Kalau Perempuan Dah Mula Bebel, Ada Sebab Laki Kena Faham!

Share

Perempuan, selalu dikaitkan dengan kuat membebel. Walaupun tidak semua, tetapi itulah perbuatan yang selalu dikaitkan dengan perempuan terutamanya yang mempunyai tanggungjawab dan keluarga.

Bagi lelaki yang tahan dengan bebelan perempuan pasti tiada masalah untuk mengharunginya. Namun bagaimana pula dengan lelaki yang pantang dibebel? Pasti panas telinga mendengar. Pasti pertanyaan ini sering bermain di fikiran lelaki, “Kenapalah awak ni suka sangat membebel?”

Baca perkongsian Dr Taufiq Razif ini kenapa perempuan suka membebel. Menurutnya, ada maksud tersirat di sebalik bebelan itu yang laki kena faham.

KENAPA PEREMPUAN BEBEL?

Serius kalau isteri saya dah mula bebel, saya jadi simpati kat dia. Perempuan mana tak suka bebel kan tapi sebenarnya ada maksud tersirat di sebalik bebelan tu yang laki tak faham.

Kalau orang perempuan dah mula bebel ni ada beberapa sebab yang kita sebagai laki nak kena faham. Kemungkinan ada keperluan biologis dan fisiologis si dia yang tak terpenuhi. Contohnya isteri kita:

1. KURANG REHAT : Bayangkan perempuan yang berkerjaya ni terpaksa fikirkan banyak benda sekali gus dalam satu masa. Pergi kerja, fikiran masih kat ampaian dan dapur. Balik rumah, kerja pejabat tak siap lagi. Memang otak perempuan ni hebat. Mereka boleh multitasking tapi kekuatan mereka pun ada batasnya.

Lebih dahsyat lagi kepenatan suri rumah sebenarnya. Mereka sentiasa dalam mood bekerja 24 jam sehari. Bayangkan kepenatan kudrat dan beban emosi yang mereka terpaksa tanggung.

2. KURANG TIDUR : Saya percaya lelaki yang kurang tidur pun akan jadi moody apatah lagi perempuan yang sepatutnya perlukan waktu tidur yang lebih lama. Mengikut National Sleep Foundation, perempuan memerlukan tidur 20 minit lebih banyak daripada lelaki disebabkan otak mereka yang lebih kompleks. Tapi hakikatnya, kat rumah memang kebanyakan lelaki yang berdengkur dulu daripada isteri dan anak-anaknya.

3. KURANG DISAYANGI :

Benda ni nampak remeh tapi sebenarnya benda ni la antara benda yang paling besar sekali. Cuba periksa diri masing-masing. Berapa kali kita pegang tangan pasangan kita hari ni? Pegang tangan sebab nak pergi kerja dan sebab baru habis solat je kan? Oh tidak. Si dia perlukan lebih daripada itu untuk mengisi tangki emosinya. Ingat! isteri yang jarang disentuh dan dipeluk akan cepat merasa terancam dan kekosongan!

4. SEDANG KESAKITAN : Tak kisahlah kesakitan emosi ataupun kesakitan fizikal, orang perempuan ni paling susah nak berterus terang! Dia akan bagi ayat kiasan tahap level PhD punya yang mana kita lelaki yang level Diploma ni susah sikit nak hadam.

Itu sifat kaum Hawa yang kita kaum Adam kena faham. Mereka takkan cerita direct! Jadi untuk membuatkan kita faham masalah dan kesakitan diorang, si dia akan bebel je tanpa mereka sedar pun sebenarnya.

InsyaAllah. Kalau kita kaum Adam boleh faham benda ni rumah tangga akan jadi lebih best dan menyeronokkan sebab kita tahu apa nak kena buat.

Isteri saya kalau dah mula bebel saya dah tahu dah si dia tengah penat. Jadi saya amik dan jaga semua anak-anak saya, dan saya suruh isteri saya tu tidur waktu tu juga. Ajaibnya, lepas bangun je tidur si dia tu akan tersenyum-senyum bahagia!

Jadi, tak perlu nak bermasam muka dah kalau kita tahu camne nak handle emosi dan keperluan orang yang kita cinta. Tolong ajar ilmu ni pada pasangan masing-masing ye supaya masing-masing boleh saling memahami. Bila saling memahami, rumahtangga pun makin berseri. InsyaAllah!

Lepas baca ini, peluklah isteri anda kerana banyak benda dia ingin luahkan kerana dia tahu kita saja tempat luahan terbaiknya. Jadilah telinga yang sentiasa mendengar.

Published by
Bella