Kalau Nak Merisik Bakal Jodoh, Kena Ada Caranya. Cukup 4 Ni Dah Ok!

Share

Islam tidak menghalang seseorang untuk merisik calon pilihannya. Bahkan ianya disarankan oleh agama Islam. Merisik juga adalah termasuk menyiasat tentang hal keperibadian bakal calon dan rupa fizikal calon.

1. Pilih Wakil Yang Sesuai

Jika anda tidak merisik secara ‘direct’ kepada calon pilihan, maka anda harus memilih wakil yang sesuai untuk menyatakan hasrat hati anda itu. Wakil yang sesuai ialah seperti ahli keluarga anda sendiri. Ibu bapa mahupun adik-beradik anda boleh menjadi wakil untuk merisik calon pilihan anda. Selain itu, wakil juga boleh dilantik di kalangan sahabat-sahabat yang anda ‘thiqah’ (percaya) dan boleh memegang amanah.

2. Menjaga Batas Dan Kelakuan

Selain itu juga, ketika dalam proses merisik anda perlu menjaga batas dan kelakuan. Mengajak keluar berdua-duaan atas nama merisik dan melakukan perbuatan yang tidak selari dengan Islam adalah dilarang. Islam memberi kebenaran untuk merisik namun tetap ada hadnya. Jika mahu bertanyakan soalan adalah lebih baik bertanyakan kepada ahli keluarganya dahulu atau sahabat-sahabat terdekat calon.

Jika terpaksa menanyakan secara ‘direct’ kepada calon, maka jagalah adab dan kelakuan. Elakkan bertanya soalan-soalan yang tidak perlu dan tidak penting.

3. Jangan Terlalu Berharap

Merisik merupakan proses yang anda tidak pasti sama ada calon pilihan anda itu akan menerima ataupun menolak risikan anda. Oleh sebab itu, jangan terlalu berharap. Jika terlalu berharap, anda akan kecewa apabila ditolak. Ia mungkin akan menjadi pengalaman pahit buat anda untuk merisik calon pilihan yang lain nanti. Ingat pepatah Melayu, ‘Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor’.

4. Menghormati Keputusan

Jika hasil risikan anda tidak berjaya dan ditolak, maka hormatilah keputusan yang dibuat oleh calon tersebut. Jangan memaksa orang untuk suka dan menerima kita. Mungkin ada sebab anda dan si dia tidak bersama. Terimalah keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan positif. Insya-Allah ada calon yang lebih baik menanti anda.

Sumber : Baitulmuslim

Published by
Anis Nor