Setiap pasangan yang baru berkahwin pastinya mahu hidup selesa di dalam rumah sendiri, penat menumpang rumah mentua yang penuh dengan drama juga rumah sewa yang tidak berkesudahan dibayar. Jadi cuba berikan sedikit masa baca perkongsian Raisul Fadhla Safiruddin yang berjaya memiliki rumah sendiri dengan bayaran yang relevan dan tidak membebankan.
Nak beli rumah sebenarnya mudah. Untuk lulus pembiayaan pun tak begitu susah.Yang agak payah adalah macam mana nak pastikan ansuran bulanan hutang rumah itu boleh dibayar sampai habis selama 30-35 tahun.
Jadi sebelum beli rumah, kita terlebih dulu perlu ukur baju di badan sendiri. Berapa harga rumah yang mampu dibeli?
Sekarang berapa sewa rumah anda sebulan? Dan berapa RM anda boleh simpan secara konsisten tiap bulan? Sebelum saya dan isteri beli rumah pertama, kami menyewa RM300 sebulan kat Taman Panchor Jaya, Seremban dan mampu simpan minimum RM900/bulan untuk tabung deposit rumah. RM300 + RM900 = RM1,200
Maknanya kami mampu bayar RM1,200/bulan untuk ansuran rumah. Dengan ansuran RM1,200 sebulan, kami mampu beli rumah harga RM240k-260k. Cari punya cari, akhirnya kami beli rumah teres 2 tingkat unit corner lot kat Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai. Mana dapat duit untuk bayar deposit dan kos-kos lainnya?
1. Saya dan isteri berkahwin pada Jun 2010, beli rumah Disember 2011. Kalau sebulan simpan RM900, setahun dah RM10k lebih. Bila dapat bonus, simpan lebih lagi. Kalau bersungguh nak beli rumah, kena sanggup bersusah.
2. Di samping meyimpan RM900/bulan daripada gaji, ada side income juga sikit-sikit buat tambahan simpanan walaupun tak konsisten. Biasalah berniaga kecil-kecilan. Ada hari untung, ada hari cuma balik modal, kadang-kadang rugi. Tapi pengalaman daripada situ sememangnya mahal dan amat bernilai. Cubalah.
3. Saya dan isteri juga ada simpan emas beberapa puluh gram. Tak banyak mana pun. Masa nak beli rumah dulu ada yang dah jual dan ada yang buat gadai sekejap. Sekarang masih simpan 20 gram dan 1 dinar. Perak pun ada simpan juga untuk koleksi. Nak jual, tak untung mana. Huhu.
4. Keluarkan akaun 2 KWSP. Adalah juga beberapa ribu. Yang ini memang keluarkan semua sampai habis licin. Huhu.
5. Dalam Tabung Haji isteri pun ada beberapa ribu. Ini duit yang disimpan sejak masih kecil lagi. Daripada simpan sahaja tak buat apa. Baik guna untuk beli rumah kan? Hehe.
6. Ayah mentua offer bagi pinjam duit sebagai backup. Guna juga sekadar perlu. Alhamdulillah, dah lama habis bayar.
7. Kalau nak kaya, kena miskin alasan. Kalau nak banyak menyimpan, kena banyak berjimat.
Kami tak ada honeymoon mewah, tak pernah travel ke Eropah, sekadar guna gadget murah.
Dulu saya tiada kereta, ke mana-mana naik kapcai lama, isteri pula naik kereta Viva sahaja. Perabot kat rumah sekadar ada, jarang beli baju baru walaupun untuk raya.
Makan yang agak mahal macam KFC dan Pizza hanya sekali sekala. Bahkan hari ini anak dah nak masuk 5 orang, bajet makan kami sekeluarga dalam sehari hanya sekitar RM35 sahaja.
Macam-macam lagi kami buat untuk berjimat. Sekarang walaupun hidup dah agak selesa, kami masih lagi berbelanja secara bersederhana. Tak nampak pun macam orang kaya.
Tahun 2017 lepas dulu, saya ada beli satu rumah pangsa harga RM88k. Sekarang dalam proses jual dengan harga RM124k, market value RM130k. Modal beli rumah itu sekitar RM16k sahaja.
Dapat RM36k dalam masa 3 tahun, ok lah kot. Ibaratnya saya dapat simpan RM1,000 setiap bulan dalam bentuk kenaikan harga rumah.
Pesona Pengantin : Diharapkan dengan perkongsian ini membuatkan anda sebagai suami isteri tahu bagaimana step terbaik untuk memiliki rumah sendiri nanti. Selamat menyimpan semua.
Kredit : Facebook Raisul Fadhla Safiruddin