Hidup di dunia tidak pernah mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Ada yang diuji dengan penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang disayangi, dihimpit dengan keperitan kewangan, berhadapan kebencian orang dan pelbagai ujian lagi.
Manusia berasa resah kerana tidak dapat berpaut kepada dahan yang kukuh. Orang beriman akan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT, mengharapkan Allah SWT melindunginya ketika ditimpa bala, tidak bakhil untuk menolong orang lain kerana rezekinya telah ditakdirkan lebih awal.
Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah SWT. Segala keputusan Allah SWT adalah baik sekalipun manusia melihat sebaliknya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah an-Nisa’, ayat 19)
Mengingatkan hakikat inilah Nabi SAW mengajar satu doa, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon berlindung pada-Mu daripada hilangnya nikmat pemberian-Mu, berpalingnya afiat daripada-Mu dan kejutan kemurkaan-Mu dan berhimpun kemarahan-Mu.” (Riwayat Muslim)
Optimis dengan ujian
Syeikh Al-Saadi dalam tafsirnya menyebut, Allah SWT pasti menguji hamba-Nya dengan kesukaran dan kepayahan kerana itu adalah sunatullah yang tidak akan berubah, mereka yang bersabar pasti mencapai kebahagiaan dan kekuasaan.
Setiap Mukmin hendaklah optimis dengan bala dan ujian yang menimpa, jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT tidak memberi sesuatu kepada hamba-Nya untuk melihat reaksinya terhadap ujian.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali-Imran, ayat 26)
Bagi manusia yang diberi kuasa, kehilangan kuasa sesuatu yang tidak disukainya. Dimuliakan, diangkat darjat serta dipuji menjadi rebutan semua orang. Sebenarnya, yang baik dan buruk itu sangat relatif kerana ada keburukan yang membawa kebaikan, begitulah sebaliknya.
Solat sumber segala-galanya
Peringatan kepada manusia, segala yang dimiliki sama ada harta, kuasa atau cinta, ia hanyalah sementara. Allah SWT berhak mengekalkannya atau ditarik bila-bila masa. Oleh itu, sentiasa bersedia dengan hakikat kehidupan ketika mendapat nikmat atau sedang diuji oleh Allah SWT.
Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran dengan menetapkan dalam minda bahawa setiap ujian adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Di samping meyakini bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya hikmah.
Apabila masa terlalu lama dan usaha menjadi sukar, kesabaran manusia menjadi lemah. Oleh itu, di dalam banyak ayat Allah SWT menggandingkan kesabaran dengan ibadat solat kerana solat adalah sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis.
Ia sumber yang memulih tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati. Kerana itu ia dapat memanjangkan hayat kesabaran dan menjadikannya tidak putus, kemudian menambahkan kepada kesabaran itu keredaan, ketenangan dan keyakinan.
Sudah menjadi ketentuan Allah SWT, setiap usaha besar tidak akan berhasil kecuali dengan keteguhan hati dan kesungguhan. Kunci semua itu adalah sifat sabar dan sesiapa yang bersabar, maka pasti telah mengikut ketentuan Allah SWT.