Memiliki rumah impian dengan keluasan dan konsep interior yang cantik semestinya menjadi idaman semua. Apatah lagi sebaik mendirikan rumahtangga, sudah tentu pasangan suami isteri mahu mendiami rumah sendiri untuk memulakan kehidupan berkeluarga. Tidak kira sama ada memiliki kediaman sendiri atau menyewa, ia perlulah dilengkapi dengan kemudahan asas untuk memastikan kualiti hidup lebih terjamin.
1.PISAU DAPUR
Pisau memang penting tetapi tidak perlulah sampai semua jenis dan bentuk hendak dibeli hanya kerana anda sangat teruja untuk memasak. Alih-alih pisau yang sama juga digunakan. Belilah pisau yang diperlukan sahaja.
2. LAMPU TIDUR
Jika anda memerlukan lampu tidur pilihlah jenis yang berdiri (standing lamp) atau indirect lamp supaya tidak mengambil ruang yang terlalu banyak di bilik tidur. Jangan paksa diri untuk membeli dua lampu tidur untuk kedua-dua sisi katil hanya kerana hendak nampak cantik. Apa yang penting ialah keselesaan.
3.PRODUK PEMBERSIH
Kini terdapat banyak produk pembersih di pasaran yang rata-rata menggunakan teknologi terkini. Jika anda bijak, boleh saja memanfaatkan bahan-bahan semula jadi sebagai pembersih. Contohnya, produk pembersih dengan teknologi beraroma lemon boleh digantikan dengan buah lemon saja. Bukan saja selamat bahkan lebih praktikal dan murah.
4. SET KUTLERI
Bagi mendekorasi ruang makan biasanya kita menyediakan beberapa set kutleri seperti sudu, garfu, pinggan dan napkin. Tetapi tidak perlulah sampai membeli satu set dalam kuantiti yang banyak. Beli mengikut jumlah ahli keluarga anda saja.
5. CADAR DAN SELIMUT
Sebuah katil yang selesa bukan bergantung kepada berapa tebal cadar mahupun selimut yang digunakan. Jangan mudah terpesona dan terpengaruh dengan nafsu untuk membeli barang-barang yang tidak perlu.