awal lagi mereka perlu berfikiran jauh untuk simpan duit. Tak perlu tunggu selepas majlis risik.
Lelaki perlu fikir tentang rumah yang bakal diduduki, kenderaan dan sebagainya. Aset-aset ini tak perlu terus dibeli lepas kahwin. Tak perlu terburu-buru. Pada awal perkahwinan, boleh saja duduk bersama-sama keluarga lelaki. Malah, boleh juga gunakan kereta yang lama. Namun, jangan pula terus menyusahkan ibu bapa. Belajar hidup berdikari.
Kalau bekerja kerajaan, boleh cuba tengok kelayakan dan gunakan kalkulator LPPSA untuk mengira berapa perlu bayar.
Simpan duit dalam ASB
Antara yang boleh dibuat ialah membuat pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB loan). Cara ini ialah paksaan ke atas diri untuk menyimpan secara disiplin dan sistematik. Tidak susah, login MyASNB sahaja. Segalanya di hujung jari.
Ads
Misalnya, anda membuat ASB loan sebanyak RM50,000.00 dan diikat selama 30 tahun. Jadi, bayaran bulanan yang anda perlu bayar ialah sebanyak RM300.00 dengan kadar faedah bank sebanyak 5.2%.
Jika dividen tahunan yang akan diperoleh ialah sebanyak 7.25%, maka anda akan dividen daripada simpanan ASB sebanyak RM3625,000.00 pada tahun itu. Jika anda bercadang untuk berkahwin lagi 2 tahun, maka anda akan dapat hampir RM7250,000.
Duit sebanyak ini sudah dapat membantu hampir separuh persiapan kahwin anda bukan? Itulah antara kebaikan membuat pelaburan ASB.
Simpan duit kahwin dalam Tabung Haji
Selain itu, anda juga boleh membuat simpanan di Tabung Haji (TH). Setiap tahun, TH akan mengagihkan keuntungan yang diperoleh dalam bentuk hibah dan bonus. Malah, anda juga boleh membuat simpanan di bank lain seperti Maybank, AmBank, Affin, Hong Leong, Public Bank dan sebagainya.
Bila dah mula menyimpan, jangan gatal-gatal tangan untuk keluarkan wang pula. Cuba konsisten dalam menyimpan wang. Misalnya, setiap pasangan boleh kongsi duit untuk menyimpan. Jadi, tidaklah berat untuk satu pihak kan? Kalau takut tak tahan godaan, boleh saja berikan kad ATM pada ibu untuk memegangnya.
Buat kerja sampingan, ini cara simpan duit kahwin paling bijak
Ah, ini satu cara kumpul duit kahwin yang paling pantas. Orang kata, biar susah-susah dahulu, barulah boleh bersenang-senang kemudian. Bukannya mudah untuk kumpul duit kan?
Sekurang-kurangnya segala kepayahan ini akan menjadi pengalaman manis untuk dikenang. Pasti anda dan pasangan akan tersenyum sendiri bila terkenangkan susah-payah kumpul duit sama-sama.
Bagi pihak perempuan, anda boleh menjadi dropship tanpa keluarkan modal. Misalnya, anda boleh jual baju kurung dan tudung. Anda menjadi orang tengah untuk buat promosi dan melayan pertanyaan pelanggan. Jika berjaya menjual produk tersebut, dapatlah komisyen.
Ads
Anda juga boleh mohon kerja sebagai tutor. Jika berbakat dalam jahitan, boleh ambil tempahan menjahit pakaian. Kalau masakan anda selalu dipuji, apa kata cuba jual makanan pula.
Bagi pihak lelaki, anda boleh jadi pemandu Grab. Bila ada masa terluang, baik bawa kereta. Boleh juga buat duit guna aset sendiri. Kalau berbakat dalam gunting rambut, cuba minta kerja di kedai gunting rambut. Pendek kata, ikutlah kemampuan, bakat dan minat sendiri. Janji dengan cara halal.
Ada banyak kerja part time yang boleh dilakukan, hinggakan yang tidak perlukan modal langsung. Antara mahu atau tidak sahaja.
Buat tempahan semasa ada promosi
Sentiasa merajinkan diri ke Pameran Pengantin yang diadakan di kawasan anda. Biasanya promosi yang diberikan hebat dan harganya jauh lebih murah. Anda perlu membuat tempahan awal dan bayar sedikit deposit.
Di sini, anda boleh mencari pakej perkahwinan yang mengikut bajet termasuk katering, kad kahwin, perkhidmatan fotografi, pelamin, andaman dan sebagainya. Misalnya kalau hendak tempah kad kahwin, tak perlu ambil yang mahal-mahal. Sudahnya hujung nanti akan ke tong sampah juga. Membazir kan?
Malah, kini di media sosial seperti Facebook juga ada banyak page dan group yang memberikan tips dan perkhidmatan untuk majlis kahwin.
Cuma untuk guna cara kumpul duit kahwin dengan teknik sebegini, perlu selalu follow penyedia khidmat kahwin di Facebook dan Instagram selalu.
Buat tabung kahwin
Tabung kahwin ni bukan maksudnya simpan di dalam bank. Simpanan itu anda yang pegang dan ikut kreativiti sendiri. Misalnya, jika anda bawa duit belanja ke tempat kerja sehari sebanyak RM30.00. Duit ini mungkin termasuk duit makan, duit minyak dan sebagainya.
Setiap hari, anda boleh simpan sebanyak RM5.00 iaitu baki dari wang harian itu. Paksa diri untuk menyimpan. Apa jadi pun, wang RM5.00 perlu disimpan. Jika perlu digunakan kerana terdesak atau kecemasan, esoknya gandakan jumlah itu menjadi RM10.00.
Maka, jika setiap hari anda menyimpan RM5, jadi dalam sebulan anda sudah mempunyai RM150. Untuk setahun dah jadi RM1,800, kalau 2 tahun RM3,600. Jika dicampurkan dividen ASB (RM7250,00.00) campur tabung kahwin (RM3,600.00), anda dah berjaya kumpul RM10,850.00.
Itu belum dicampur dengan simpanan gaji kerja tetap dan kerja sampingan serta pendapatan lain lagi. Jangan risau, pasangan yang hendak membina masjid dengan niat kerana Allah akan dimudahkan jalan dan rezekinya.
Perlukah berhutang untuk kahwin?
Kalau boleh, elakkanlah. Selagi kita boleh simpan dengan kudrat sendiri, teruskanlah. Cara kumpul duit kahwin sudah ada. Hanya perlu ikut dan jadi lebih kreatif untuk menambah lebih banyak amaunnya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hubungan jarak jauh ni bukan mudah. Hanya orang yang kuat je mampu melalui perjalanan ini. Buat yang sedang melalui hubungan jarak jauh, jangan mudah putus asa, ini tip buat korang ubat rindu
1. TERUS BERHUBUNG
Biar hanya seketika pastikan anda berdua akan terus berhubung setiap kali sebelum menamatkan hari-hari anda. Skype, Google Talk atau panggilan sekadar lima minit pun memadai mahupun hanya ucapan selamat malam. Ini bukti cinta anda masih utuh buatnya.
Namun usah lakukan kerana terpaksa dan pastikan anda sentiasa ada setiap kali si dia mahu berkongsi cerita. Selagi pasangan anda masih mahu berhubung maknanya si dia masih lagi serius untuk meneruskan hubungan yang dijalin walau jarak waktu dan masa memisahkan anda berdua.
2. EKSPRESIKAN PERASAAN BUAT SI DIA
Sedangkan pasangan yang sering bersama pun kadang sukar untuk menyatakan perasaan sebenar apatah lagi mereka yang bercinta jarak jauh. Namun ada cara bagaimana anda boleh memperbetulkan situasi ini. Dr. Gary Chapman menerusi artikelnya ‘The Five Love Languages for Singles’, menyatakan cara terbaik meluahkan perasaan adalah dengan pemilihan kata dan ayat yang betul kepada pasangan anda.
Usah mudah terlarut emosi ketika menyatakan sayang atau rindu kerana itu belum tentu akan membuat pasangan anda selesa malah lebih teruk merimaskan. Apa yang boleh dilakukan, hantarkan kiriman kata-kata pujangga cinta melalui e-mel berserta lagu yang tepat dengan perasaan anda ketika itu. Hal ini merupakan salah satu saluran yang boleh anda lakukan untuk mengekspresikan perasaan kepada si dia.
3. TULUS DAN SETIA
Syarat pertama harus jujur dan telus. Tiada apa yang boleh kekal lama tanpa ketulusan juga ketelusan dalam mengukuhkan sesuatu perhubungan. Jika syarat ini tidak berjaya dipegang kedua-dua belah pihak maka kasih dijalin hanya sekadar di permukaan, sama ada kerana takut putus atau sekadar bermain tarik tali.
Dr. Greg Guldner, pengarang ‘Long Distance Relationship : The Complete Guide‘ menyatakan 70% daripada pasangan yang mengalami epidemik cinta sebegini selalunya gagal dalam mempertahankan perhubungan kerana tidak mampu membiasakan diri dengan perubahan yang berlaku bila berhadapan dengan situasi baru ini.
4. BERIKAN KEJUTAN
Kejutan manis buat si dia adalah perkara yang sentiasa boleh anda fikirkan. Tidak salah wang yang anda laburkan setiap kali keluar bersama dulu dikumpul dan gunakan untuk memberi kejutan dengan mengunjungi si dia yang jauh. Hal ini pasti saja akan memberi keterujaan kepada pasangan selain menjadi bukti sayang kepada si dia.
Jika masih belum mampu untuk melakukan perkara tersebut banyak kejutan lain boleh diberi seperti mengirimkan CD band tempatan kegemarannya atau membuat kolaj memori, kompilasi komunikasi anda berdua di media sosial seperti Yahoo Messenger dan jadikannya satu himpunan seakan cerpen. Pasti akan membuat si dia tersenyum kembali ketika membacanya.
5. RAIKAN MASA SENDIRI
Cipta hobi serta minat baru agar masa lapang yang selalunya anda habiskan bersama si dia terisi. Dekatkan diri dengan aktiviti kesukaan anda seperti membeli-belah, bersukan atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan anda.
Aktiviti begini mampu menukar duka sendiri anda selain memberi pengalaman berbeza ia juga pasti akan membikin si dia ingin tahu lebih lagi tentang aktiviti yang anda lakukan. Elakkan dari bersendirian dan ia boleh menyebabkan anda sentiasa teringatkan si dia. Penuhi hari demi hari anda dengan aktiviti berfaedah dan boleh menceriakan hari anda!
Kredit : Apakes
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kini banyak kaedah moden untuk mendapatkan mendapatkan tubuh langsing.
Namun, bukan semua orang sedia menjalani kaedah estetik walaupun ada sesetengah rawatan memberi keputusan pantas.
Bagaimanapun, anda masih boleh mengurangkan berat badan dengan tertentu. Untuk panduan penurunan berat badan secara sihat pergilah berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.
Saya sarankan anda amalkan gaya hidup sihat dengan kaedah seperti di bawah bagi mendapatkan tubuh menawan dan tampil lebih bergaya.
1. Rehat satu hingga dua jam
Tidak dinafikan selepas selesai bersenam, nafsu makan meningkat. Jangan ikutkan perasaan itu. Berehatlah satu atau dua jam sebelum makan. Begitu juga sebaliknya kalau anda makan sebelum bersenam.
Bagi mempercepatkan pembakaran kalori, anda disarankan melakukan aktiviti olahraga sederhana seperti joging, renang atau berbasikal selama 30 hingga 60 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu.
2. Tangani rasa lapar ketika berdiet
Untuk menangani rasa ingin makan ketika berdiet, kita perlu mengawal diri bermula dengan minda. Caranya, lakukan relaksasi bagi mengalihkan fikiran pada makanan. Mulakan dengan menarik nafas selama 10 minit kemudian, fikir kembali apakah kita perlu makan atau tidak. Kaedah lain yang cukup efektif adalah bersenam.
3. Wajib bersarapan
Anda mengetahuinya, tetapi berbaloi untuk mengulanginya. Sarapan masih menjadi hidangan paling penting dalam sehari. Tidak mengambil hidangan pertama boleh meningkatkan risiko obesiti lebih empat kali ganda.
Jika anda tidak makan sebaik bangun tidur, tubuh kelaparan dan memperlahankan metabolisme. Apabila anda makan, ia seolah-olah kebuluran dan mengambil lebih daripada sepatutnya, mendorong makan mengikut nafsu dengan kadar metabolisme yang rendah.
4. Kurangkan makanan berwarna putih
Tetapkan makan hidangan pertama, contohnya makan telur putih, omelet atau oat. Kurangkan ambil makanan yang berwarna putih seperti roti, nasi, pasta, gula dan tepung kerana tinggi kadar karbohidrat ringkas. Gantikan dengan telur putih, kubis bunga dan ikan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Musim cuti sekolah sekarang ini memang banyaklah jemputan perkahwinan yang kita terima. Menghadiri majlis perkahwinan juga memberi peluang untuk kita bertemu dengan sanak saudara juga rakan dan taulan.
Kebiasaannya pada waktu-waktu beginilah masing-masing dapat bersua muka. Kesibukan bekerja menyebabkan ada di antara hanya dapat bertemu sanak saudara setahun sekali. Itu pun pada hari raya.
Bagaimanapun ada perkara yang kita perlu perhatikan dan ambil berat ketika memenuhi jemputan majlis perkahwinan.
Melalui perkongsian Dzuriasikim Dzulkefli, wanita ini berkongsi tentang perkara-perkara yang perlu kita ambil kira berkaitan tentang majlis perkahwinan. Moga tip ini dapat dijadikan panduan untuk semua.
Sekarang musim kenduri kahwin. Mari baca beberapa perkara tentang kenduri kahwin yang perlu kita tahu:
1. Paling penting, jangan berkecil hati bila anda tidak dijemput walaupun oleh kawan yang anda anggap dekat atau rapat. Barangkali majlis diadakan untuk bajet yang terhad. Barangkali mereka betul-betul terlepas pandang. Barangkali memang dikhususkan untuk keluarga sahaja. Berjimat ketika majlis kahwin adalah sangat bagus kerana wang yang ada boleh digunakan untuk perkara yang lebih perlu selepas kahwin nanti.
2. Jangan berpakaian keterlaluan ketika ke majlis kahwin. Ianya juga bukanlah tempat untuk berlumba menunjukkan rantai labuh dan gelang besar. Dan cubalah elakkan dari memakai pakaian melebihi dari baju pengantin. Solekan juga sebaiknya biarlah sederhana. Maafkan saya sahabat wanita semua. Tetapi “less is more”…. (Melainkan jika ada tema tertentu dan anda mahu berpakaian mengikut tema).
3. Jika hidangan dalam bentuk “buffet” ambillah makanan yang boleh anda makan sahaja. Jangan ambil terlalu banyak ya. Kemudian ditinggalkan sahaja di meja kerana tidak dapat dihabiskan. Walaupun ianya percuma, tetapi cubalah elakkan pembaziran. Ajarkan anak-anak tentang ini.
4. Jangan mengeji jika makanan kurang enak atau tidak mengikut selera anda. Jika tidak suka, jamah sedikit dan simpanlah kata-kata tidak baik di dalam hati sahaja. Syukur untuk setiap rezeki yang Allah beri. Syukur kita dijemput.
5. Tinggalkan meja makan dalam keadaan baik. Usah tinggalkan sisa makanan dan longgokan tisu di meja makan.
6. Usah berkecil hati jika tuan rumah tidak sempat datang ke meja anda. Atau kelihatan tidak cukup tersenyum kepada anda. Biasanya tuan rumah sangat keletihan. Bahkan orang kata seolah “dah tak nampak orang”…. Pergilah kepada tuan rumah dan ucapkan terima kasih.
7. Jika mampu, boleh hulurkan hadiah dalam bentuk wang ringgit. Ianya seperti buah tangan. Memberi wang tunai adalah lebih mudah dan boleh digunakan oleh tuan rumah atau penganti untuk perkara yang perlu. Untuk lebih manis, masukkan wang pemberian dalam sampul.
8. Biarpun hari kenduri, jangan lupa tanggungjawab kepada Ilahi. (Jangan “skip” solat).
9. Seboleh mungkin, cubalah untuk memenuhi undangan tanpa memilih sama ada majlis diadakan di kampung dalam suasana yang sangat sangat sederhana atau di hotel yang besar ternama.
Saya pernah hadir ke majlis kenduri kahwin di sebuah kampung. Ianya sebuah majlis kenduri yang sangat sederhana. Hanya ada sebuah khemah kecil dipasang. Lauk kenduri adalah Singgang Keladi, Gulai Daging Kerbau, Sambal Belacan dan Tembikai sebagai manisan. Ada Air Sirap juga. Alhamdulillah, walaupun berbunyi seperti hidangan ringkas, tetapi sangatlah enak!
Biarpun kendurinya kecil, jemputan boleh hadir tanpa had. Mereka yang dijemput datang seisi keluarga. Stail orang zaman dulu pergi kenduri… begitulah. Jika ada anak lima orang, semua akan datang bersama. Seronok saya tengok.
Majlis kahwin juga adalah tempat berkumpul bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat yang ada. Jadi, raikanlah sahabat yang menjemput anda dengan sebaik mungkin.