Bagi pasangan yang baharu berkahwin, anda digalakkan untuk memujuk pasangan agar ia menjadi satu kebiasaan dalam rumah tangga. Bila pasangan merajuk mesti ada sebab yang tidak kena.
Memujuk memerlukan kemahiran tertentu. Adakalanya pelbagai cara memujuk pasangan tetapi anda masih gagal memujuk sehingga menyebabkan rajuk pasangan berpanjangan.
Jangan pening, jika pasangan merajuk apa kata anda cuba ikut cara psikologi ini. Gerenti pasangan cair!
LANGKAH 1. Tuning in atau kenal pasti emosi pasangan
Terlebih dahulu, sebelum melakukan apa-apa tindakan, kenal pasti dahulu emosi pasangan anda ketika itu dengan ‘tune in’. Saya berikan analogi mudah. Ingat tak kita pada radio lama?
Radio zaman atuk atau ayah kita? Radio lama terpaksa di ‘tune’ secara manual untuk membolehkan kita menjumpai frekuensi yang sesuai dengan siaran radio kegemaran kita.
Puas kita memusingkan tombolnya agar frekuensi betul-betul bersesuaian dan membolehkan siaran yang dimahukan kedengaran jelas.
Begitulah juga dengan cara menangani pasangan kita. Kita cuba untuk ‘tune in’ dengan frekuensi pasangan kita.
Kenal pasti emosi pasangan anda dengan memandang tepat pada matanya dan bertanya padanya secara lembut, “Adakah awak kecewa? Marah? Sedih? Atau sekadar merajuk?”
LANGKAH 2. Berhubung dengan menerima dan mendengar
Cuba selami perasaan pasangan anda. Bertanya secara lembut apa yang menyebabkan dia berperasaan sebegitu. Lebih elok sekiranya anda memeluknya dan mendengar apa sahaja luahan hatinya.
Dalam pergaduhan, selalunya isteri kerap menangis. Sambil memeluknya, katakan kepadanya, “Tidak mengapa untuk menangis, tidak mengapa untuk marah”. Cuba mendengar dengan tenang apa yang cuba disampaikan oleh pasangan anda, walaupun ada antaranya anda tidak bersetuju.
Ads
Simpan dahulu apa yang ingin anda katakan. Buang terus perasaan untuk menang. Dengar dan menerima apa yang si dia mahu luahkan dengan setia.
LANGKAH 3. Reflek
Tunjukkan empati anda. Pastikan si dia mengetahui yang anda sangat memahami perasaannya. Kemudian, minta maaf dengan pasangan anda. Sekiranya anda seorang isteri, cium tangan suami anda.
Bagi suami pula, cium dahi isteri anda. Sebaik sahaja pasangan anda sudah bertenang, bolehlah anda menjelaskan sebab sebenar apa jua tindakan anda.
Mengapa anda memilih warna hitam berbanding warna krim untuk sofa baharu anda? Mengapa anda terlupa memasukkan baju dalam bakul kain kotor pagi tadi? Mengapa anda terlupa membasuh pinggan pagi tadi? Mengapa anda pulang lewat dari tempat kerja hari ini? Aatau apa sahaja.
Terangkan dengan lembut dan tenang agar tidak mewujudkan pergaduhan baharu pula. Sekiranya pasangan tidak menyukai dengan beberapa perangai anda, tekadkan keazaman untuk berubah. Sekali sekala, cuba berjenaka dengan pasangan.
LANGKAH 4. Memujuk
Kebanyakan daripada kita lebih suka dipujuk semasa kita merajuk. Jangan biarkan kononnya supaya pasangan cool down baharu anda nak pujuk. Jika ditunggu, dikhuatiri pelbagai prasangka buruk bermain di hatinya.
Ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang suka apabila suami isteri bergaduh. Dari perkara kecil, pasti akan bercambah menjadi perkara besar. Jangan sekalipun merasakan bahawa itu perbuatan sia-sia. Ketahuilah, ada pahala memujuk yang Allah sediakan.
Ads
Jadi, bagaimana untuk memujuk pasangan anda?
1) Puji pasangan
Apabila bergaduh, kita kerap terlupa segala kebaikan yang dimiliki oleh pasangan. Disebabkan oleh satu perkara kecil yang menyebabkan kita marah, segala keburukan pasangan kita akan diungkit.
Elakkan melakukan perkara tersebut. Puji pasangan anda tentang apa jua yang anda sukakan padanya. Cantik, bergaya, pandai masak, comel, manja. Atau kuat, bergaya, rajin menolong di dapur, pandai melayan anak, kacak. Apa sahaja.
2) Beri hadiah
Hadiah merupakan antara cara yang sangat berkesan untuk memujuk pasangan terutamanya untuk kaum wanita. Tidak perlu dengan hadiah yang mahal. Hadiah yang kecil pun sudah memadai sekadar untuk memberitahunya yang anda sangat menyayanginya.
3) Mengajaknya melakukan apa yang pasangan suka
Ads
Suami saya kerap mengajak saya melakukan aktiviti yang saya sukai untuk meredakan pergaduhan. Berbasikal, bermain ping pong atau memasak bersama-sama. Apa sahaja yang saya sukai.
Semestinya saya akan menolak untuk menguatkan keegoan saya. Namun beliau memaksa. Walaupun penuh dengan keegoan, saya akui dengan melakukan aktiviti yang saya sukai bersamanya, perasaan marah tersebut akan berkurang sedikit demi sedikit.
4) Beri kejutan
Bawa pasangan anda keluar makan malam, membawanya bercuti ke pusat peranginan, hantar sejambak bunga di pejabatnya atau apa sahaja bentuk kejutan yang boleh menggembirakan pasangan.
5) Mengucap kata-kata indah
Kaum lelaki tentunya terkenal dengan pandai mengucapkan kata-kata indah. Sekiranya anda pandai berkata manis sewaktu di awal perkenalan ketika anda ingin memperisterikannya dahulu, tidak mustahil untuk anda mengaplikasikan skil yang sama untuk memujuk pasangan.
6) Bergurau senda
Cuba buat pasangan anda ketawa. Anda pasti mengetahui apa yang mampu membuatkan pasangan anda ketawa. Buat lawak, menggeleteknya secara manja ataupun buat gaya yang kelakar.
7) Sentiasa berdoa
Berdoa adalah cara yang paling penting dalam meredakan suasana rumah tangga yang ribut. Namun ini tak bermakna anda hanya berdoa tatkala ditimpa masalah sahaja. Sentiasalah berdoa demi kebahagiaan rumah tangga. Lazimkan diri anda berdua dengan banyakkan menyebut zikir Ya Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tarikh majlis semakin dekat dan perasaan anda semakin gementar untuk menempuh hari besar anda. Anda perlukan sesuatu yang mampu menaikkan keyakinan anda. Di bawah disenaraikan beberapa persediaan yang boleh anda lakukan dalam minggu-minggu terakhir sebelum majlis yang mampu memberi kelegaan kepada anda dan seterusnya meningkatkan keyakinan anda, selain membantu melancarkan lagi perjalanan majlis anda.
1. Menyemak Ramalan Cuaca
Walaupun mungkin anda telah pun memeriksa ramalan cuaca lama dahulu semasa ingin memilih tarikh yang bersesuaian, ada kemungkinan ramalan itu telah berubah atau dikemaskini sesuai dengan perkembangan terbaru yang diterima oleh pakar kaji cuaca tersebut. Makanya, dengan memeriksa ramalan kaji cuaca yang terkini mampu memberikan anda persediaan yang lebih baik dan membuatkan anda lebih yakin.
2. Spa & Saloon
Manjakanlah diri anda dan pasangan dengan rawatan Spa ataupun salon yang bersesuaian. Kemaskan rambut dan yang mana bersesuaian. Mungkin juga professional shave untuk pengantin lelaki agar anda nampak lebih segak dan bergaya di hari majlis nanti. Namun, elakkan untuk lakukan apa – apa rawatan muka pada tempoh ini. Rawatan muka seharusnya dilakukan lebih awal kerana sekiranya anda lakukan rawatan muka di minggu – minggu akhir ini, siapa tahu mungkin anda mendapat alahan disebabkan produk tidak sesuai dengan kulit muka anda dan sebagainya.
3. Kekemasan Diri
Kekemasan diri adalah tanggungjawab kita sendiri. Jika ada bulu hidung yang dah ‘melebihi paras’ tu, cabutlah. Potong kuku, facial hair yang tidak dikehendaki dan jangan lupa tidur dengan cukup untuk elakkan muka sembam. Jika ada modal lebih, tidak salah sekiranya anda laburkan sedikit untuk lakukan rawatan pemutihan gigi atau rawatan gigi lain.
4. Memberi Taklimat Ringkas Kepada Keluarga
Ambil sedikit masa untuk kumpulkan keluarga untuk anda berikan taklimat ringkas berkenaan perjalanan majlis yang telah anda rancang. Kebiasannya, ini dilakukan ketika semua ahli keluarga telahpun berkumpul bagi meraikan majlis anda yang akan tiba satu atau dua hari lagi.
5. Berdoa dan Bertawakal
Akhir sekali, banyakkan doa dan bertawakal kepada tuhan agar majlis anda berjalan lancar sepertimana yang telah dirancang dan sentiasa redha dengan perkara luar kawalan yang mungkin akan mencacatkan majlis anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mungkin pada zaman sekarang kita jarang mendengar pasangan yang mendirikan rumah tangga tanpa menjalin kasih terlebih dahulu. Istilah “couple” sering kita dengar di kalangan remaja dimana ia adalah tempoh untuk mengenali pasangan dan seterusnya membawa hubungan tersebut ke fasa seterusnya.
Namun, dalam islam tiada istilah “couple” dan perkara tersebut dilarang sama sekali kerana ia boleh membawa kepada perkara maksiat atau perkara yang dilarang dalam islam. Namun Islam menyediakan sebuah proses perkenalan menuju pernikahan iaitu mengenali calon pasangan hidup, melalui proses yang sering disebut taaruf.
Persoalannya, bolehkan cinta muncul dalam taaruf yang begitu singkat ini? Hanya memandang sudah mampu membuatkan seseorang jatuh cinta? Apa yang harus diungkapkan kepada calon pasangan ketika taaruf? Untuk mengenali calon pasangan hidup dengan lebih mendalam, jom kita lihat 4 cara kenali bakal pasangan hidup tanpa perlu bercinta!
1. HARAPAN DAN PRINSIP HIDUP
Warna kehidupan kelak ditentukan dengan visi dan misi suatu keluarga. Terutama si suami kerana dia adalah qowwam dalam suatu keluarga. Sebagai pemimpin dia laksana nakhoda sebuah bahtera. Oleh itu, setiap calon pasangan harus mengetahui harapan dan prinsip hidup masing-masing.
Pertanyaan tidak harus diiringi dengan kata-kata sedemikian rupa seperti, “Jika awak menjadi isteri saya nanti, harapan saya semoga kita semakin dekat kepada Allah“, atau, “Jika awak menjadi isteri saya nanti, mari bersama mewujudkan keluarga sakinah, rahmah dan mawaddah.“
Kita boleh menggunakan bahasa yang lebih verbal, seperti, “Apa yang kamu rancang bila sudah berkahwin nanti“. Bahasa ini lebih sopan dan tidak menunjukkan harapan terlebih dahulu. Segalanya masih banyak kemungkinan.
2. KEADAAN KELUARGA
“Pilihlah calon suami / isteri yang baik demi keturunanmu, sebab pengaruh keturunan itu sangat kuat” -Hadis Riwayat Abu Daud
Jelaskanlah kepada calon pasangan tentang anggota keluarga masing-masing. Misalnya tentang berapa jumlah saudara kandung kita, anak ke berapa, bagaimana tahap pendidikan, pekerjaan dan lain-lain. Perkara ini untuk melengkapkan informasi mengenai calon pasangan kita. Dari informasi ini anda boleh mengetahui siapakah calon-calon pasangan hidup anda. Bagaimanakah latar belakang keluarganya dan perkara-perkara lain yang penting untuk anda ketahui.
3. KETAKWAAN PASANGAN
Ketakwaan disini bermaksud ketaatan kepada Allah. Ini kerana, apabila seorang lelaki itu senang, dia akan menghormati isterinya, dan jika dia tidak menyenanginya, dia tidak akan berbuat zalim kepadanya. Tetapi bagaimana caranya menilai lelaki itu bertakwa atau tidak?
Tanyakan kepada orang-orang yang dekat dengan dirinya, misalnya sahabat, saudara atau sahabatnya tentang ketaatannya menjalankan ketentuan yang telah menjadi rukun Iman dan Islam dengan jujur. Contoh ketaatan misalnya tentang solat 5 waktu, puasa Ramadhan, atau pula bagaimana sikapnya kepada jiran tetangga atau orang yang lebih tua, dan lain-lain.
Apatah lagi bila lelaki itu juga rajin melakukan ibadah sunat, nampaknya tidak perlu ditawar-tawar lagi untuk dipilih menjadi pasangan hidup.
4. PERKARA YANG DISUKAI DAN TIDAK DISUKAI
Dari awal sebaiknya dijelaskan apa yang disukai, atau apa yang kurang disukai. Sehingga nanti pada saat telah menjalani kehidupan berumahtangga dapat saling memahami, kerana telah dijelaskan dari awalnya. Dalam pelayaran bahtera rumah tangga perlu saling mengerti. Contoh paling mudah, isteri yang suka masakan pedas, sesekali masakannya janganlah terlalu pedas, kerana suaminya kurang suka.
Suami yang memang tidak suka berkemas kerana lama menjadi bujang, setelah berkahwin mungkin boleh belajar lebih kemas. Semua ini menjadi mudah dilakukan kerana telah dijelaskan dalam taaruf. Namun harus diingat bahawa perkahwinan itu bukan untuk merubah pasangan. Namun ia juga bukan untuk terus bersikap seolah-olah belum berkahwin.
Perubahan sikap dan keperibadian dalam tahap tertentu adalah sangat wajar. Juga hendaknya perubahan yang terjadi adalah natural, dan tidak saling memaksa.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kebanyakan wanita tidak sedar mereka mengalami masalah peranakan jatuh, apatah lagi jika ia hanya tahap 1 (1° UV prolapse) yang kebiasaannya tidak mempunyai apa-apa gejala. Keadaan ini pada kebiasaannya tidak mendatangkan sebarang masalah pada wanita terbabit. Masalah peranakan jatuh hanya disedari apabila mereka jumpa doktor untuk pemeriksaan lain seperti pap smear.
Wanita yang mempunyai masalah peranakan jatuh Tahap 2 atau 3 (2°/3° UV prolapse) mungkin akan berasakan hubungan seks akan menjadi tidak selesa. Mereka juga mengalami luka (ulser) pada permukaan rahim yang jatuh disebabkan ketiadaan sistem pengaliran darah efektif atau disebabkan geseran pada permukaan rahim,” jelasnya. Dr Nur Azurah berkata, bagi wanita yang mempunyai masalah peranakan jatuh Tahap 2 atau 3 (2°/3° UV prolapse), selain dapat melihat sendiri bonjolan yang keluar dari lubang faraj, mereka juga sering memberi gambaran seperti sesuatu turun ke bawah atau berasa ngilu pada bahagian kelamin.
Bonjolan yang terkeluar dari lubang f*r*j kadang-kadang mengganggu ketika mengadakan hubungan seksual dengan pasangan. Sering kali juga wanita terbabit mengadu sakit belakang.
“Masalah peranakan jatuh sering kali berkait rapat dengan kejatuhan dinding faraj. Ini menyebabkan kejatuhan pundi kencing (yang berada di dinding depan f*r*j ) dan usus d*b*r (yang berada di dinding belakang f*r*j).
Keadaan ini boleh menyebabkan wanita itu menghadapi kesukaran atau merasa tidak puas ketika membuang air kecil atau air besar. Adakalanya, mereka perlu menolak bonjolan yang terkeluar masuk balik ke dalam sebelum dapat membuang air kecil atau air besar,” katanya.
Mengenai kaedah rawatan perubatan Melayu bagi menangani masalah rahim jatuh dirawat menggunakan kaedah mengurut atau bersengkak, Dr Nur Azurah berpendapat amalan itu sudah menjadi lumrah di kalangan masyarakat Melayu selepas wanita bersalin. Ini berikutan, menurut pendapat orang dulu amalan itu boleh membantu dalam menaikkan peranakan yang telah turun selepas bersalin.
Bagaimanapun, Dr Nur Azurah berkata, setakat ini tiada kajian yang dapat membuktikan keberkesanan amalan berkenaan.
Jika dikaji, kaum lain seperti Cina dan India tidak mengamalkan bersengkak, namun jumlah mereka yang mengalami masalah peranakan jatuh adalah lebih kurang sama dengan kaum Melayu.
“Secara tidak langsung, ini menunjukkan yang amalan itu mungkin tidak berperanan penting dalam menghindar masalah peranakan jatuh. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa mengurut secara amnya dapat memberikan ketenangan minda dan keselesaan tubuh pada wanita,” ujarnya.
Begitu juga dengan amalan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti jamu yang didakwa boleh ‘menaikkan’ rahim, Dr Nur Azurah menegaskan, setakat ini tiada bukti sahih yang dapat menyokong fakta itu, sebaliknya menurut kajian perubatan, rahim akan mengecut dan kembali ke kedudukan asal dalam tempoh enam minggu selepas bersalin.
“Sama ada pengambilan jamu membantu dalam proses menaikkan rahim masih tidak dapat ditentukan. Tetapi sapuan krim estrogen pada faraj wanita menopaus dikatakan, mungkin mampu menguatkan otot pelvik. Namun, penggunaannya dalam merawat masalah peranakan jatuh masih tidak dapat dibuktikan secara kajian,” tegasnya.
Dr Nur Azurah berkata, wanita yang mempunyai masalah peranakan jatuh 1° UV prolapse biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Tetapi mereka digalakkan mengamalkan senaman pelvik (Kegel exercise). Senaman itu dapat membantu menguatkan otot pelvik dan menghindar dari masalah peranakan jatuh. Bagi yang bermasalah peranakan jatuh 2° atau 3° UV prolapse, rawatan diberi bergantung beberapa faktor seperti usia, gejala yang dihadapi oleh mereka, keinginan untuk mengandung, keperluan seksual, tahap kesihatan serta impak kepada kualiti hidup mereka.
“Wanita yang masih muda dan inginkan anak atau mereka yang sudah menopaus tetapi memilih untuk tidak menjalani pembedahan, gegelang digunakan untuk menyengkak peranakan supaya ia tidak jatuh ke dalam faraj. Ada pelbagai saiz gegelang, perlu dipakai setiap hari dan dicuci setiap tiga hingga empat bulan sekali.
“Bagi mereka yang sudah menopaus dan mempunyai tahap kesihatan yang bagus, pembedahan histerektomi (buang rahim) adalah pilihan yang terbaik. Pada masa sama, pembedahan pada dinding depan dan belakang faraj boleh dilakukan serentak jika perlu. Wanita yang sudah menopaus tetapi tidak mempunyai tahap kesihatan yang bagus, tidak sesuai menggunakan gegelang serta tiada keperluan seksual, pembedahan kecil boleh dilakukan dengan menjahit kedua-dua bibir faraj untuk menghalang peranakan turun. Hanya lubang kecil dibiarkan untuk membolehkan mereka membuang air kecil,” jelasnya mengenai beberapa pilihan kaedah rawatan boleh dibuat bagi menangani masalah peranakan jatuh.
Dr Nur Azurah berkata, antara kes pesakit yang berdepan masalah peranakan jatuh dan pernah dirawatnya ialah wanita berusia 61 tahun dan sudah menopaus sejak lapan tahun serta mengidap darah tinggi yang terkawal. Wanita itu mengadu, ada bonjolan yang keluar dari f*r*jj. Bonjolan itu akan lebih kelihatan semasanya berdiri atau membuang air besar. Bonjolan itu boleh dimasukkan semula jika dirinya berbaring.
Untuk mengelakkan masalah peranakan jatuh berlaku, Dr Nur Azurah menyarankan wanita mengamalkan cara hidup yang sihat dengan memastikan mereka mempunyai berat badan yang ideal, tidak merokok untuk menghindar dari batuk kronik, memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh mengelakkan dari sembelit serta merancang kehamilan supaya tidak terlalu rapat dan kerap menggunakan kaedah perancang keluarga yang efektif.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!