Jurusolek memainkan peranan yang cukup penting dalam menaikkan seri wajah seorang wanita. Solekan yang cantik dan mulus pastinya menjadi idaman sekali gus memastikan raut wajah berseri bagaikan bidadari.
Lazimnya, setiap wanita yang bakal bergelar pengantin ingin memastikan solekan impian menjadi kenyataan. Dari situlah, peranan jurusolek pilihan bakal pengantin akan bertanggungjawab merealisasikan impian solekan tersebut.
Tiar Zainal, nama yang tidak asing lagi dalam dunia solekan. Sentuhan magisnya sering kali mendapat perhatian wanita yang inginkan solekan anggun dan menawan.
Ramai di kalangan selebriti popular antaranya Bunga Citra Lestari, Raline Shah, Scha Alyahya, Nelydia Senrose, Nora Danish, Rita Rudaini, Neelofa, Liyana Jasmay dan ramai lagi sering mendapat sentuhan magis jari-jemarinya dalam mendapatkan solekan yang memukau.
Berpegang dengan pendirian tersendiri dalam solekan, jurusolek terkenal ini berkongsi tip dan pesanan buat bakal pengantin di luar sana!
Berbicara tentang dunia solekan, bagi Tiar, ia salah satu cabang seni. Skop dunia solekan sebenarnya agak luas namun di Malaysia ia agak terhad. Mungkin sedikit terikat dengan budaya masyarakat.
“Sebenarnya dalam setiap solekan yang dilontarkan ada penceritaan yang tersirat. Setiap kali menata rias wajah seseorang, saya akan lihat karakter orang yang saya mekap itu terlebih dahulu. Tugas sebagai seorang jurusolek bukan terlalu mengubah wajah asal si pemilik wajah tetapi menaikkan seri wajah. Kebiasaannya saya akan memberikan cadangan mengikut kesesuaian bentuk dan personaliti wajah individu yang saya rias.
“Untuk mekap majlis perkahwinan misalnya, solekan mestilah sesuai dengan pembawaan pengantin. Sebagai jurusolek, bukannya kita tidak boleh menata rias wajah pengantin mengikut tema tetapi paling penting, kita perlu bijak menyesuaikan gaya solekan dengan konsep yang menjadi latar sesebuah resepsi perkahwinan.
“Persepsi bahawa solekan harus mengubah sepenuhnya wajah seseorang mestilah kita ubah. Ini kerana solekan bukanlah ‘topeng’ yang menutupi wajah asal seseorang individu. Sebagai jurusolek, kita perlu bijak ‘membaca’, wajah orang yang kita mekap. Dari situ baharulah kita boleh ‘bercerita’ melalui hasil karya solekan yang diterjemahkan pada sekujur wajah.
Dah tahu tip daripada Tiar Zainal, jom kita lihat wajah pengantin yang pernah ditatarias oleh beliau. Memang superb!