Kalau Boleh Elaklah Berhutang Masa Nak Kahwin, Lebih Puas Kumpul Duit Sendiri

Share

Dengar saja perkataan ‘kahwin’ semua pasangan akan tersenyum sampai ke telinga. Namun, bila memikirkan persiapan yang perlu dibuat, seram sejuk dibuatnya. Dari proses merisik sehinggalah berakhirnya majlis kedua-dua belah pihak, wang mengalir laju saja. Mana taknya, zaman sekarang semuanya serba mahal. Itulah yang menyebabkan ramai mahukan cara kumpul duit kahwin, supaya boleh digunakan untuk macam-macam urusan.

Kenapa hantaran dan majlis kenduri sahaja?

Bukanlah mahu kata yang lain tak penting. Cuma dua perkara ini, memerlukan kos yang tinggi. Banyak duit akan dibelanjakan hanya untuk dua perkara ini. Dari sekecil-kecil perkara semuanya melibatkan wang ringgit yang bukannya murah. Namun, yang lebih parah dah tentulah pihak lelaki kerana perlu sediakan wang hantaran selain persiapan majlis sendiri.

Sebenarnya, ikatan yang bakal dibina bukannya diukur dengan mewahnya pelamin yang dihiasi bungaan segar. Bukan juga dilihat pada menu makanan yang menyajikan kambing golek dan sate kambing. Malah, sepersalinan yang mewah dan gah juga tidak bermakna jika hanya pada hari bersejarah itu sahaja mereka kelihatan benar-benar bahagia.

Perlukah majlis kahwin yang ‘grand’?

Kehidupan berumah tangga mula teruji selepas majlis kedua-dua belah selesai dengan gemilangnya. Ya benar, kita perlu meraikan tetamu. Malah, itu juga yang dianjurkan oleh agama. Namun, bukan ke bersederhana itu jauh lebih baik?

Adakah anda sebagai suami atau bakal isteri; mampu menyediakan kelengkapan untuk keselesaan keluarga dan anak-anak kelak? Adakah anda sanggup terus dibebani hutang kahwin sedangkan sudah ada 2 orang anak? Segala persoalan ini memerlukan perancangan rapi sebelum berumah tangga tak kisah bagi pihak lelaki atau perempuan.

Cara kumpul duit kahwin

Justeru, artikel ini akan cuba membantu anda yang sedang dalam kekusutan simpan duit untuk kahwin. Jangan risau, tiada yang mustahil. Yang penting, terus berusaha dan bertawakal. Nah, ini tips untuk bakal pengantin, pasangan yang baru merancang nak kahwin dan bagi yang masih mencari jodoh. Selamat membaca.

Tetapkan matlamat dan niat

Mindset itu penting. Jika sudah bertemu pasangan yang dirasakan sesuai untuk jadi peneman hidup, tetapkan niat untuk berkahwin. Jangan sibuk dating saja. Hidup perlu ada impian dan matlamat. Mungkin anda boleh memasang niat untuk berkahwin dalam 2 tahun lagi. Oleh itu, anda ada masa yang mencukupi untuk simpan duit.

Kerjasama antara keluarga dan pasangan

Pasangan yang akan berkahwin perlu bersikap lebih toleransi antara satu sama lain. Misalnya, keluarga belah perempuan janganlah minta jumlah hantaran di luar kemampuan lelaki.

Janganlah sampai RM15,000 tapi kalau mampu tiada salahnya.

Hantaran tidak diwajibkan dalam Islam. Ia hanyalah budaya turun-temurun untuk bantu persiapan pihak perempuan sahaja. Bakal isteri juga janganlah terikut-ikut dengan orang lain sehingga bakal suami ikat perut setiap bulan.

Buat majlis yang sederhana

Berbincanglah baik-baik untuk melangsungkan majlis yang sederhana dan ikut cara Islam saja. Buat yang perlu dan wajib sahaja, misalnya majlis nikah yang ringkas dan menjemput tetamu untuk meraikan.

Tetamu yang dijemput cukuplah sekadar ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan kenalan yang penting dan rapat. Tak perlu sehingga 2000 jemputan, sehingga tuan rumah pun tak kenal mereka.

Jika ikut cara kumpul duit kahwin ini, pasti akan bangga jika dapat laksanakan majlis yang sederhana.

Beli rumah dulu

Jika ahli keluarga kedua-dua belah pihak telah setuju tentang majlis, maka bakal pengantin perlu buat persiapan. Sebaik-baiknya dari awal lagi mereka perlu berfikiran jauh untuk simpan duit. Tak perlu tunggu selepas majlis risik.

Lelaki perlu fikir tentang rumah yang bakal diduduki, kenderaan dan sebagainya. Aset-aset ini tak perlu terus dibeli lepas kahwin. Tak perlu terburu-buru. Pada awal perkahwinan, boleh saja duduk bersama-sama keluarga lelaki. Malah, boleh juga gunakan kereta yang lama. Namun, jangan pula terus menyusahkan ibu bapa. Belajar hidup berdikari.

Kalau bekerja kerajaan, boleh cuba tengok kelayakan dan gunakan kalkulator LPPSA untuk mengira berapa perlu bayar.

Simpan duit dalam ASB

Antara yang boleh dibuat ialah membuat pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB loan). Cara ini ialah paksaan ke atas diri untuk menyimpan secara disiplin dan sistematik. Tidak susah, login MyASNB sahaja. Segalanya di hujung jari.

Misalnya, anda membuat ASB loan sebanyak RM50,000.00 dan diikat selama 30 tahun. Jadi, bayaran bulanan yang anda perlu bayar ialah sebanyak RM300.00 dengan kadar faedah bank sebanyak 5.2%.

Jika dividen tahunan yang akan diperoleh ialah sebanyak 7.25%, maka anda akan dividen daripada simpanan ASB sebanyak RM3625,000.00 pada tahun itu. Jika anda bercadang untuk berkahwin lagi 2 tahun, maka anda akan dapat hampir RM7250,000.

Duit sebanyak ini sudah dapat membantu hampir separuh persiapan kahwin anda bukan? Itulah antara kebaikan membuat pelaburan ASB.

Simpan duit kahwin dalam Tabung Haji

Selain itu, anda juga boleh membuat simpanan di Tabung Haji (TH). Setiap tahun, TH akan mengagihkan keuntungan yang diperoleh dalam bentuk hibah dan bonus. Malah, anda juga boleh membuat simpanan di bank lain seperti Maybank, AmBank, Affin, Hong Leong, Public Bank dan sebagainya.

Bila dah mula menyimpan, jangan gatal-gatal tangan untuk keluarkan wang pula. Cuba konsisten dalam menyimpan wang. Misalnya, setiap pasangan boleh kongsi duit untuk menyimpan. Jadi, tidaklah berat untuk satu pihak kan? Kalau takut tak tahan godaan, boleh saja berikan kad ATM pada ibu untuk memegangnya.

Buat kerja sampingan, ini cara simpan duit kahwin paling bijak

Ah, ini satu cara kumpul duit kahwin yang paling pantas. Orang kata, biar susah-susah dahulu, barulah boleh bersenang-senang kemudian. Bukannya mudah untuk kumpul duit kan?

Sekurang-kurangnya segala kepayahan ini akan menjadi pengalaman manis untuk dikenang. Pasti anda dan pasangan akan tersenyum sendiri bila terkenangkan susah-payah kumpul duit sama-sama.

Bagi pihak perempuan, anda boleh menjadi dropship tanpa keluarkan modal. Misalnya, anda boleh jual baju kurung dan tudung. Anda menjadi orang tengah untuk buat promosi dan melayan pertanyaan pelanggan. Jika berjaya menjual produk tersebut, dapatlah komisyen.

Anda juga boleh mohon kerja sebagai tutor. Jika berbakat dalam jahitan, boleh ambil tempahan menjahit pakaian. Kalau masakan anda selalu dipuji, apa kata cuba jual makanan pula.

Bagi pihak lelaki, anda boleh jadi pemandu Grab. Bila ada masa terluang, baik bawa kereta. Boleh juga buat duit guna aset sendiri. Kalau berbakat dalam gunting rambut, cuba minta kerja di kedai gunting rambut. Pendek kata, ikutlah kemampuan, bakat dan minat sendiri. Janji dengan cara halal.

Ada banyak kerja part time yang boleh dilakukan, hinggakan yang tidak perlukan modal langsung. Antara mahu atau tidak sahaja.

Buat tempahan semasa ada promosi

Sentiasa merajinkan diri ke Pameran Pengantin yang diadakan di kawasan anda. Biasanya promosi yang diberikan hebat dan harganya jauh lebih murah. Anda perlu membuat tempahan awal dan bayar sedikit deposit.

Di sini, anda boleh mencari pakej perkahwinan yang mengikut bajet termasuk katering, kad kahwin, perkhidmatan fotografi, pelamin, andaman dan sebagainya. Misalnya kalau hendak tempah kad kahwin, tak perlu ambil yang mahal-mahal. Sudahnya hujung nanti akan ke tong sampah juga. Membazir kan?

Malah, kini di media sosial seperti Facebook juga ada banyak page dan group yang memberikan tips dan perkhidmatan untuk majlis kahwin.

Cuma untuk guna cara kumpul duit kahwin dengan teknik sebegini, perlu selalu follow penyedia khidmat kahwin di Facebook dan Instagram selalu.

Buat tabung kahwin

Tabung kahwin ni bukan maksudnya simpan di dalam bank. Simpanan itu anda yang pegang dan ikut kreativiti sendiri. Misalnya, jika anda bawa duit belanja ke tempat kerja sehari sebanyak RM30.00. Duit ini mungkin termasuk duit makan, duit minyak dan sebagainya.

Setiap hari, anda boleh simpan sebanyak RM5.00 iaitu baki dari wang harian itu. Paksa diri untuk menyimpan. Apa jadi pun, wang RM5.00 perlu disimpan. Jika perlu digunakan kerana terdesak atau kecemasan, esoknya gandakan jumlah itu menjadi RM10.00.

Maka, jika setiap hari anda menyimpan RM5, jadi dalam sebulan anda sudah mempunyai RM150. Untuk setahun dah jadi RM1,800, kalau 2 tahun RM3,600. Jika dicampurkan dividen ASB (RM7250,00.00) campur tabung kahwin (RM3,600.00), anda dah berjaya kumpul RM10,850.00.

Itu belum dicampur dengan simpanan gaji kerja tetap dan kerja sampingan serta pendapatan lain lagi. Jangan risau, pasangan yang hendak membina masjid dengan niat kerana Allah akan dimudahkan jalan dan rezekinya.

Perlukah berhutang untuk kahwin?
Kalau boleh, elakkanlah. Selagi kita boleh simpan dengan kudrat sendiri, teruskanlah. Cara kumpul duit kahwin sudah ada. Hanya perlu ikut dan jadi lebih kreatif untuk menambah lebih banyak amaunnya.

Published by
webadmin