Hubungan suami isteri banyak cabarannya. Ada kala suka, ada kala duka, namun kebijaksanaan kedua-duanya sangat diperlukan dalam mengatasi dugaan yang datang sekali gus mengekalkan kemanisan berumah tangga.
Apabila usia perkahwinan sudah melebihi 10 tahun semakin ramai yang malu untuk berdua-duaan dengan pasangan. Ada pula yang sentiasa bercakap dengan intonasi kasar, tidak lagi mahu berpimpin tangan apabila bersiar-siar pada hujung minggu dan lebih menyedihkan situasi tegang itu menyebabkan pasangan semakin kerap berselisih pendapat akibat kurangnya rasa kasih sayang.
Bagi pasangan selebirit Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, tahun ini genaplah 10 tahun usia perkahwinan mereka. Beberapa hari lalu, pelakon dan usahawan Aeril menerusi akaun Instagramnya berkongsi beberapa keping foto makan malam romantik bersama isterinya, Wawa sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-10.
Ternyata kemanisan berumah tangga terpancar di wajah pasangan ini walaupun usia perkahwinan sudah menjangkau 10 tahun.
Tak dilupakan, Aeril turut menitipkan kata-kata istimewa buat si isteri tersayang. Aeril turut berterima kasih atas setiap momen yang dikecapi selama ini bersama Wawa.
“Entah bagaimana harus dikatakan tentang hari ini…
Saat kita memilih dua jiwa menjadi satu. Satu hati. Satu cinta. Satu cita-cita. Satu harapan. Dan satu tujuan bersama ke Surga di sana Negara Abadi.
Terima kasih sayang kerana bila berani untuk bersama itu, bermakna dirimu mengerti perjalanan yang bakal kita tempuh bukanlah mudah dipermulaannya kerana penuh getir dan sesekali pasti jua dilambung ombak – dipukul badai ujian. Kita berjaya melewati dan mengharungi semuanya dengan pertolongan ALLAH jua.
Tuhan hadiahkan kita kebahagiaan dengan terus bersimpuh kasih padaNya. Barangkali kerana titis air matamu dan doa rintihanmu yang paling tulus lalu dikurniakan kekuatan jiwa, akal dan buah fikir pada dirimu agar titipan rahmatNya berpanjangan hingga kita mengecapi manisnya cinta yang halal dalam redhaNya sehingga saat ini. Terima kasih segalanya sayang..
Sungguh, kau satu-satunya tempat jatuhnya cinta yang paling bening. Segenap keluh resahku, kau jadi perlabuhan kedamaian. Ketika sakit duka bertandang, kaulah jadi penawarnya. Bila akal dan semangatku mulai tumpul, kaulah yang jadi penajamnya. Bak kata hukama, kau tak ubah seperti kehangatan saat kedinginan.
Terima kasih sayang untuk semuanya…
Ku tulis ini kerana Hari ini Ulangtahun Pernikahan Kita Yang ke -10.
Doakan hubungan kami kekal selamanya semua…”
Wawa tak ketinggalan turut menitipkan ungkapan ringkas buat suami tercinta dan mengharapkan perkahwinan mereka sampai ke syurga.
Pasangan selebriti ini yang bernikah pada 25 Februari 2012 kini dikurniakan 4 cahayamata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Ayya Soffya, dan Muhammad Fahri.
Kredit: Instagram Wawa Zainal
TIP TINGKATKAN SIFAT ROMANTIS
• Sentiasa rasakan usia perkahwinan bukan penghalang, kekal bercakap dengan nada lembut dan rajin bertanyakan masalah dihadapi pasangan.
• Kekal berpegangan tangan ketika keluar rumah atau setidak-tidaknya jalan bergandingan. Jangan berjalan sendirian iaitu suami di depan manakala isteri di belakang bersama anak-anak.
• Raikan setiap tarikh istimewa seperti tarikh ulang tahun perkahwinan dan hari lahir diri, pasangan serta anak-anak.
• Cuba cari masa berdua dengan keluar makan bersama tanpa anak. Jika susah, cukuplah makan berdua di rumah ketika anak sudah tidur atau anak ke sekolah.
• Jika mempunyai lebih bajet boleh pergi melancong berdua-duaan walaupun cuma di dalam negara.
• Sentiasa rasakan pasangan kita adalah yang terbaik dan usah fikirkan kekurangan yang mereka ada. Ini kerana tiada manusia yang sempurna. Kita juga ada kekurangan tersendiri yang mungkin sampai sekarang belum mampu diperbaiki.
• Boleh belikan hadiah mengikut kesukaan atau yang diperlukan pasangan.
• Jadilah insan yang pemurah dengan pujian. Jangan jadi isteri atau suami yang suka mengungkit peristiwa lama yang boleh menimbulkan pergaduhan.
• Elakkan menyentuh isu atau perkara yang tidak disukai pasangan.
• Jika mahu menegur pasangan, mulakan dengan pujian dan tegurlah secara lembut menggunakan perkataan yang baik.
• Duduk di sebelah pasangan ketika dia makan walaupun anda sudah kenyang. Menemaninya ketika makan memberi anda peluang untuk berbual-bual.