Orang lama pesan, kalau dah jadi menantu, kena belajar pekakkan telinga dan jaga mulut daripada salah cakap.
Tak perlu pun nak kecilkan hati dengan kata-kata mentua, berfikir sebelum kata-kata dan baiki cara melayan bagi mentua selesa dengan kita.
Selagi boleh baiki, teruskan untuk menjadi anak menantu terbaik dan jadilah diri sendiri.
Andai kata suatu masa ditakdirkan hidup sebumbung dengan mentua, bersyukurlah kerana dapat peluang lebih dekat mengenali hati budinya. Anggap sahaja seperti ibu sendiri.
Perkongsian daripada Siti Suryani Yaakob bercerita tentang bagaimana menantu sanggup ketepikan privasi semata-mata untuk menjaga mentua. Jangan banyak kerenah, jaga mulut, semuanya akan jadi senang.
Dulu belilah rumah besar sikit. Ingat mak ayah nanti sudah tua nak duduk dengan saya.
Tapi tak. Mak saya sekarang tinggal dengan adik saya. Anak lelaki dia. Sudah tentu di rumah itu ada isteri pada adik saya. Menantu perempuan dia.
Orang kata payah selalu mak mentua nak duduk dengan menantu perempuan tapi tidak.
Mak saya suka duduk dengan adik ipar saya. Adik saya ada anak kecil. Dia boleh buat main. Geng hiking dia pun semua dekat sana.
Lagi satu saya rasa pasal saya cerewet. Pisau bawang lain. Pisau daging lain. Pisau buah lain. Tapi itu bukan salah saya. Mak saya juga yang ajar dulu.
Saya tidak boleh tengok benda bersepah. Sikit pun tak boleh. Jadi tak duduk sekali pun kadang-kadang asyik mengemas. Tapi itu pun bukan salah saya. Mak saya yang ajar juga.
“Baju ini sudah diangkat terus lipat. Bukan payah. Sambil tengok TV boleh lipat. Lama-lama tangguh lagi malas.” Bukan salah saya. Mak saya juga punya kerja.
Sinki. Lagilah. Habis masak habis kemas. Sekali jalan. Jangan bertingkat kotor-kotor dalam sinki. Dua tiga kerja satu masa cepat rehat.
“Kan boleh sambil-sambil. Apa ditenung kari itu sampai gelegak. Sambil tunggu sambil basuh. Cepat siap.” Bukan salah saya. Saya ikut kata mak saya saja.
Tapi bila tinggal dengan menantu ini, saya nampak mak saya merendahkan sikit ekspektasi dia. Baju ke, sinki ke, pisau ke, dia tak cara mana. Dia larat dia tolong buat. Dia tak larat, dia tak bising buat orang penat.
Dan saya juga lihat adik ipar saya tak secerewet saya. Mudah saja dia. Mak saya tak nak masak, dia order. Mak saya potong buah guna pisau daging, dia okay. Mak nak apa saja, dia bagi sedia.
Mereka berdua adalah orang yang ada cara kerja dan pemikiran berbeza yang ‘mentongsampahkan’ segala yang berbeza itu untuk tinggal bersama. Bersama-sama.
Mak saya korbankan segala prinsip dan mulut dia.
Adik ipar saya korbankan privasi dan keinginan dia.
Saya tahu susah. Tapi bila lihat mak mengalah dan adik ipar tak bermegah, maka saya nampak semuanya jadi mudah.
Rumah itu tiada siapa nak lebih berkuasa. Anak lelaki kena ikut aku sebab aku ibu. Atau suami kena lebihkan saya sebab saya isteri dia.
Saya kira bila jadi menantu saya kena jadi seperti adik ipar saya. Jangan banyak cara. Pekakkan telinga. Butakan mata. Mulut kena jaga.
Juga sampai satu masa nanti saya kena jadi mak mentua seperti mak saya. Jangan banyak cara. Pekakkan telinga. Butakan mata. Mulut kena jaga.
Semoga Allah berkati mereka berdua. Orang yang banyak berkorban dan berbuat baik pada sesama mereka. Syurgalah buat pengorbanan kamu berdua hendaknya.
Sumber: Siti Suryani Yaakop